“Boleh saya tengok buku tu?” pinta Yusuf.
“Silakan,” saya mengajukan naskhah yang ada di tangan.
Yusuf berkerut dahi. Membelek-belek buku tersebut dan menyelak beberapa lembaran yang kelihatannya bersifat selektif.
“Kenapa buku ini?” beliau menyoal.
“Kenapa tidak?’ saya agak tidak selesa dengan cara beliau bertanya.
“Imam tidak kenal dengan penulisnya?” soal beliau lagi.
“Oh, itukah isunya. Maksud awak, penterjemahnya atau penulisnya?” saya baru menangkap maksud soalan Yusuf.
“Ya, saya maksudkan penterjemahnya. Nuh Ha Mim Keller!” ujar Yusuf, membetulkan soalan awalnya.
“Saya tidak ada masalah dengan Sheikh Nuh Ha Mim Keller. Kalau ada satu dua pandangannya berbeza dengan pandangan yang menjadi pegangan saya, itu biasa” saya membuat penjelasan.
“Lihat sahaja bab itu, The Sunni Position on Controversial Topics of Our Time. Pendapat-pendapat itu penuh dengan bid’ah dan bertentangan dengan pendirian Salafussoleh. Saya amat tidak menyukainya” kata Yusuf lagi.
Saya berhenti bersoal jawab.
Mencari hikmah di dalam diam, untuk mencegah sesal di dalam berkalam.
Saya tidak salahkan Yusuf.
Beliau sebagai seorang saudara baru di negara Barat, memang berat pada menentukan pendirian dalam hal-hal seperti ini.
HITAM DAN PUTIH, TIADA KELABU
Yusuf mengalami satu keadaan yang sering saya temui di kalangan kelompok Muallaf (saudara baru) di negara Eropah. Keluar daripada lembah kufur dan jahiliah, bersyahadah dengan pengisytiharan Iman dan masuk ke daerah Islam, mereka tidak mudah menyesuaikan diri dengan kepelbagaian pendapat dan aliran yang wujud di dalam Islam. Segalanya harus antara yang HAK dan BATIL. Tiada apa yang bersifat pertengahan, dan HAK itu mesti bersifat tunggal.
Justeru, apabila berdepan dengan wujudnya pendekatan yang berbeza dalam beberapa aspek Usuluddin hingga wujudnya aliran Salaf dan Khalaf, kelompok Muallaf di Eropah menjadi sedikit agresif pada memilih salah satunya.
Logik Yusuf mudah sahaja.
Jika selama ini beliau disesatkan di dalam agama Kristian oleh perbuatan paderi-paderinya yang manipulatif dan mengangkat otoriti diri mengatasi otoriti Bible, Yusuf turut fobia dengan ‘pendapat-pendapat ulama’ yang menenggelamkan persoalan yang lebih penting iaitu, apa pendapat Allah dan apa pendapat Rasul.
Kitab ‘Umdat as-Salik wa ‘Uddat an-Nasik (Reliance of the Traveller and Tools of the Worshipper, atau lebih dikenali dengan ringkasan tajuknya, Reliance of the Traveller) adalah sebuah manual klasik Mazhab Syafi’e. Penulis asal kepada bahagian utama buku ini adalah Ahmad ibn Naqib al-Misri, yang menjadikan legasi Imam Nawawi dan Imam Abu Ishaq al-Shirazi sebagai fondisi buku karangannya.
Kitab ini diterjemahkan oleh seorang ilmuan dari Amerika Syarikat yang memeluk Islam dan kemudiannya bermastautin di Jordan iaitu Sheikh Nuh Ha Mim Keller pada tahun 1991 . Terjemahan ini menjadi teks berbahasa Eropah pertama yang menerima pengiktirafan oleh Al-Azhar.
Sebagai seorang yang bermazhab Syafi’e dan bermanhajkan aliran Asya’irah di dalam Usuluddin, Sheikh Nuh Ha Mim Keller menyertakan pandangan-pandangan beliau tentang isu-isu yang dianggap kontroversi pada masa kini. Soal bid’ah, Sufi dan Tasauf, penafsiran ayat-ayat Mutasyabihat di dalam al-Quran, persoalan keraian Maulid, adalah di antara isu yang disentuh oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller di dalam seksyen khas yang dimuatkan sama.
BAKAR BUKU
“Saya faham kerisauan awak, Yusuf. Tetapi sebagai seorang penuntut ilmu, kita tidak harus menghukum keseluruhan buku, hanya kerana ada sebahagian isinya yang tidak kita persetujui. Jika awak menolak buku Reliance of the Traveller hanya kerana awak tidak bersetuju dengan pandangan Sheikh Nuh Ha Mim Keller tentang Sufi dan Maulid, awak juga nanti akan menolak Tafsir al-Kasyaf oleh al-Imam al-Zamakhsyari hanya kerana ada semuka dua buku itu yang pandangannya cenderung kepada idea Muktazilah,” saya cuba melunakkan reaksi keras Yusuf.
“Saya bukan ilmuan seperti Imam. Saya orang biasa. Muallaf. Jika ada perkara yang saya rasa ia boleh mencederakan iman saya, saya tidak teragak-agak untuk menolak, malah menghapuskannya” tegas Yusuf.
“Menghapuskannya?” terkejut saya dengan kalimah yang diucapkannya.
“Ya, menghapuskannya. Naskhah Reliance of the Traveller yang pernah saya miliki, saya sudah bakar!” Yusuf memandang tepat ke muka saya.
“Astaghfirullah. Saya gembira dengan ketegasan awak menjaga iman. Tetapi janganlah sampai membakar buku,” saya mengurut dada.
“Saya tidak mahu ada orang lain jadi sesat atau keliru membaca buku milik saya. Justeru membakarnya adalah penyelesaian terbaik” Yusuf menegaskan lagi pendapatnya.
Saya kaget.
Yusuf tidak berganjak.
Adegan membakar buku di dalam filem Wanita Berkalung Sorban
“Beware any society that burns books. Ia simptom kepada dictatorship. Lihat sahaja Dinasti Qin di China, Nazi di Jerman serta Maximilien François Marie Isidore de Robespierre di Perancis. Kita sependapat dalam banyak perkara, tetapi izinkan saya untuk tidak menyetujui sikap awak membakar buku tersebut!” saya menyudahkan perbualan.
“Tetapi sekurang-kurangnya saya berpendapat demikian setelah membaca sendiri dan membuat keputusan. Ada orang yang memberikan pendapat yang lebih teruk tentang ulama atau buku tanpa pernah membacanya. Hanya hearsay sahaja!” tambah Yusuf.
“Bab itu saya sangat setuju. Jika tadi kita khilaf, dalam isu ini saya bersepakat dengan awak” saya mengulas.
Biar pun perbualan kami malam itu berakhir dengan khilaf yang tajam, tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana ia tidak menjejaskan ukhuwwah di antara kami. Yusuf terus setia mengunjungi saya serta bertukar-tukar pendapat. Yusuf adalah Yusuf. Biar pun saya ada bertemu dengan beberapa orang yang memikul sikap yang sama sepertinya, ia berlaku kerana sesuatu. Meletakkan diri di tempat Yusuf, saya boleh faham mengapa beliau begitu keras.
Beliau datang kepada Islam kerana mahu mentaati Allah dan Rasul. Justeru kegemaran segelintir pihak berputar-putar pada qaul Ulama apatah lagi sekadar ustaz yang tidak mencapai taraf ilmuan, hingga menenggelamkan apa kata Allah dan apa kata Rasul, Yusuf ada sikap yang tersendiri terhadap hal ini. Ulama’ mesti membimbing manusia mencintai Rasul, bukannya menggunakan Rasul untuk taasub kepada Ulama.
Akhirnya, sikap juga yang menjadi isunya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Sunday, November 29, 2009
Jangan Bakar Buku!
Posted by Allahyarham achit at 4:38 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment