Dalam memahami agama, kita tidak dapat mengelak daripada berurusan dengan bahasa sebagai perantaraan menyampaikan makna.
Kadang-kadang suatu istilah atau ungkapan boleh membawa lebih daripada satu makna. Memilih makna yang salah akan membawa salah faham dalam agama.
Inilah tabiat semula jadi bahasa-bahasa dunia termasuklah Bahasa Arab sebagai bahasa utama Islam.
Menyedari hal ini, Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid Alawi al-Maliki turut membahaskan aspek ini dalam kitab Mafahim yang menjadi sumber siri tulisan ini.
Antara ciri Bahasa Arab yang penting difahami adalah ciri Majaz iaitu pemindahan makna lafaz atau kata daripada maknanya yang asli, kepada makna yang lain. Tidak diragui lagi, bahawa majaz 'aqli sering digunakan, baik dalam al-Quran mahupun hadis. Contohnya, firman Allah SWT: Dan Yaghuth dan Ya'uuq serta Nasr (nama-nama berhala). Dan sesungguhnya mereka itu telah menyesatkan kebanyakan (daripada umat manusia). (Nuh: 23-24).
Menyandarkan kesesatan kepada berhala-berhala itu adalah majaz 'aqli dalam ayat ini kerana berhala-berhala hanyalah menjadi sebab bagi sesatnya manusia. Sementara, yang memberikan hidayah atau menyesatkan sebenarnya hanyalah Allah SWT.
Dalam hadis Nabi SAW juga banyak ungkapan yang mengandungi majaz 'aqli, yang hanya dapat diketahui oleh orang yang ahli dalam ilmu Balaghah. Bagi orang yang mengerti ungkapan haqiqi (asli) dan majazi (kiasan), tentu tidak memerlukan penjelasan yang panjang lebar berkenaan dengan masalah ini.
Sebaliknya, mereka yang tidak berkemahiran atau dikelabui oleh kecenderungan yang sesat akan hanya berpegang dengan makna zahir atau makna yang sesuai dengan kecenderungan mereka.
Sebagai contoh, ada yang beranggapan bahawa al-Quran itu makhluk (diciptakan) dengan berpegang kepada zahir ayat: Sesungguhnya Kami jadikan kitab itu sebagai al-Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab. (al-Zukhruf:3)
Ada pula yang menyatakan bahawa manusia itu mempunyai kekuasaan (qudrat) sendiri dalam menentukan nasibnya, dengan bersandarkan ayat: Maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan dosa). (al-Syura: 30)
Begitu juga, ada yang berkeyakinan bahawa manusia itu dipaksa (majbur) oleh Allah SWT melakukan perbuatannya, dengan dalil: Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu! (al-Saaffaat: 96)
Inilah antara salah faham aliran-aliran menyeleweng Mu'tazilah, Qadariyah dan Jabbariyyah.
Aliran yang benar, Ahlus Sunnah wal Jama'ah memahami nas-nas ini dengan mengambil kira sifat majazi bahasa.
Berbeza dengan golongan Qadariyah yang beranggapan bahawa perbuatan manusia itu adalah hasil perbuatannya sendiri - Ahlus Sunnah meyakini bahawa perbuatan manusia itu dicipta oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya dalam surah (al-Saaffaat: 96) di atas. Meskipun demikian, manusia juga boleh disifatkan dengan kekuasaan atau kemampuan untuk berbuat; yang disebut sebagai iktisab (berusaha menentukan pilihan), sebagaimana firman Allah: Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (al-Baqarah: 286)
Serta ayat-ayat lain yang jelas menunjukkan penyandaran kasab (usaha) kepada hamba Allah, iaitu ayat yang menegaskan bahawa manusia pun mempunyai bahagian dalam perbuatannya. Ini berbeza dengan fahaman golongan Jabbariyyah.
Kesimpulan yang boleh diambil ialah orang yang menyekutukan Allah SWT dengan yang lain dalam mencipta dan memberikan kesan kepada sesuatu, maka dia adalah musyrik, sama ada yang disekutukannya itu benda mati atau pun hidup, seorang nabi atau selainnya.
Tetapi, sesiapa mempercayai bahawa makhluk itu hanya sebagai sebab, Allah sahajalah yang menciptakan penyebab itu untuk terciptanya akibat, dan hanya Allah Pembuatnya yang sebenar tanpa ada sekutu bagi-Nya, maka dia adalah Mukmin, sekalipun dia tersalah pada sangkaannya bahawa suatu yang bukan sebab (perantara) diakuinya sebagai sebab kerana kekeliruannya hanya pada sebab, bukan pada penyebab; Yang Mencipta dan Mengatur, hanyalah Allah SWT.
Memahami isu ini, marilah kita bersikap lebih sensitif terhadap pelbagai makna dan maksud di sebalik kata-kata dan ungkapan yang boleh menatijahkan hukum yang berbeza. Menentukan persoalan ini pula memerlukan kepakaran dan pengkhususan yang bukan sedikit. Biarkanlah urusan ini di tangan para ahlinya dari kalangan ulama muktabar kerana mereka yang tidak berkeahlian tidak akan dipertanggungjawabkan oleh Tuhan melebihi tahap kemampuan mereka.
Monday, August 23, 2010
Bahasa dan kekeliruan fahaman
Posted by Allahyarham achit at 4:28 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment