Romantik
Hari ini, aku ada kelas therapy di hospital. Perjalanan menaiki bas dan tramvai sedikit sebanyak agak meletihkan, lebih-lebih lagi aku terpaksa berkejar ke sana, kerana waktu jumaat yang agak lewat berbanding waktu kelas yang bermula 2.40 ptg. Solat jumaat habis jam 2.00 petang.
Setelah turun dari tramvai, aku menyusuri lorong pejalan kaki yang agak licin dek salji yang mengeras. Dalam berkejarannya aku ke hospital, aku terpandang satu pasangan tua (dalam 50/60 tahun lebih) yang berpegangan tangan menyusuri jalan yang licin. Keramahan yang ditunjukkan oleh pakcik itu pada pasangannya amat menyentuh hati. Manakan tidak, walaupun umur sudah lanjut, tetapi kemesraan dan keramahan yang ditunjukkan seolah-olah mereka pasangan muda yang melayari rumah tangga.
Aku memikir-mikirkan situasi tersebut dan menyimpulkan, sungguh bahagia pasangan yang berjaya kekalkan kemesraan sehingga hari tua.
Kasih sayang
Setahun yang lalu, satu hari yang serabut dalam musim sejuk yang menyengat tulang, aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan mengelilingi metropolitan Moscow dengan menaiki tramvai. Melihat-lihat keindahan cahaya lampu waktu malam. Sedang aku asyik dengan keindahan lampu tepi jalan dan keindahan warna warni bangunan-bangunan sepanjang jalanan, dua beranak naik tramvai yang kunaiki. Seorang ibu yang aku kira dalam lingkungan 30-an dan anaknya yang kurasakan sekitar 7@8 tahun.
Si kecil mengambil tempat dihadapanku, manakala si ibu mengambil keputusan duduk di sebelahku. Selepas itu, aku menyambung lamunanku ke luar tingkap yang sangat dingin. Lamunanku terganggu dengan kelincahan si kecil yang tidak henti-henti bertanya si ibu tentang apa yang dia lihat di sepanjang jalan yang dilalui. Si ibu pula tidak jemu menjawab pertanyaan si kecil yang jika aku berada di tempat tersebut, mungkin sudah tidakku layan.
Sedang sibuk aku meneliti apa yang diperbualkan oleh kecil dengan ibunya, tiba-tiba si kecil menunjukkan ke satu arah yang bertentangan dengan si ibu, arah yang bagi aku, tidak pasti apa yang menarik ada di sana. Tatkala ibu sudah mengalihkan ke arah yang ditunjukkan oleh anaknya, sambil mencari-cari apakah gerangan yang dimaksudkan oleh anaknya, si kecil terus mengucup pipi si ibu tanpa sempat si ibu berpaling semula ke arah anaknya. Kemudian si kecil terus katakan “я тебя люблю” ("saya sayang mama") sambil memeluk ibunya. Ibu muda ini, membalas pelukan si kecil dengan penuh kemesraan.
Melihatkan situasi ini, aku tumpang bahagia melihat kasih sayang yang ditunjukkan. Senyuman yang dilemparkan oleh si ibu jelas kelihatan yang dia bahagia kerana tahu anaknya juga menyayanginya seperti dia menyayangi si kecil itu. Dalam keserabutan institusi keluarga yang teruk membelenggu masyarakat barat, tersimpan kasih sayang yang bagiku sungguh bernilai dalam kekalutan kota Moscow yang kian tahun mencengkam kehidupan rakyat dengan nilai inflasi yang tinggi. Hmm.. kasih sayang.. makin hilang dari masyarakat yang tidak memandang kepentingan institusi kekeluargaan dalam menangangi masalah sosial yang kian parah.
Cinta
Satu fitrah manusia untuk sayang dan disayangi. Aku juga tidak terlepas dari perasaan ini. Sepanjang tiga tahun di bumi Rusia ini, aku mengintai-intai disebalik sikap dan perangai masayarakat Rusia yang boleh ku ambil dalam memberi maksud cinta. Ku lihat, keberanian masyarakat meluahkan rasa cinta dan bercumbu-cumbuan di mana sahaja yang kulalui, tidak banyak mengajar aku erti cinta. Tetapi situasi tersebut membuatkan diriku memaksa diri untuk menundukkan pandangan dan berpuasa dalam mencari erti cinta yang sejati.
Rupa-rupanya, dalam gejolak yang membelunggu jiwa mudaku ini, tersimpan satu rahsia untuk mengendurkannya. Iaitu, PUASA. Ketika inilah aku rasakan besarnya hikmah berpuasa dalam menangani gejolak jiwa dan fitnah yang berlaku disekeliling. Bila berpuasa, perasaan untuk mengekalkan erti puasa itu membuatkan mata hanya difokuskan pada lantai dan kaki-kaki.
Menundukkan pandangan. Puasa dan menundukkan pandangan sangat memberi kesan dalam menjaga hati. Bila zina mata berjaya dikurangkan, maka berkuranglah hati dari titik-titik hitam yang sebenarnya sebagai tempat bermaharajalelanya nafsu dalam jiwa. Dua perkara yang aku baru kurasakan hikmah disebalik pesan Nabi kepada generasi muda yang punya kehendak tetapi tidak mampu untuk mendirikan ‘masjid’ yang suci.
* Umar Al-Fateh; nama pena bagi Mohammad Syazwan bin Maamin merupakan salah seorang penulis jemputan iluvislam.com. Beliau kini merupakan seorang pelajar perubatan di Russian State Medical University, Moscow. Artikel dipetik daripada blog beliau.
Tuesday, December 30, 2008
Romantik, Kasih Sayang dan Cinta
Posted by Allahyarham achit at 5:43 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment