PERSOALAN persepsi adalah isu yang amat berkait dengan etika. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pertemuan dengan para penulis blog di persidangan sulung penulis blog dan media sosial Asia, baru-baru ini berpandangan bahawa isu etika amat penting bagi menentukan benar tidaknya sesuatu maklumat. Ini juga kata beliau, demi kebaikan masyarakat dan supaya blog lebih dihormati.
"Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang atau membetulkan kita, kerana kita yang berkuasa (kerana) kitalah penulis, penyunting dan juga penerbit.
"Apabila memiliki senjata, jangan gunakannya sesuka hati. Penulis blog mesti berupaya menahan diri dan mengelak daripada menyatakan perkara yang tidak benar serta boleh melukakan hati orang lain," kata Dr. Mahathir.
Menulis dalam blog, forum atau jaringan sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan dunia maya.
Maklumat yang diambil daripada tulisan para penulis blog amat rapat hubungannya dengan binaan persepsi.
Persepsi boleh menyebabkan salah faham dan juga kesimpulan terhadap sesuatu secara tidak tepat.
Dalam tradisi Islam persepsi perlu didukung dengan ilmu, data serta fakta yang benar. Tanpa asas itu, persepsi akan lebih bersifat sensasi. Isu persepsi di zaman teknologi maklumat amat penting didukung dengan etika yang murni.
Sebelum seorang penulis memberi reaksi terhadap sesuatu tulisan atau pendapat, ia harus memiliki daya analitis yang tinggi supaya manfaat analisisnya menyumbang kepada agama, pemikiran dan ilmu.
Bayangkan maklum balas yang diberikan berasaskan emosi yang melulu dan sensasi yang tinggi. Ia bakal menjadi sampah sarap yang tidak boleh meningkat akal budi insan. Kecenderungan ini semakin popular di kalangan sesetengah penulis blog yang tidak beretika dan menyebabkan tulisan dalam blog tidak semua dapat dipertanggungjawabkan.
Etika yang tinggi bermaksud pendapat yang diutarakan tidak sahaja bernas, tepat, tetapi dalam masa yang sama diolah dengan bahasa yang beradab. Pentingnya persepsi diperkukuhkan dengan maklumat benar kerana terdapat pelayar-pelayar blog mula membentuk pendapat awam dan menarik perhatian mereka untuk mengambil sikap serupa. Kalau persepsi itu tidak benar, hanya berasaskan khabar angin. Maka mereka terlibat sama dalam melakukan fitnah terhadap orang lain.
Adalah menjadi lumrah manusia untuk memberi tindak balas terhadap sesuatu isu.
Namun begitu, sesuatu luahan ataupun pendapat perlulah disampaikan secara bijaksana dan berhemah.
Malah blog juga menjadi medan dakwah yang sangat berkesan dan bermanfaat sekiranya maklumat disampaikan secara berilmiah dan beretika.
Blog yang dipenuhi dengan perkataan maki hamun, kutukan dan sindiran hanya akan mengundang rasa benci dan tidak dihormati oleh pelayar-pelayar blog. Ilmu tidak bercambah, dosa pula bertambah.
Justeru para remaja yang berkecimpung dalam dunia blog harus teliti dan berhati-hati apabila menulis dan memberi pendapat mahupun mengulas pandangan orang lain.
Jangan ikut sedap rasa kerana akibatnya bakal merosakkan khazanah maklumat yang tersebar di seluruh maya.
Jadilah penulis blog yang menyumbang terhadap khazanah ilmu dan sumber tamadun supaya salah guna maklumat tidak berlaku dan fitnah juga tidak tersebar.
Etikalah yang seharusnya menjadi pedoman dan rasa ketuhananlah yang seharusnya dijadikan panduan.
TAJUK-TAJUK BERITA
Thursday, August 12, 2010
Masalah persepsi pada remaja
Posted by Allahyarham achit at 12:53 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment