Israel terus berdegil tidak mahu membenarkan kapal bantuan kemanusiaan memasuki Gaza. Terbaru ancaman terhadap kapal bantuan Libya. Soalnya, sampai bila dunia harus 'patuh' terhadap pencabulan hak asasi manusia secara terang-terangan ini?
DR. HAFIDZI: Senario politik antarabangsa pada hari ini sudah banyak berubah. Meskipun kerajaan-kerajaan dan badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau yang mewakili umat Islam seperti Persidangan Negara-negara Islam (OIC) tidak dapat bersuara menentang kekejaman dan pelanggaran undang-undang oleh rejim Zionis Israel.
Namun tindakan yang diambil di peringkat antarabangsa kini lebih banyak diterajui oleh masyarakat madani (civil society) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kegagalan kerajaan-kerajaan untuk bertindak tidak menghalang NGO membentuk jalinan dan rangkaian antarabangsa yang kuat untuk mencabar Israel dan keangkuhannya.
Contoh terbaru yang dipamerkan oleh flotila antarabangsa yang bergerak di bawah inisiatif LL4G (Talian Hayat ke Gaza) dan juga Free Gaza Movement adalah bukti masyarakat madani dan rangkaian NGO akan menjadi penentu utama kepada hala tuju penyelesaian konflik di Palestin.
Sekatan dan kepungan ke atas Gaza sudah diuji dan diterobos sebanyak empat kali cubaan dengan tiga daripadanya berjaya menerobos masuk dan menyalurkan bantuan ke Gaza.
Israel boleh terus menunjukkan sikap angkuh dan biadapnya di hadapan masyarakat antarabangsa namun ia akan menerima natijah dan pukulan dari perbuatannya itu.
Buktinya apabila kapal Mavi Marmara diserang dan dirampas, beberapa negara Eropah mengambil langkah yang tidak pernah diduga iaitu memanggil pulang duta-dutanya dari Tel Aviv.
Di antara negara yang berbuat demikian adalah Kanada, Sepanyol dan Sweden. Ireland pula menutup pelabuhannya daripada kapal-kapal Israel untuk tempoh yang tertentu.
Semua ini berlaku kerana kerajaan-kerajaan tersebut mendapat tekanan yang cukup kuat dari rakyatnya sendiri untuk bertindak ke atas Israel.
Malah Israel terus menerima tekanan agar siasatan bebas dilakukan ke atas insiden serangan ke atas kapal Mavi Marmara. Usaha Israel untuk menyiasat sendiri tragedi ini ditolak oleh masyarakat antarabangsa.
Jelaslah perkembangan yang berlaku sejak peristiwa serangan ke atas kapal Mavi Marmara telah merubah senario dan faktor penentuan yang akan mencorakkan hala tuju dan perkembangan konflik di Palestin.
Kesimpulannya, masa untuk dunia 'tunduk' kepada kehendak Israel sudah berakhir. Polisi dan dasar luar akan ditentukan oleh kehendak dan pandangan umum masyarakat antarabangsa dan bukan lagi oleh kepentingan-kepentingan politik, ekonomi dan strategik sesebuah kerajaan yang memerintah.
Bahkan Presiden Barrack Obama juga terpaksa tunduk kepada pandangan umum rakyat Amerika Syarikat (AS) sehingga beliau membuat kenyataan 'Sekatan ke atas Gaza perlu dilihat semula'.
Kenyataan seumpama ini tidak pernah diungkapkan oleh Obama. Pastinya beliau juga tidak dapat tidak dan terpaksa tunduk kepada tekanan penduduk AS sendiri sebagai pemegang kuasa (stake holder) yang sebenar bagi negara Amerika Syarikat.
Mungkin Israel akan terus berdegil dan bersikap angkuh terhadap masyarakat antarabangsa. Tetapi persoalan yang perlu dijawab oleh Israel adalah sehingga bila?
Hubungan diplomatiknya dengan Turki juga sudah terjejas teruk. Prospek terjejasnya hubungan diplomatik dengan Turki bagi Israel adalah sesuatu yang sangat merugikan Israel terutama dari sudut ekonomi, politik dan keselamatan justeru Turki adalah sekutu kuatnya di Timur Tengah dalam mengimbangi ancaman negara-negara Arab di Asia Barat.
Kehebatan Bola Sepak Piala Dunia baru-baru ini, ternyata 'menenggelamkan' buat seketika kesengsaraan penduduk Palestin. Bagaimana respons terkini masyarakat Malaysia dalam isu kekejaman Israel ini?
DR. HAFIDZI: Isu Palestin adalah isu malar hijau (evergreen). Ia tidak mungkin ditenggelamkan oleh peristiwa-peristiwa lain apatah lagi isu-isu trivia seperti piala dunia dan seumpamanya.
Mungkin ketika masyarakat dilanda demam piala dunia mereka hilang fokus seketika namun isu Palestin terus diperkatakan oleh kalangan yang prihatin.
Sekali gus senario ini menuntut kepada usaha berlipat ganda untuk menekankan aspek kefahaman dan penghayatan terhadap isu Palestin di kalangan rakyat Malaysia.
Kesedaran mesti dilonjakkan daripada sekadar simpati dan kepekaan emosi kepada satu bentuk kefahaman tentang apakah isu sebenarnya yang melanda bumi Palestin.
Mungkin sebahagian masyarakat terkesan apabila melihat imej-imej yang menyayat hati yang dipaparkan oleh media massa terhadap penderitaan rakyat Palestin namun ia sekadar simpati yang tidak berpanjangan.
Ia sekadar lumrah insan yang akan luput apabila berlalunya masa. Namun apabila ia diiringi dengan kefahaman maka ia akan diterjemahkan dalam bentuk empati yang mendorong kepada seseorang untuk turut sama berjuang dalam kapasiti dan kemampuan masing-masing.
Dengan kesedaran yang jitu seseorang itu akan turut berkempen dan menyumbang wang ringgit untuk membela rakyat Palestin.
Meskipun beliau seorang yang tergolong sebagai peminat sukan bola sepak dan mengikuti perkembangan piala dunia dengan penuh minat namun iltizam beliau ke arah perjuangan rakyat Palestin tidak akan luntur dan akan diteruskan.
Bekas Penolong Setiausaha Agung PBB, Denis J. Halliday, Ahad lalu berkata, PBB tidak berupaya selesai isu Palestin dan dakwa AS hanya boneka Israel. Jika demikian apakah masih ada harapan untuk kita melihat Palestin bebas daripada cengkaman zionis?
DR. HAFIDZI: Apabila Halliday membuat pernyataan terbuka seperti ini jelaslah bahawa PBB bukanlah saluran yang berkesan buat masa ini untuk menyelesaikan isu konflik Palestin Israel.
Oleh kerana AS didakwa oleh beliau sebagai boneka Israel maka jelaslah kedudukan PBB hanyalah bertindak sebagai 'rubber stamp' atau mengesahkan sahaja kehendak Israel dan menuruti telunjuk AS.
Beliau sendiri mengakui bahawa apa-apa resolusi yang diputuskan oleh Persidangan Agung PBB tidak mengikat atau tidak dapat dikuatkuasakan. Dalam erti kata lain mana-mana negara anggota boleh memilih untuk akur atau sebaliknya ke atas mana-mana resolusi yang diputuskan oleh Persidangan Agung.
Bahkan resolusi yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan sekalipun mengikat dan wajib dipatuhi oleh semua negara anggota, namun di sana ada lima anggota tetap iaitu AS, Russia, Britain, China dan Perancis yang masing-masing diberi kuasa veto membatalkan mana-mana resolusi yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan.
Jika 14 daripada 15 negara menyokong sesebuah resolusi tetapi AS menggunakan kuasa vetonya, maka resolusi tadi tetap akan ditolak dan tidak akan diterima.
Ringkasnya apa juga saluran yang digunakan melalui PBB tidak akan memihak kepada kepentingan rakyat Palestin, apatah lagi jika ia ditafsirkan sebagai menjejaskan kelangsungan negara Israel.
Justeru kita melihat resolusi PBB yang diterima pada tahun 1967 iaitu Resolusi PBB 242 yang memutuskan Israel harus kembali ke sempadan 1949 dan keluar dari Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur sehingga hari ini tidak diendahkan oleh Israel.
Berbalik kepada persoalan apakah ada harapan untuk melihat Palestin bebas daripada cengkaman Zionis sekiranya realitinya adalah seperti di atas.
Jawapan pada persoalan ini ialah harapan tetap ada. Bahkan harapan untuk melihat Palestin akhirnya bebas daripada pendudukan Israel terus hidup dalam jiwa dan sanubari rakyat Palestin.
Sebabnya, mereka sama sekali tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada PBB atau mana-mana pentas antarabangsa yang diterajui oleh kuasa-kuasa besar.
Bagi rakyat Palestin harapan mereka adalah kepada diri mereka sendiri. Mereka percaya dengan tekad yang kuat dan perjuangan yang bersungguh-sungguh akhirnya akan menarik sokongan masyarakat antarabangsa untuk mendukung perjuangan mereka.
Buktinya hari ini masyarakat antarabangsa termasuk dari AS dan Britain sudah mulai memihak kepada mereka. Perkembangan itu pastinya akan memberikan kesan kepada dasar luar negara masing-masing.
Semua negara termasuk AS tidak selamanya tunduk kepada kuasa lobi kelompok Yahudi seperti AIPAC yang dilihat menguasai politik AS.
Senario pada hari ini menunjukkan rakyat AS semakin sedar dan menentang kerjasama dan perlindungan yang diberi oleh AS ke atas Israel.
Mereka mulai bersuara dan membidas kerajaan AS yang menyalurkan bantuan kewangan dan ketenteraan kepada Israel sedangkan ekonomi AS sendiri terjejas teruk. Mereka sudah mula menerajui program boikot ke atas syarikat-syarikat yang melabur di Israel.
Perkembangan ini semuanya menunjukkan kepada kita akhirnya badan dunia PBB bahkan AS tidak selamanya dapat mempertahankan Israel dalam tindak-tanduknya.
Bulan depan kita akan sambut Ramadan. Di Malaysia, kita selalu bertanya nak makan apa untuk berbuka tetapi di Palestin barangkali waktu berbuka pun tiada makanan yang hendak dijamah. Apa langkah dan bantuan yang boleh disalurkan untuk rakyat Palestin dalam menghadapi keadaan ini?
DR. HAFIDZI: Kurang sebulan lagi kita akan dijengah oleh bulan Ramadan. Bulan Ramadan umat Islam diwajibkan berpuasa. Salah satu daripada hikmah berpuasa ialah untuk mempertajam rasa ukhuwah atau persaudaraan di dalam Islam.
Praktik berpuasa itu sendiri menjadikan umat Islam semakin peka dengan nasib dan penderitaan saudara-saudara seagama.
Secara tidak langsung ia mendidik umat Islam supaya lebih prihatin terhadap nasib dan penderitaan rakyat Palestin.
Mereka sudah dijajah sejak puluhan tahun dan keadaan kini semakin parah apabila dikenakan pula sekatan ekonomi dan kepungan. Ketiadaan makanan, ubat-ubatan dan bekalan air bersih sudah tentu menuntut kepada keprihatinan yang lebih tinggi dari umat Islam berbanding dahulu.
Pastinya Ramadan kali ini menjadi medan yang paling subur untuk umat Islam merancakkan sumbangan dan bantuan kepada umat islam. Apatah lagi ganjaran yang dijanjikan bagi sedekah dalam bulan Ramadan akan dilipatgandakan oleh Allah SWT.
Mengambil kira hakikat ini maka kempen untuk membantu rakyat Palestin harus dipacu dengan lebih rancak lagi di bulan Ramadan.
Namun umat Islam juga diperingatkan bahawa bukan sedekah sahaja yang perlu diperbanyak kepada rakyat Palestin, bahkan keyakinan dan keimanan terhadap janji kemenangan dari Allah SWT juga perlu dipertingkatkan. Ini kerana Ramadan juga adalah bulan kemenangan.
Pada bulan inilah (17 Ramadan) umat Islam memenangi perang Badar . Pada bulan Ramadan juga (20 Ramadan) berlakunya peristiwa pembukaan kota Mekah oleh Rasulullah SAW (Fathul Makkah).
Bahkan dalam konteks perjuangan Palestin, dalam bulan Ramadan juga umat Islam berjaya mengalahkan tentera Monggol dalam pertempuran Ain Jalut ketika bala tentera Monggol cuba untuk memasuki Baitul Maqdis.
Ringkasnya di samping menggalakkan umat Islam infak (mengeluarkan harta untuk membantu rakyat Palestin) program untuk mengajak umat Islam menghayati jihad di Palestin dan seterusnya menanamkan iman dan iltizam yang tinggi untuk terus berjuang di samping umat Islam di palestin perlu dipertingkatkan.
Apakah strategi seterusnya dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin selepas insiden flotila Rachel Corrie dan Mavi Marmara, Mei lalu?
DR. HAFIDZI: Strategi seterusnya dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin selepas insiden Mavi Marmara dan Rachel Corrie ialah seperti berikut.
Walaupun Freedom Flotilla dan Free Gaza Movement, masing-masing menerajui flotilla LL4G yang melibatkan kapal induk Mavi Marmara dan kapal Rachel Corrie dipintas oleh Israel dan muatannya dirampas, namun objektif lebih besar telah dicapai oleh kedua-dua usaha tersebut.
Mereka Berjaya membentuk pandangan umum masyarakat antarabangsa supaya mengutuk Israel dan terus mendesak Israel supaya menghentikan sekatan ekonomi dan kepungan ke atas Gaza.
Meskipun Israel berdegil dan mempertahankan tindakan tentera komandonya menyerang Mavi Marmara sehingga sembilan sukarelawan syahid, ia tidak boleh lagi mengambil sikap memekakkan telinga terhadap bantahan dan kutukan masyarakat antarabangsa.
Ekoran tragedi ini kita menyaksikan Israel semakin terdesak dan terpaksa mengeluarkan beberapa kenyataan untuk meredakan kemarahan dunia. Ini termasuklah mengumumkan siasatan akan dijalankan dan barangan yang dirampas akan diserahkan kepada rakyat Gaza.
Sama ada Israel benar-benar melaksanakan janji mereka itu adalah soal lain. Yang pasti Israel tidak boleh lagi bersikap acuh tak acuh terhadap desakan dunia.
Ini adalah satu petanda bahawa Israel tidak boleh meneruskan sekatan ke atas Gaza. Kerana usaha untuk menghantar bantuan ke Gaza tidak akan dihentikan.
Terkini satu lagi misi penghantaran bantuan kemanusiaan akan dilaksanakan sekitar bulan September 2010.
Tragedi Mavi Marmara tidak sedikitpun menjejaskan semangat dan kesepaduan masyarakat antarabangsa untuk terus membantu rakyat Gaza.
Berdasarkan senario ini, maka misi bantuan seperti LL4G tetapi dengan penyertaan lebih ramai sukarelawan, penglibatan lebih banyak negara dan bilangan kapal yang lebih besar perlu diteruskan.
Jika usaha ini dilaksanakan secara berterusan Israel akhirnya akan berdepan dengan satu-satunya pilihan iaitu menghentikan sekatan ekonomi dan menamatkan kepungan ke atas Gaza.
Tuesday, October 12, 2010
PBB lemah dengan Israel
Posted by Allahyarham achit at 7:42 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment