Setiap agama mempunyai tradisi dan amalan pengkebumiannya dengan cara-cara yang tersendiri. Amalan ini biasanya akan mengikut perkara-perkara yang telah pun diatur dalam sesuatu agama berdasarkan orang-orang terdahulu khususnya masyarakat Islam, Kristian, Yahudi dan Hindu.
Manakala masyarakat Yahudi pula adalah antara golongan yang paling hampir kaedah pengkebumiannya dengan masyarakat Islam. Ini kerana, kelompok ini adalah saki-baki pengikut agama Nabi Ibrahim hinggalah kepada Nabi Musa walaupun terdapat beberapa penyelewengan fakta kitab Taurat.
Di dalam bahasa Hebrew, amalan pengkebumian disebut sebagai “kevura”.
Kumpulan Pengurus Jenazah Masyarakat Yahudi
Setiap penganut agama Judais yang mati akan diuruskan oleh suatu kumpulan yang digelar Chevra Kadisha. Kumpulan ini bertanggungjawab mengurus segala aspek yang berkaitan dengan pengurusan mayat seperti pembelian kain kafan, tempat letak mayat, keranda, penyediaan ruang kubur, pemandian mayat, pengkafanan dan sebagainya.
Di dalam masyarakat Islam di Malaysia, peranan Chevra Kadisha adalah hampir sama dengan peranan yang dimainkan oleh Jawatankuasa Khairat Kematian yang biasa terdapat di semua kampung dan daerah. Seperti mana juga di Malaysia, ahli-ahli yang menganggotai pasukan Chevra Kadisha adalah ahli-ahli sukarela dan mereka terdiri dikalangan rabbi-rabbi dan orang-orang tua.
Di Israel, setiap ketua keluarga biasanya akan memberikan bayaran yuran khairat kematian kepada wakil-wakil Chevra Kadisha di tempat masing-masing. Bayaran yuran dikenakan pada kadar tertentu secara tahunan.
Bayaran-bayaran ini adalah bayaran untuk menguruskan semua bahan-bahan berkaitan upacara pengkebumian si mayat. Sekiranya ahli-ahli keluarga tersebut tidak menjadi ahli atau tidak membayar yuran, mana-mana anggota keluarga lelaki hendaklah mencari sendiri penggali kubur jika ada ahli keluarganya yang mati.
Selain itu, Chevra Kadisha juga berperanan menguruskan majlis makan untuk tetamu bagi ahli keluarga yang mati.
(Gambar) Ketua Rabbi suku Sephardi, Shlomo Amar (berjubah, duduk) menziarahi mayat seorang penduduk Israel.
Kaedah Pengkebumian Mayat Menurut Agama Judais
Upacara pengkebumian mayat masyarakat Yahudi amat berbeza dengan masyarakat kristian. Mereka amat mementingkan sebarang amalan yang dituntut di dalam Taurat dan amalan-amalan yang telah dilakukan oleh Avraham (Nabi Ibrahim) dan Yaakov (Nabi Yaakob).
Berikut ialah peringkat-peringkat pengkebumian masyarakat Yahudi;
PERINGKAT 1 : Rechitvah dan Taharah (Memandi dan Mewangikan)
Tindakan pertama yang dilakukan oleh Rabbi dari Chevra Kadisha ialah membersihkan seluruh anggota mayat dengan memandikannya. Proses memandikan mayat ini dipanggil Rechitvah. Mayat lelaki akan dimandikan oleh orang lelaki dan mayat perempuan dimandikan oleh orang perempuan.
Mayat akan diletak secara terlentang dan air biasa akan dijirus bermula dari kepala hinggalah ke hujung kaki. Sebelum memandikannya, semua barang-barang kemas akan ditanggalkan.
(Gambar) Suatu program mengajar cara-cara rechitvah dan taharah untuk orang-orang Yahudi di New Jersey oleh Persatuan Penduduk Yahudi New Jersey.
Selepas mandi dan dikeringkan badan mayat, proses seterusnya ialah Taharah (mewangikan mayat). Semasa proses ini, rabbi akan meletakkan badan mayat dengan wangi-wangian agar bau badan mayat tidak menganggu ahli keluarga dan tetamu yang hadir.
PERINGKAT 2 : Halbashah (Mengkafan)
Selepas dimandi dan diwangikan, mayat akan dikafankan dengan menggunakan baju khas berwarna putih yang dipanggil Tachrichim berserta sehelai selendang bernama tallit. Tallit adalah sejenis selendang yang berwarna putih seakan-akan kain tuala kecil yang panjang.
Selepas proses halbashah, mayat akan diletakkan terus di dalam keranda.
(Gambar) Kawasan perkuburan Yahudi di Jalan Yahudi, Georgetown, Pulau Pinang. Kawasan ini agak terselindung dan dikelilingi tembok konkrit setinggi 6 kaki.
PERINGKAT 3 : Kevura (Pengkebumian)
Selepas mayat dimasukkan ke dalam keranda, ianya akan dibawa ke kawasan perkuburan berdekatan. Di Israel, tanah-tanah perkuburan kebanyakan tidak dibina berdekatan synagogue (kuil Yahudi).
Biasanya individu yang hadir semasa pengkebumian adalah ahli-ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang mengenali si mati. Mereka tidak sama-sama meletakkan keranda di dalam lubang kubur kerana ianya dilakukan oleh ahli-ahli Chevra Kadisha.
Selepas pengkebumian, batu nisan atau di dalam bahasa Hebrew dipanggil Matzevah akan diletakkan di atas tempat yang ditanam. Urusan meletakkan Matzevah juga dilakukan oleh ahli-ahli Chevra Kadisha.
Terdapat juga suatu golongan lain di Israel yang lebih ekstrem apabila menanam mayat, mereka akan menanamnya secara berdiri. Mayat ditanam dengan cara ini sebagai melambangkan bahawa mereka tidak akan tunduk kepada Tuhan walaupun sudah mati.
Amalan Berkabung Dalam Agama Judais
Selepas selesai proses Kevura, setiap ahli keluarga diharuskan melakukan amalan Keriah atau berkabung. Proses ini penting kepada setiap ahli keluarga agar mereka sentiasa mengingati roh si mati dan segala kebaikannya sepanjang ia hidup.
Ahli keluarga yang terlibat dengan Keriah dipanggil Onen, maksudnya orang yang berkabung.
Dalam agama Judais, amalan berkabung mesti dilakukan selama 12 bulan bermula pada hari pertama individu tersebut meninggal dunia. Ahli-ahli keluarga yang terlibat dengan tempoh ini biasanya yang tinggal serumah dengan si mati atau saudara-mara berdekatan.
Selepas mayat dikebumikan, para Onen tidak dibenarkan mandi selama seminggu, tidak boleh memakai barang-barang kulit atau bercukur. Ianya dikira menghina tempoh perkabungan.
Berikut ialah peringkat-peringkat berkabung dalam agama Judais:
Shiva (Hari ke-7 ) – Pada peringkat ini, ahli keluarga tidak dibenarkan keluar bersiar-siar, mereka hendaklah menghabiskan masa dan berkumpul di rumah untuk melayan tetamu-tetamu yang hadir. Ahli keluarga lelaki tidak dibenarkan bercukur dalam tempoh.
Selain itu, ahli-ahli keluarga (onen) juga tidak boleh menghadiri sebarang upacara perkahwinan, menonton wayang, mendengar lagu-lagu hiburan dan menghadiri konsert muzik.
Shloshim ( Hari ke-30) – Dalam tempoh ini, ahli-ahli keluarga si mati tidak dibenarkan berkahwin, bercukur dan memotong rambut.
Shneim Asar Chodesh (Bulan ke-12 ) – selepas tempoh ini barulah para Onen dibenarkan melakukan aktiviti-aktiviti harian mereka seperti biasa.
Bagi sesetengah golongan Yahudi berfahaman Zionis, mereka hanya berkabung selama 3 hari atau mungkin sehari sahaja mengikut keselesaan masing-masing.
Tempoh Pengkebumian Mayat
Mengikut para rabbi, setiap orang Yahudi yang mati hendaklah mayatnya ditanam pada hari yang sama juga mengikut kemampuan. Sekiranya ia mati pada pagi Isnin maka mayatnya hendaklah ditanam sebelum tenggelamnya matahari.
Para rabbi percaya, melengah-lengahkan pengkebumian mayat bermaksud menghina takdir Tuhan dan tidak redha akan ketentuan yang ditetapkan oleh Tuhan Israel.
Amalan Yahudi Ketika Mendengar Berita Kematian
Bagi orang Islam, apabila terdengar kematian, kita digalakkan untuk menyebut suatu doa yang berbunyi “innalillahi wainna ilaihi raaji’uun….”. Kalimah ini biasa kita sebut dan amat sinonim dengan kematian walaupun ianya boleh dibaca untuk tujuan-tujuan lain.
Memandangkan kalimah ini sering disebut ketika mendengar berita kematian maka kebanyakan orang Melayu akan berasa janggal jika menyebut kalimah ini untuk tujuan-tujun lain.
Bagi masyarakat Yahudi pula, jika terdengar kematian yang berlaku ke atas orang-orang Yahudi seperti mereka, mereka akan menyebut “Baruch dayan emet”.
Pantang Larang Dan Kepercayaan Dalam Amalan Pengkebumian Yahudi
Berikut ialah pantang-larang dan kepercayaan yang diamalkan oleh para penganut agama Judais:
Tidak dibenarkan membawa bunga ke tanah perkuburan kerana menganggap ianya membazir.
Tidak dibolehkan mengawet mayat.
Mesti menanam mayat pada hari yang sama atau secepat yang boleh.
Keranda hendaklah dibuat dari kayu bukannya kepingan logam atau plastik.
Di dalam keranda tidak dibenarkan meletakkan sebarang barang-barang kesayangan si mati. Menurut kepercayaan rabbi Yahudi, manusia lahir ke dunia tanpa apa-apa dan mereka perlu kembali ke tuhan tanpa apa-apa.
Berhenti 7 kali semasa keranda dibawa ke kawasan perkuburan. Setiap kali berhenti, ayat dari Kitab Taurat perlu dibaca. Biasanya mereka membaca Surah Psalm (ayat ke-91).
Setiap ahli-ahli berkabung (Onen) diharuskan memakai tanda khusus pada baju sebagai tanda berkabung atau kesedihan kematian seseorang. Tanda itu biasanya berupa pin baju.
Setiap Onen juga diharuskan meratapi kematian si mati sebagai tanda kasih sayang akan kehilangan si mati.
(Gambar) Rasulullah SAW melarang meratapi kematian secara berlebih-lebihan kerana ia menyerupai amalan agama Yahudi.
Kesimpulan
Jika dilihat pada tatacara amalan pengkebumian mayat, terdapat beberapa bahagian yang kelihatan hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh umat Islam. Ini bukanlah bermakna kita umat Islam telah meniru amalan Yahudi, ini bermaksud kaum Bani Israel lebih dahulu melakukan hal-hal demikian sebagai mengikut ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakob.
Hal ini telah dinyatakan Allah di dalam surah an-Nal (ayat 123) yang bermaksud;
“Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.”
Namun begitu, amalan-amalan di atas kebanyakannya hanya diamalkan oleh penganut-penganut Judais di Israel khususnya golongan orthodoks. Manakala sebahagian besar orang Yahudi berfahaman sekular di Israel lebih gemar menyerahkan urusan berikut kepada Syarikat Persendirian yang menguruskan mayat. Ada juga yang lebih suka membakar mayat dan menanam abu sahaja.
Atas perubahan ini maka berlakulah percanggahan amalan dalam masyarakat Yahudi sehingga golongan Orthodoks terpaksa pula membuat fatwa sendiri bagi menjaga masyarakat mereka.
P/S : Artikel ini dibina untuk sahabat-sahabat yang mengajar kitab Fekah berkaitan hal ehwal fardhu kifayah di surau-surau dan masjid-masjid. Mudah-mudahan maklumat ini dapat digunakan untuk menjelaskan hukum-hukum yang dikuliahkan terutamanya bagi membezakan amalan mengurus jenazah antara Islam dan Bani Israel.
Diharap maklumat ini juga dapat membantu menjawab soalan-soalan ‘remeh’ yang selalu ditanyakan pendengar-pendengar kuliah.
Sunday, September 5, 2010
Amalan Pengkebumian Mayat Masyarakat Yahudi
Posted by Allahyarham achit at 9:37 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment