? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Monday, November 23, 2009

Kuasa Simplisiti: Al-Ghazzali Oleh Deden Himawan

Saya sangat percaya dengan kuasa simplisiti.

Keberkesanan pada menyampaikan maksud, apabila sesuatu yang rumit dan membingungkan berjaya diringkaskan dengan rumusan yang komprehensif.

Tidak dinafikan, di dalam sejarah memang ada sesetengah ilmuan yang mahu ilmu dijaga nilai eksklusifnya, justeru persembahan ilmu wajar ‘disusah-susahkan’.

KAMUS ARAB

Lihat sahaja pada jenis-jenis kamus di dalam Bahasa Arab. Jika ada kamus yang menyenaraikan perkataan ISTIQAMAH di dalam Bab Alif dan bukannya Qaf, maka kamus itu kamus ringkas untuk orang biasa-biasa. Sedangkan di sana, ada kamus yang disusun bukan secara Alif Ba Ta, tetapi disusun menurut turutan makhraj huruf tersebut, misalnya kitab al-’Ain oleh al-Khalil bin Ahmad Al-Farahidi.

Rumit, bukan?

Ada buruk dan ada baiknya.

Lihat sahaja teks khutbah Jumaat di negara kita. Semasa ia ditulis di dalam tulisan Jawi, kaedah ini mampu mencegah daripada orang sebarangan yang tidak berkelayakan memanjat minbar Jumaat itu. Namun apabila para Imam yang ditauliahkan berkhutbah itu asyik tersasul tatkala istilah kontemporari dieja dengan tulisan Jawi, perspektif berubah.

CEGAH KELIRU

Dalam suasana hari ini, kekeliruan yang menimpa umat akibat lambakan ilmu dan maklumat yang hilang struktur amat memerlukan kepada usaha merupa bentukkannya kembali. Memudah cara dan menjelaskan hujung pangkalnya.

Justeru usaha memudahkan persembahan sesuatu topik memang memerlukan pertimbangan yang wajar oleh para ilmuan.

Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat dan benar (dalam segala perkara)” [al-Ahzab 33: 70]

Perkataan sadeed itu bukan hanya membawa makna perkataan yang benar, malah ia juga perlu menepati waktu dan sesuai. Menyebut dengan kualiti tertinggi agar sesuai pada upaya memahami masyarakat yang ditujukan perkataan itu.

Atas dasar itu, saya amat menghargai sebuah buku yang saya terlepas pandang akan kewujudkan ia, tetapi direzekikan oleh Allah untuk terserempak dengannya semasa melawat ibu pejabat PTS Publication di Batu Caves baru-baru ini.

AL-GHAZZALI

Buku yang saya maksudkan itu adalah TIP-TIP EFEKTIF PIMPINAN ROHANI AL-GHAZALI BUAT REMAJA, karangan DEDEN HIMAWAN, diterbitkan oleh Dar Mizan dalam versi asalnya di Indonesia, tetapi kemudiannya diterjemahkan oleh Mohd Zawawi Daud dan diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn. Bhd.

Bukunya kecil dan ringan sekali.

Tidak padan dengan isinya.

Saya sendiri tidak pasti apakah buku ini wajar ditujukan untuk remaja sedangkan golongan dewasa barangkali lebih berhajat kepadanya. Isinya sangat komprehensif dan dibentangkan dengan cara yang sangat santai, tetapi berjaya membentangkan hampir keseluruhan maklumat yang perlu diketahui oleh kita semua tentang ilmuan Islam yang agung ini iaitu Hujjah al-Islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali atau lebih dikenali sebagai Imam al-Ghazali kepada kita.

Buku ini disampaikan mencakupi perbahasan tentang khilaf umat pada melihat Imam al-Ghazali, punca khilaf itu, dan seterusnya membawa kepada mengenali latar belakang hidup, pengajian dan perjalanan hidup beliau. Turut dimuatkan adalah rumusan tentang buku-buku al-Ghazali, kesimpulan kepada idea-idea al-Ghazali, kedudukan Falsafah menurut pertimbangan karya al-Ghazali hingga kepada hubungkait idea Rene Descarte dengan beliau.

Berat bunyinya, bukan?

Tetapi Deden Himawan berjaya mengolahnya dengan begitu santai, dan saya berasa amat bertuah dapat membacanya.

Tentu sahaja buku ini tidak sesuai kepada golongan tinggi yang mahu mengupas tentang al-Ghazali lagak ahli geologi mengorek dasar laut mencari minyak. Tetapi buku ini cukup menjadi perahu untuk orang seperti kita berkayuh di gigi lautan untuk faham keluasan perbahasan mengenai tokoh Islam yang besar ini.

Setelah menulis artikel Akhirnya Kutemui al-Ghazzali (31/08/2005) dan Al-Ghazzali Sasaran Liberalisasi Agama (12/09/2005), saya kira buku ini adalah bacaan wajib buat kita yang mahu memahami dan mendekati al-Imam al-Ghazali dalam format yang kemas lagi tersusun, jauh daripada keributan falsafah dan khilaf yang mendalam.

Deden Himawan telah menjustifikasikan buku karyanya ini dengan begitu baik.

Syabas saya ucapkan kepada penulis, penterjemah dan penerbitnya. Taqabbalallaahu minnaa wa minkum…

Versi Google Book, sila klik di sini
Pembeliannya di halaman web penerbit, sila klik di sini
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

0 comments: