? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Tuesday, October 12, 2010

Mutlaq dan Muqayyad

MUTLAQ bermaksud lafaz yang datang dalam bentuk umum, tanpa mempunyai sebarang keterbatasan atau had tertentu (taqyiid). Ia merujuk kepada sesuatu maksud tertentu yang telah dimaklumi. Biasanya, lafaz ini didatangkan dalam bentuk nakirah.
Sebagai contoh, firman Allah SWT: (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain... (al-Baqarah: 184)
Dalam ayat ini, Allah SWT memberikan kemudahan kepada mereka yang musafir dan sakit untuk berbuka puasa dengan syarat mesti menggantikannya pada hari-hari yang lain selepas bulan Ramadan. Lafaz 'ayyam' yang bermaksud hari-hari ini datang dalam bentuk mutlaq, iaitu tidak dikhususkan pada hari tertentu atau secara berturutan. Ini bermakna, mereka boleh memilih mana-mana hari untuk menggantikan puasa kecuali hari-hari yang diharamkan berpuasa.
Sesuatu lafaz itu hendaklah ditafsirkan menurut kemutlakannya dan kekal sedemikian apabila ia disebut dengan lafaz mutlak dalam sesuatu nas dan ia tidak boleh diqaidkan dengan mana-mana sifat atau ciri melainkan ada dalil yang menunjukkan perkara berkenaan.
Manakala Muqayyad pula merujuk kepada lafaz yang memberikan maksud yang tidak tertentu, tetapi diikuti dengan lafaz yang mengikat dan membataskannya. Justeru, ia memberikan maksud yang lebih spesifik, tertentu dan terikat.
Begitu juga apabila sesuatu lafaz itu disebut secara muqayyad maka hendaklah ditasirkan secara muqayyad dan kekal sedemikian apabila ia disebut dengan lafaz muqayyad dalam sesuatu nas dan ia tidak boleh diubah atau ditafsirkan selain daripada makna asal nas tersebut melainkan ada dalil yang menunjukkan perkara berkenaan.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu membunuh seorang mukmin, maka hukumnya adalah dia mesti membebaskan hamba. Firman Allah SWT: Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah dia membayar kafarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar "diat" (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). (an-Nisa': 92)
Dalam ayat ini, Allah SWT mewajibkan untuk memerdekakan hamba yang beriman (raqabah mukminah). Ia adalah lafaz muqayyad kerana dikaitkan dengan sifat beriman. Ini bermakna, dalam kes pembunuhan tidak sengaja ke atas orang mukmin, kafarah (denda atau hukuman) yang dikenakan adalah membebaskan seorang hamba yang beriman.
Ini berlainan dengan kafarah zihar (suami menyerupakan isterinya dengan ibunya atau pun seorang yang haram berkahwin dengannya) yang mewajibkan si suami membebaskan seorang hamba tanpa disyaratkan mukmin atau tidak. Ia adalah lafaz mutlaq. Firman Allah SWT: ….maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. (al-Mujadalah: 3)
Lafaz raqabah dalam ayat tersebut tidak dikaitkan dengan mukmin. Namun, ulama-ulama menggabungkan kedua-dua ayat berkenaan pembebasan hamba ini kerana subjeknya adalah sama iaitu membebaskan hamba. Maka kebanyakan ulama menyatakan bahawa apabila ayat mutlaq dan muqayyad mempunyai subjek yang sama, maka perlu dimasukkan mutlaq kepada muqayyad.
Jadi, hukum bagi zihar dan pembunuhan tidak sengaja adalah sama iaitu membebaskan hamba yang mukmin.
Tetapi, sekiranya subjek tidak sama, maka tidak boleh digabungkan antara keduanya. Sebagai contoh, ayat memotong tangan pencuri yang bersifat mutlak dalam surah al-Maidah, ayat 38.
Ia tidak boleh digabungkan dengan ayat 6 dalam surah al-Maidah iaitu membasuh tangan sampai siku yang bersifat muqayyad. Ini adalah kerana subjek hukumnya tidak sama walaupun kedua-duanya berkaitan dengan tangan.
Terdapat juga dalam al-Quran lafaz yang didatangkan secara mutlaq, tetapi diqaidkan dalam hadis. Sebagaimana ayat berkenaan dengan wasiat sebagaimana firman Allah SWT: (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya… (an-Nisa': 11)

0 comments: