ANTARA asas penting dalam keimanan kepada para nabi a.s adalah beritikad atau berkeyakinan penuh bahawa mereka manusia dan bersifat dengan sifat-sifat kemanusiaan atau ciri-ciri keinsanan (tabai' basyariyyah).
Tidak bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan atau malaikat, atau makhluk super power yang berlainan dari insan yang bersifat manusia. Banyak pengikut agama cenderung untuk menyifatkan tokoh agama atau pengasas agama mereka dengan ciri-ciri ketuhanan atau malaikat atau super power bagi menggambarkan kehebatan tokoh atau pengasas agama berkenaan. Namun Islam tidak demikian. Nabi Muhammad dan sekelian para nabi disifatkan oleh al-Quran dengan ciri-ciri manusia seperti mana manusia lain, cumanya mereka ditabalkan menjadi rasul atau nabi, diberi wahyu dan kadang-kala diberi pertolongan dengan ayat atau mukjizat dalam keadaan yang getir. Pun begitu dalam sepanjang sejarah para nabi, ada dalam kalangan mereka yang dibunuh, diseksa, dicederakan, dizalimi dan berbagai-bagai derita yang lain yang selalu menimpa para pejuang. Mereka tidak digambarkan kebal, atau boleh terbang, atau sentiasa dapat menghadirkan perkara-perkara pelik sehingga manusia beriman kerana ketakutan kepada mereka. Jika ada pun pertolongan Allah yang disebut 'ayat' atau mukjizat, perkara tersebut bukannya selalu dan ia sentiasa pula akan dikaitkan dengan kebesaran Allah, bukan kekuatan diri mereka sendiri.
Iktikad atau keyakinan ini diwajibkan oleh al-Quran dan al-Sunnah untuk seorang Muslim tanamkan dalam keimanan mereka. Firman Allah: (maksudnya) Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (Surah al-Kahf: 110). Firman Allah lagi: (maksudnya) Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Jika aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (Surah al-Anfal: 188). Juga firmanNya: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya ketetapan. (Surah al-Ra'd: 38).
Banyak lagi nas-nas al-Quran yang menegaskan hal ini. Walaupun ciri-ciri keinsanan rasul ini telah menyebabkan sesetengah penentang rasul mengkritik mereka kerana mereka mempunyai sifat dan kehidupan yang sama dengan manusia biasa. Para penentang pula membayangkan para rasul dengan segala keajaiban. Al-Quran merakamkan kritikan mereka. Firman Allah: (maksudnya) Dan mereka berkata: Kenapa dengan Rasul ini? dia makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya. (Surah al-Furqan: 7). Namun, Allah membantah cara fikir mereka ini dengan menjawab: Katakanlah (wahai Muhammad): Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul. (Surah al-Isra': 95).
Akidah
Mengapakah al-Quran menekankan ciri ini? Demikian juga mengapakah Rasulullah saw sentiasa menekan asas akidah ini? Sebabnya yang utama, demi memelihara tauhid atau akidah kepada Allah supaya hanya Dia Yang Maha Berkuasa dan layak untuk disembah. Manusia apabila tidak dikawal oleh akidah sebegini akan mengheret mereka memuji dan mengagungkan para rasul melebihi batasan yang sepatutnya. Lihat apa yang berlaku kepada Nabi Isa bin Maryam as Kepercayaan atau pujian yang berlebihan membawa mereka menyangkatnya menjadi anak Tuhan. Demikian sesetengah aliran tarekat kerohanian yang melampaui batas dalam memuji guru atau 'tok syeikh'. Sikap berlebih-lebihan memuji itu telah membawa mengagungkan guru atau syeikh melebihi tahap nabi, bahkan menyifatkan guru mereka dengan sifat-sifat ketuhanan seperti mengetahui yang ghaib dan seumpamanya. Bahkan lebih buruk lagi mengheret mereka memohon hajat dan doa dari syeikh mereka sebagai perantaraan dengan Allah, bukan lagi hanya memohon kepada Allah. Sehingga ada yang apabila timbul hajat dalam akan memanggil nama wali itu dan ini. Sehingga nama dan gambaran wali atau syeikh mereka itu lebih mendahului jiwa mereka apabila timbul sesuatu hajat, bukan lagi Allah swt Malangnya, ada dalam kalangan mereka yang menjustifikasikan hal itu dan menyatakan itu disuruh oleh Ahlus Sunnah wal Jamaah, bahkan itu sebenarnya ajaran Ahbash dan tarekat-tarekat yang memuja kubur. Jika para wali itu masih hidup pun mereka akan menentang hal ini. Rasulullah SAW sendiri dalam hadis baginda daripada Ibn 'Abbas: "Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: "Apa yang Allah dan engkau kehendaki". Maka baginda bersabda kepadanya: "Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki". (Riwayat Ahmad dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda juga mengingatkan kita: "Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: "Hamba Allah dan rasul-Nya" (al-Bukhari).
Perkara yang kedua, jika rasul itu bersifat dengan sifat ketuhanan atau malaikat, bagaimana mungkin manusia biasa mampu mencontohi mereka, sedangkan mereka dihantar untuk menjadi contoh teladan yang baik kepada manusia. Maka, tiadalah suri teladan dalam makan-minum, perhubungan suami isteri, teladan ketika gembira, ketika sedih, ketika marah, ketika lapar, ketika sakit, ketika ditindas dan berbagai lagi. Ini akan menjadi alasan untuk manusia tidak mencontohi rasul dan menyatakan bahawa kehidupan beragama yang diajar oleh para rasul itu tidak praktikal untuk diamalkan oleh manusia biasa. Alasan mereka kerana ciri-ciri fizikal yang dimiliki oleh para rasul itu tidak sama dengan manusia biasa.
Hingga mukjizat yang diberikan kepada para rasul itu pun bukan muncul dalam setiap keadaan. Dalam banyak keadaan para rasul menghadapi perjuangan mereka dengan segala usaha dan ikhtiar insani dan bertawakal kepada Allah. Bacalah Surah Yusuf, lihat bagaimana tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Ya'kub dan Yusuf. Mereka berusaha keluar daripada ranjau kehidupan itu dengan menerusi proses perjalanan kehidupan seperti mana insan yang lain. Cumanya, kita dapat melihat kesungguhan, tawakal dan keimanan kepada Allah yang sungguh indah. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah dilontar sehingga cedera di Taif, dan cedera dalam peperangan Uhud. Batu-batu yang dilontar di Taif tidak bertukar menjadi tamar, dan pedang yang dihunuskan dalam peperangan menentang baginda tidak pula menjadi roti. Bahkan ada para nabi yang dibunuh oleh Bani Israil. Kesemua itu menutup ruang untuk manusia mengelakkan diri dari mengikuti jejak para nabi atas alasan mereka 'super power' atau tidak serupa dengan kita.
Kata al-Syeikh 'Ali al-Tantawi ketika mengulas sifat-sifat para rasul a.s.: "Para rasul kesemuanya manusia. Mereka dilahirkan seperti mana dilahirkan manusia, mereka mati seperti mana manusia mati, mereka sakit dan sihat seperti mana manusia sakit dan sihat. Mereka tidak berbeza dengan manusia pada bentuk tubuh badan dan anggota, tidak pada perjalanan darah dan pergerakan jantung. Mereka makan dan minum seperti mana manusia makan dan minum. Tidak pada mereka sedikit pun unsur uluhiyyah (ketuhanan), kerana ketuhanan untuk Allah semata. Namun mereka adalah manusia yang telah diwahyukan kepada mereka" (Ali al-Tantawi, Ta'rif 'Am bi din al-Islam, m.s. 161, Mesir: Dar al-Wafa).
Lebih daripada itu kita lihat Allah jadikan mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw ialah al-Quran. Ini kerana baginda adalah nabi yang terakhir. Al-Quran akan berterusan sehingga Kiamat, sedang mukjizat yang mempunyai kaitan dengan fizikal seseorang tidak akan dapat disaksikan lagi dengan ketiadaannya. Mukjizat tongkat Musa sudah tidak dapat disaksikan lagi. Begitu juga mukjizat Isa menghidupkan orang mati dengan izin Allah sudah tiada lagi. Namun, ajaiban al-Quran terus disingkap dari zaman ke zaman. Maka, hendaklah para pendakwah dalam menceritakan tentang kerasulan menegaskan tentang ciri keinsanan Nabi Muhammad saw dan kesinambungan mukjizat al-Quran. Fokuslah mukjizat al-Quran yang terus mencerahkan akal dan menegakkan hujah kebenaran. Mukjizat lain, sekadar hanya menjadi riwayat sahaja.
Sunday, February 28, 2010
Mengapa Rasul bersifat insan?
Posted by Allahyarham achit at 10:35 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment