? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Tuesday, December 30, 2008

Jika Batu Takutkan Allah

“Mana dia?” saya bertanya.

“Tu, celah pokok tu!” balas Adib, teman saya.

Semenjak pulang ke Malaysia dan bertugas di Kuala Lumpur, perasaan saya sentiasa gerun tatkala melintasi Lebuhraya Lingkaran Tengah II (MRR2). Berulang alik dari Cheras ke pejabat di Setapak, mata saya lekat memandang ke arah bangunan ‘berhantu’ yang masih tersisa, Highland Towers yang rebah tersungkur ke bumi pada 11 Disember 1993 yang lalu.

Gerun membayangkannya.



Sebahagian yang tersisa [hakcipta]

Terkenang kembali betapa gemparnya kami tatkala baru sahaja tiba ke bumi Anbiya’ di Jordan, tanpa kemudahan internet, saya dan rakan-rakan terkejut dengan siaran berita di Televisyen Jordan tentang sebuah bangunan kondominium 12 tingkat rebah ke bumi… mengerikan!

Perasaan ngeri itu jadi bertambah-tambah apabila setiap hari saya melihat bertambahnya pembinaan bangunan yang besar dan tinggi di sekitar lereng yang sama, sisi Titiwangsa bernama Bukit Antarabangsa dan kawasan sekitarnya.



Rebah ke bumi

Apakah mereka tidak mengambil iktibar?

Mereka berupa kerajaan pusat, kerajaan negeri, PBT, pemaju dan pembeli sendiri.

Ini bukanlah masa yang betul untuk mengecilkan skop kesalahan, sebaliknya seluruh komuniti manusia harus memikulnya, termasuk penghuni kawasan itu sendiri. Saya sendiri semasa mencari-cari rumah untuk dibeli, teruja dengan projek perumahan di Bukit Antarabangsa yang lebih murah berbanding spesifikasinya. Tetapi di kepala ini sentiasa ada igauan tentang sejarah lereng Titiwangsa yang teruk ditarah itu. Justeru saya sendiri tahu, jika saya mahukan rumah yang biliknya begini, luasnya begini, maka saya mesti berbelanja lebih sedikit kerana Bukit Antarabangsa adalah kawasan ‘wabak’ yang tidak wajar didera lagi.

Saya akhirnya membeli rumah yang setakat hitungan ilmu manusia yang serba terhad ini, berada di kawasan yang tidak mendera alam. Tawakkal kepada Allah.

Pembeli harus ada pertimbangan itu di kepala mereka semasa membeli.

Pemaju sudah tentu juga.

PBT ada bidang kuasa yang mesti dimainkannya.

Kerajaan Negeri dan Pusat juga memikul keputusan pembangunan di situ.

Kesimpulannya, seluruh komuniti manusia harus sama-sama mengambil muhasabah, dan jangan menunding jari melepas diri.

KENAPA TENANG?

Terkenang kembali pengalaman hidup di Jordan, tatkala bas Amman ke Karak yang tidak berlesen, mengambil jalan belakang dengan menggunakan laluan Wadi Mujib yang sangat menggerunkan. Pernah seketika, bas yang kami naiki dibrek secara mengejut, kerana seketul batu yang hampir menyamai separuh saiz bas kami jatuh bergolek dari lereng gunung.



Wadi Mujib yang menggerunkan

Lereng bukit, sentiasa menggerunkan.

Hanya sesetengah manusia yang menafsirkannya sebagai lokasi mewah penemu ‘bahagia’.

Kawasan yang dekat dengan alam semulajadi memang lebih memberikan ketenangan. Baik Muslim, mahu pun yang tidak beragama, semuanya berasa tenang dengan kicauan burung, desiran angin dan segala bahasa alam itu. Soalnya mengapa?



Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. [al-Israa' 17: 44]

Ya, seluruh alam itu bertasbih dan berzikir.

Akal kita tidak memahaminya, namun roh manusia dapat mengecapnya. Biar apa sekali pun anutan kefahaman manusia, jiwanya tidak dapat menafikan bahasa universal alam yang mendamaikan kerana semua itu adalah tasbih memuji Pencipta mereka. Jika seluruh alam bertasbih memuji Allah, apa pula aktiviti dan kelakuan manusia di sisinya?

Bayangkan, ketika sekumpulan manusia duduk berkumpul membaca al-Quran, berzikir dan memuji Allah, tiba-tiba datang sepasang lelaki dan perempuan berzina di tengah-tengah gelanggang! Apa perasaan kita? Tentu sahaja itu sejahat-jahat makhluk yang layak dihukum. Biadab kepada majlis, apatah lagi majlis zikir memuji Allah. Justeru, ketika flora dan fauna di sisi Titiwangsa berzikir memuji Allah, mengangungkan-Nya, apa aktiviti manusia di sana? Berzikir samakah mereka?

Saya tidak berada di kapasiti menjawabnya, hanya melontarkan soalan untuk menjadi titik renungan.

SALAH BATU?

Apakah salah batu dan tanah yang datang bergolek, atau manusia yang salah memilih tempat? Tidak beradab kepada alam yang beradab kepada Tuhan?

Sesungguhnya sebagai khalifah yang memikul amanah menjaga bumi, manusialah yang seharusnya menanggung kesalahan atas amukan alam ini.



“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut akibat apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” [al-Room 30: 41]

Hatta manusia yang gagal mengaitkan alam dengan Tuhan sekali pun, dapat melihat hubung kait bencana semua ini dengan tangan-tangan mereka sendiri. Manusia yang melanggar hukum alam, yang merupakan hukum Pencipta alam.

Alam menangis, siapa yang tahu?

Renungilah hakikat ini, yang hanya mampu difahami andai manusia merenung dengan mata hati:





“… Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan” [al-Baqarah 2: 74]

Batu yang keras itu, ada yang mengalir air di celah-celahnya.

Batu yang keras itu, ada yang terbelah dan memancar air keluar daripadanya.

Batu yang keras itu, ada yang pecah berderai dan jatuh bergolek ke bawah.

Semuanya kerana takut dan gerun alam kepada Allah, Penciptanya.

Runtuh kerana gerunkan Allah.

Bagaimana dengan hati manusia?

Keras lembutnya bagaimana?

Terpancar titik khusyuk daripadanya?

Atau keras mengalahkah batu, hingga perlu menerima amaran bahasa batu?





Takziah buat seluruh mereka yang terbabit dengan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa baru-baru ini. Namun, singkaplah bicara Allah di sebalik segalanya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

0 comments: