? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Sunday, November 29, 2009

Jangan Bakar Buku!

“Boleh saya tengok buku tu?” pinta Yusuf.

“Silakan,” saya mengajukan naskhah yang ada di tangan.

Yusuf berkerut dahi. Membelek-belek buku tersebut dan menyelak beberapa lembaran yang kelihatannya bersifat selektif.

“Kenapa buku ini?” beliau menyoal.

“Kenapa tidak?’ saya agak tidak selesa dengan cara beliau bertanya.

“Imam tidak kenal dengan penulisnya?” soal beliau lagi.

“Oh, itukah isunya. Maksud awak, penterjemahnya atau penulisnya?” saya baru menangkap maksud soalan Yusuf.

“Ya, saya maksudkan penterjemahnya. Nuh Ha Mim Keller!” ujar Yusuf, membetulkan soalan awalnya.


“Saya tidak ada masalah dengan Sheikh Nuh Ha Mim Keller. Kalau ada satu dua pandangannya berbeza dengan pandangan yang menjadi pegangan saya, itu biasa” saya membuat penjelasan.

“Lihat sahaja bab itu, The Sunni Position on Controversial Topics of Our Time. Pendapat-pendapat itu penuh dengan bid’ah dan bertentangan dengan pendirian Salafussoleh. Saya amat tidak menyukainya” kata Yusuf lagi.

Saya berhenti bersoal jawab.

Mencari hikmah di dalam diam, untuk mencegah sesal di dalam berkalam.

Saya tidak salahkan Yusuf.

Beliau sebagai seorang saudara baru di negara Barat, memang berat pada menentukan pendirian dalam hal-hal seperti ini.

HITAM DAN PUTIH, TIADA KELABU

Yusuf mengalami satu keadaan yang sering saya temui di kalangan kelompok Muallaf (saudara baru) di negara Eropah. Keluar daripada lembah kufur dan jahiliah, bersyahadah dengan pengisytiharan Iman dan masuk ke daerah Islam, mereka tidak mudah menyesuaikan diri dengan kepelbagaian pendapat dan aliran yang wujud di dalam Islam. Segalanya harus antara yang HAK dan BATIL. Tiada apa yang bersifat pertengahan, dan HAK itu mesti bersifat tunggal.

Justeru, apabila berdepan dengan wujudnya pendekatan yang berbeza dalam beberapa aspek Usuluddin hingga wujudnya aliran Salaf dan Khalaf, kelompok Muallaf di Eropah menjadi sedikit agresif pada memilih salah satunya.

Logik Yusuf mudah sahaja.

Jika selama ini beliau disesatkan di dalam agama Kristian oleh perbuatan paderi-paderinya yang manipulatif dan mengangkat otoriti diri mengatasi otoriti Bible, Yusuf turut fobia dengan ‘pendapat-pendapat ulama’ yang menenggelamkan persoalan yang lebih penting iaitu, apa pendapat Allah dan apa pendapat Rasul.



Kitab ‘Umdat as-Salik wa ‘Uddat an-Nasik (Reliance of the Traveller and Tools of the Worshipper, atau lebih dikenali dengan ringkasan tajuknya, Reliance of the Traveller) adalah sebuah manual klasik Mazhab Syafi’e. Penulis asal kepada bahagian utama buku ini adalah Ahmad ibn Naqib al-Misri, yang menjadikan legasi Imam Nawawi dan Imam Abu Ishaq al-Shirazi sebagai fondisi buku karangannya.

Kitab ini diterjemahkan oleh seorang ilmuan dari Amerika Syarikat yang memeluk Islam dan kemudiannya bermastautin di Jordan iaitu Sheikh Nuh Ha Mim Keller pada tahun 1991 . Terjemahan ini menjadi teks berbahasa Eropah pertama yang menerima pengiktirafan oleh Al-Azhar.

Sebagai seorang yang bermazhab Syafi’e dan bermanhajkan aliran Asya’irah di dalam Usuluddin, Sheikh Nuh Ha Mim Keller menyertakan pandangan-pandangan beliau tentang isu-isu yang dianggap kontroversi pada masa kini. Soal bid’ah, Sufi dan Tasauf, penafsiran ayat-ayat Mutasyabihat di dalam al-Quran, persoalan keraian Maulid, adalah di antara isu yang disentuh oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller di dalam seksyen khas yang dimuatkan sama.

BAKAR BUKU

“Saya faham kerisauan awak, Yusuf. Tetapi sebagai seorang penuntut ilmu, kita tidak harus menghukum keseluruhan buku, hanya kerana ada sebahagian isinya yang tidak kita persetujui. Jika awak menolak buku Reliance of the Traveller hanya kerana awak tidak bersetuju dengan pandangan Sheikh Nuh Ha Mim Keller tentang Sufi dan Maulid, awak juga nanti akan menolak Tafsir al-Kasyaf oleh al-Imam al-Zamakhsyari hanya kerana ada semuka dua buku itu yang pandangannya cenderung kepada idea Muktazilah,” saya cuba melunakkan reaksi keras Yusuf.

“Saya bukan ilmuan seperti Imam. Saya orang biasa. Muallaf. Jika ada perkara yang saya rasa ia boleh mencederakan iman saya, saya tidak teragak-agak untuk menolak, malah menghapuskannya” tegas Yusuf.

“Menghapuskannya?” terkejut saya dengan kalimah yang diucapkannya.

“Ya, menghapuskannya. Naskhah Reliance of the Traveller yang pernah saya miliki, saya sudah bakar!” Yusuf memandang tepat ke muka saya.

“Astaghfirullah. Saya gembira dengan ketegasan awak menjaga iman. Tetapi janganlah sampai membakar buku,” saya mengurut dada.

“Saya tidak mahu ada orang lain jadi sesat atau keliru membaca buku milik saya. Justeru membakarnya adalah penyelesaian terbaik” Yusuf menegaskan lagi pendapatnya.

Saya kaget.

Yusuf tidak berganjak.



Adegan membakar buku di dalam filem Wanita Berkalung Sorban

“Beware any society that burns books. Ia simptom kepada dictatorship. Lihat sahaja Dinasti Qin di China, Nazi di Jerman serta Maximilien François Marie Isidore de Robespierre di Perancis. Kita sependapat dalam banyak perkara, tetapi izinkan saya untuk tidak menyetujui sikap awak membakar buku tersebut!” saya menyudahkan perbualan.

“Tetapi sekurang-kurangnya saya berpendapat demikian setelah membaca sendiri dan membuat keputusan. Ada orang yang memberikan pendapat yang lebih teruk tentang ulama atau buku tanpa pernah membacanya. Hanya hearsay sahaja!” tambah Yusuf.

“Bab itu saya sangat setuju. Jika tadi kita khilaf, dalam isu ini saya bersepakat dengan awak” saya mengulas.

Biar pun perbualan kami malam itu berakhir dengan khilaf yang tajam, tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana ia tidak menjejaskan ukhuwwah di antara kami. Yusuf terus setia mengunjungi saya serta bertukar-tukar pendapat. Yusuf adalah Yusuf. Biar pun saya ada bertemu dengan beberapa orang yang memikul sikap yang sama sepertinya, ia berlaku kerana sesuatu. Meletakkan diri di tempat Yusuf, saya boleh faham mengapa beliau begitu keras.

Beliau datang kepada Islam kerana mahu mentaati Allah dan Rasul. Justeru kegemaran segelintir pihak berputar-putar pada qaul Ulama apatah lagi sekadar ustaz yang tidak mencapai taraf ilmuan, hingga menenggelamkan apa kata Allah dan apa kata Rasul, Yusuf ada sikap yang tersendiri terhadap hal ini. Ulama’ mesti membimbing manusia mencintai Rasul, bukannya menggunakan Rasul untuk taasub kepada Ulama.

Akhirnya, sikap juga yang menjadi isunya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Surat Untukmu Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim..

Ke hadapan sahabatku yang kukasihi dan kusayangi kerana Allah,

Semoga dirimu sentiasa di bawah lindungan rahmatNya serta dikurniakan tubuh badan yang sihat bagi menunaikan tanggungjawabmu sebagai seorang Muslim. Ketika nukilan ini kutulis mungkin kau sedang ditemani oleh sahabatmu yang mampu menceriakan dirimu lebih dariku. Walau bersama siapapun dirimu ketika ini, walau siapa jua di sisimu, diriku tetap mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan dirimu..

Sahabatku,
Sepanjang cuti yang lalu, banyak yang telah kufikirkan. Tentang kata-katamu mengenai diriku. Tentang teguran darimu yang membuat diriku tersedar dari lamunanku. Terima kasih wahai sahabatku. Dengan kata-kata dan teguran darimu, aku muhasabah kembali tentang apa yang telah aku lakukan sepanjang kita bersahabat. Adakalanya perlakuan dan tutur kataku melukai hatimu. Tapi kau masih tersenyum ketika berbicara denganku. Ku akui kelemahan diri yang sukar sekali mengawal bicaraku. Telah banyak kali kuingatkan diri ini agar mengawal setiap tutur bicaraku namun diriku kecundang jua.

Sahabatku,
Kadang-kadang banyak perkara yang ingin kukongsi bersama dirimu. Bila kusedar tentang siapa diriku pada pandangan matamu, cepat-cepat aku padamkan keinginan hatiku itu. Aku mengerti bahawa aku bukanlah sesiapa pada dirimu. Tapi bagiku dirimu amat bererti buat diriku. Sejak aku mengenali dirimu, banyak perkara yang tak pernah aku bayangkan menjadi sebahagian dari kisah hidupku telahpun kutempuhi. Ianya amat beerti bagi diriku yang masih mencari tentang erti kehidupan yang sebenar.

Sahabatku,
Aku tertanya ke mana hilangnya kemesraan hubungan kita. Kenapa kau mendiamkan diri dan tidak menjawab semua panggilanku? Jika benar diriku ada berbuat salah dan melukai hatimu, maafkanlah diri ini kerana aku jua manusia biasa yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Khabarkan pada diriku tentang apa yang telah aku lakukan yang membuatkan dirimu menjauhkan diri dariku. Jika dirimu enggan memaafkanku, apalah dayaku kerana hanya kau yang berhak untuk memberikan kemaafan padaku. Sahabatku yang lain pernah berkata 'Orang yang memaafkan kesalahan orang lain punyai jiwa yang besar'. Mahukah kau menjadi seperti mereka?

Sahabatku,
Aku tidak mampu lagi untuk menyusun madah kerana setiap kali diriku mencoret nukilan buatmu aku dapat rasakan yang kau semakin jauh dariku. Ambillah sebanyak mana waktu yang kau mahukan. Akanku didik diri ini agar sabar dalam menanti sebuah kemaafan darimu. Jika itu harga sebuah kemaafan yang perlu kubayar akan kusabar dalam penantian ini.

Sekian dariku.

Sahabatmu,
Al-Mukhlisah.

Monday, November 23, 2009

Kuasa Simplisiti: Al-Ghazzali Oleh Deden Himawan

Saya sangat percaya dengan kuasa simplisiti.

Keberkesanan pada menyampaikan maksud, apabila sesuatu yang rumit dan membingungkan berjaya diringkaskan dengan rumusan yang komprehensif.

Tidak dinafikan, di dalam sejarah memang ada sesetengah ilmuan yang mahu ilmu dijaga nilai eksklusifnya, justeru persembahan ilmu wajar ‘disusah-susahkan’.

KAMUS ARAB

Lihat sahaja pada jenis-jenis kamus di dalam Bahasa Arab. Jika ada kamus yang menyenaraikan perkataan ISTIQAMAH di dalam Bab Alif dan bukannya Qaf, maka kamus itu kamus ringkas untuk orang biasa-biasa. Sedangkan di sana, ada kamus yang disusun bukan secara Alif Ba Ta, tetapi disusun menurut turutan makhraj huruf tersebut, misalnya kitab al-’Ain oleh al-Khalil bin Ahmad Al-Farahidi.

Rumit, bukan?

Ada buruk dan ada baiknya.

Lihat sahaja teks khutbah Jumaat di negara kita. Semasa ia ditulis di dalam tulisan Jawi, kaedah ini mampu mencegah daripada orang sebarangan yang tidak berkelayakan memanjat minbar Jumaat itu. Namun apabila para Imam yang ditauliahkan berkhutbah itu asyik tersasul tatkala istilah kontemporari dieja dengan tulisan Jawi, perspektif berubah.

CEGAH KELIRU

Dalam suasana hari ini, kekeliruan yang menimpa umat akibat lambakan ilmu dan maklumat yang hilang struktur amat memerlukan kepada usaha merupa bentukkannya kembali. Memudah cara dan menjelaskan hujung pangkalnya.

Justeru usaha memudahkan persembahan sesuatu topik memang memerlukan pertimbangan yang wajar oleh para ilmuan.

Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat dan benar (dalam segala perkara)” [al-Ahzab 33: 70]

Perkataan sadeed itu bukan hanya membawa makna perkataan yang benar, malah ia juga perlu menepati waktu dan sesuai. Menyebut dengan kualiti tertinggi agar sesuai pada upaya memahami masyarakat yang ditujukan perkataan itu.

Atas dasar itu, saya amat menghargai sebuah buku yang saya terlepas pandang akan kewujudkan ia, tetapi direzekikan oleh Allah untuk terserempak dengannya semasa melawat ibu pejabat PTS Publication di Batu Caves baru-baru ini.

AL-GHAZZALI

Buku yang saya maksudkan itu adalah TIP-TIP EFEKTIF PIMPINAN ROHANI AL-GHAZALI BUAT REMAJA, karangan DEDEN HIMAWAN, diterbitkan oleh Dar Mizan dalam versi asalnya di Indonesia, tetapi kemudiannya diterjemahkan oleh Mohd Zawawi Daud dan diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn. Bhd.

Bukunya kecil dan ringan sekali.

Tidak padan dengan isinya.

Saya sendiri tidak pasti apakah buku ini wajar ditujukan untuk remaja sedangkan golongan dewasa barangkali lebih berhajat kepadanya. Isinya sangat komprehensif dan dibentangkan dengan cara yang sangat santai, tetapi berjaya membentangkan hampir keseluruhan maklumat yang perlu diketahui oleh kita semua tentang ilmuan Islam yang agung ini iaitu Hujjah al-Islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali atau lebih dikenali sebagai Imam al-Ghazali kepada kita.

Buku ini disampaikan mencakupi perbahasan tentang khilaf umat pada melihat Imam al-Ghazali, punca khilaf itu, dan seterusnya membawa kepada mengenali latar belakang hidup, pengajian dan perjalanan hidup beliau. Turut dimuatkan adalah rumusan tentang buku-buku al-Ghazali, kesimpulan kepada idea-idea al-Ghazali, kedudukan Falsafah menurut pertimbangan karya al-Ghazali hingga kepada hubungkait idea Rene Descarte dengan beliau.

Berat bunyinya, bukan?

Tetapi Deden Himawan berjaya mengolahnya dengan begitu santai, dan saya berasa amat bertuah dapat membacanya.

Tentu sahaja buku ini tidak sesuai kepada golongan tinggi yang mahu mengupas tentang al-Ghazali lagak ahli geologi mengorek dasar laut mencari minyak. Tetapi buku ini cukup menjadi perahu untuk orang seperti kita berkayuh di gigi lautan untuk faham keluasan perbahasan mengenai tokoh Islam yang besar ini.

Setelah menulis artikel Akhirnya Kutemui al-Ghazzali (31/08/2005) dan Al-Ghazzali Sasaran Liberalisasi Agama (12/09/2005), saya kira buku ini adalah bacaan wajib buat kita yang mahu memahami dan mendekati al-Imam al-Ghazali dalam format yang kemas lagi tersusun, jauh daripada keributan falsafah dan khilaf yang mendalam.

Deden Himawan telah menjustifikasikan buku karyanya ini dengan begitu baik.

Syabas saya ucapkan kepada penulis, penterjemah dan penerbitnya. Taqabbalallaahu minnaa wa minkum…

Versi Google Book, sila klik di sini
Pembeliannya di halaman web penerbit, sila klik di sini
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

lebih awla

Lebih Awla
Mereka suruh baca Fiqh Awlawiyyat
karangan Dr Yusuf al Qaradhawi
kesimpulan yang mereka dapat
lebih awla campur haq dan batil
untuk dapat sebuah produksi islami

Mereka kata berlakon tak tutup aurat
bukan kuasa kita untuk ubah drastik
kalau suruh pelakon freehair bertudung
mereka bimbang apa kata si pelakon
padahal sudah ada ramai freehair bertudung
dalam lakonan
malah dalam drama yang mereka bicara jua

mereka kata nak ubah lakonan dakwah
ikut syariat 100% bukan senang
oleh itu pada mereka
lebih awla (utama) ubah cerita saja
lakonan biar dengan cara haram

apalah yang mereka tahu tentang lakonan agaknya
pelakon digaji untuk berlakon ikut skrip
sudah ramai pelakon yang baik
berjaya dijahatkan dengan skrip

oleh itu, tempoh apa yang mereka pinta
bukan pelakon yang beri tempoh
pelakon boleh berubah imej sekelip mata
mereka pelakon, itu memang kerja mereka

masalah sebenar pada penulis skrip
masalah sebenar pada pengarah
masalah sebenar pada penerbit
lebih awla bagi mereka mengikut citarasa
bukan awla bagi mereka mengikut perintah Tuhan

IBNMUKHTAR

6 Ogos 2009

Forum Cabaran Mendidik Generasi-Y

“Sebaik-baik kamu ialah kamu yang apa?” mungkin terlontar soalan seperti ini.

“Kamu yang solat Subuh berjemaah setiap pagi?” satu jawapan cadangan.

“Kamu yang berumrah di Mekah setiap Ramadhan?” boleh jadi juga.

“Kamu yang hafiz al-Quran?” mungkin dan barangkali.

Semua amalan di atas amat tinggi nilainya. Namun kesemuanya masih sebuah proses. Bukan itu matlamat akhir dalam beragamanya kita dengan Islam. Setiap proses itu perlu dibuktikan keberkesanannya dengan hasil.


Salah satu hasilnya ialah:

“Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya, dan aku adalah orang yang paling berbuat baik untuk keluargaku!” [Hadith daripada Aisyah radhiyallaahu ‘anha, dikeluarkan oleh al-Tirmidhi]

Hasil segala ibadah yang tinggi itu diukur dengan AKHLAQ dan akhlaq paling utama adalah pada tatacara seseorang itu bermuamalah dengan ahli keluarganya.

Tingginya kepentingan dan keperluan memelihara institusi keluarga, saya berusaha sedaya upaya untuk memberikan sepenuh komitmen kepada program yang bersangkutan dengannya.

Hari ini, Sabtu 21 November 2009 saya digandingkan bersama Ustazah Dato’ Siti Nor Bahyah sebagai panelis bagi Forum Cabaran Mendidik Generasi-Y anjuran bersama Persatuan Penduduk Taman Sutera, Surau Taman Sutera, Persatuan Penduduk Bandar Cheras Jaya dan Masjid Manbaeil Uloom Cheras Jaya. Program yang berlangsung di Masjid Taman Cheras Jaya ini, diserikan juga dengan kehadiran pengantara yang tidak asing bagi sesiapa sahaja yang menonton TV3 iaitu Saudara Ahmad Fedtri Yahya, pengacara rancangan Malaysia Hari ini.



Program ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada penduduk setempat. Forum yang asalnya patut bermula pada jam 9 dan tamat jam 11, bermula lewat setengah jam tetapi berlanjutan selama tiga jam hingga mencecah hampir ke pukul 1 tengah hari. Hadirin tidak berganjak, dan terus memberikan tumpuan penuh kepada perbincangan.

Tajuk ini asalnya pernah menjadi tajuk seminar yang saya sampaikan di Kepala Batas beberapa bulan yang lalu. Pihak Persatuan Penduduk Taman Sutera dan surau mereka, melamar saya dengan harapan tajuk ini dapat juga dikupas untuk dikongsi bersama penduduk sekitar Cheras Jaya. Saya menerima dengan penuh rasa syukur dan bersungguh.

Tidak mudah untuk menangani cabaran Generasi Y. Mereka ini yang lahir pada sekitar tahun 80′an membawa kepada akhir 90′an, biar pun di sesetengah negara digelar sebagai Generasi MTV, tetapi saya lebih menyetujui pandangan bahawa signature kepada generasi ini adalah pada akses serta dampingan yang akrab dengan kecanggihan alat telekomunikasi, internet dan maklumat.

Segalanya menjadikan mereka terpaksa mengadap cabaran-cabaran halus yang amat sukar untuk ditangani, melainkan ibu bapa, guru, pendakwah dan sekalian yang memikul tanggungjawab mendidik generasi remaja ini mempersiapkan diri dengan beberapa kelengkapan pendidikan dan dakwah yang menepati keadaan mereka.

Ustazah Dato’ Siti Nor Bahyah tidak lokek berkongsi pengalamannya mendidik anak-anak beliau sendiri yang berada di dalam lingkungan generasi-Y itu. Saya yang anak-anak masih kecil ini, memanfaatkan pengalaman berinteraksi dengan remaja di dalam sebegitu banyak program bersama mereka, dengan maksud mahu melontarkan signifikasi tajuk kepada hadirin.

Agar mereka nampak betapa besar dan seriusnya tajuk ini.



Kali pertama digandingkan bersama Ustazah Dato’ Siti Nor Bahyah, Ummu Saif mengambil peluang bergambar kenangan bersama

Namun, walaupun tajuk ini besar lagi kritikal, syukur Alhamdulillah kombinasi kami bertiga kekal dalam lingkungan format yang santai, ceria tetapi menyentuh langsung kepada tajuk-tajuk yang diberikan. Sukar untuk saya ringkaskan isi kandungan forum 3 jam itu. Akan tetapi, artikel-artikel berikut dibawa secara langsung di dalam jawapan saya kepada soalan-soalan yang dikemukakan:

Dialog Gen-Y: Antara Iman dan Kufur
Selamatkan Uda dan Dara Dengan Hikmah Puasa
Mendidik Anak Ilmu Kebal
Kita Dapat Apa Yang Kita Beri
Tanpa Kasih Sayang Peraturan Jadi Beban
Dosa Kita Mengatasi Kesalahan Anak-anak
Lindungi Diri Lindungi Keluarga dan Ahli
Sebuah Perhatian: Anugerah Buatmu Sayang
Bagaimana Untuk Saya Pulang ke Rumah?
Lelaki dan Keluarga, Seperti Imam dengan Makmumnya
Jiwa Dai’e Otak Faqih
Kausa Prima Sebuah Agenda
Merebut Saham Anak Muda
Pelajar oh Pelajar!
Ulasan Tabiat 5: Berusaha Untuk Memahami, Sebelum Difahami
Akhlaq Itu Bukan Lalang
Semoga apa yang diwacanakan di Forum Cabaran Mendidik Generasi-Y berkenaan berjaya memberikan bahan fikiran dan tindakan untuk setiap mereka yang hadir dan disebar luaskan manfaatnya. Tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana mengusahakan forum ini pada hari pertama bermulanya musim cuti persekolahan anak-anak.



“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari kalangan isteri dan zuriat kami: perkara-perkara yang menyejukkan mata, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa” (al-Furqan 25: 74)

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Wednesday, November 4, 2009

Menyelesaikan Pergaduhan Anak-anak


“Yop, kenapa Yop bergaduh dengan kawan-kawan tadi tu?” saya menepuk bahu Saiful Islam.

Beliau memuncung.

Enggan berkata-kata.

“Yop, kenapa gaduh?” Imad menyampuk, meniru soalan saya kepada abangnya.

“Ha ah, kenapa Yop gaduh tadi?” Naurah pun membabitkan diri sama.

Menambah tekanan ke atas abang mereka yang masih ‘berasap kepala’.


“Janganlah tanya Yop macam tu. Pening kepala dia. Biar abi sahaja yang tanya” saya mengarahkan Imad dan Naurah duduk kembali di kerusi belakang serta memasang kembali tali pinggang keselamatan.

“Tadi tu Yop main ke gaduh?” saya menukar bentuk soalan untuk menyegarkan pertanyaan ulangan.

“Gaduh!” jawab Saiful Islam.

Ringkas.

“Kenapa gaduh?” saya bertanya lagi.

“Dia orang ejek Yop” anak saya mula membuka ruang bicara.

“Oh, macam tu. Kenapa mereka ejek Yop? Eh silap, mereka ejek Yop apa?” saya menyambung soalan, sambil membatalkan soalan yang tidak disukai oleh anak-anak iaitu KENAPA.

“Dia orang cakap Yop Saiful Apek!” jawab Yop.

“Hahaha! Oppss…” saya memekup mulut kerana tergelak dengan tidak sengaja.

“Abi ni…!!!” Saiful Islam bengang dengan saya.

“Sorry Yop. Abi tak sengaja. Oh, sebab itulah Yop marahkan mereka. Mereka panggil Yop Saiful Apek rupanya” sebagai bapa, saya harus membina kepercayaan anak-anak bahawa kita mengiktiraf masalah mereka dan memahaminya.

HANTU TELEVISYEN

“Yop tahu tak, orang yang panggil Yop Saiful Apek tu, mereka hantu televisyen. Sebut aje Saiful, terus teringat Saiful Apek!” saya cuba memujuk.

“Ada Saiful lain ke?” soalnya kepada saya.

“Tentulah ada. Ramai. Ada Saifulllah, itu gelaran untuk Khalid bin al-Walid, tahu! Yop tahu sebab apa abi bagi Yop nama Saiful Islam?” saya pula melontarkan soalan kepadanya.

“Kenapa?” mulutnya masih memuncung semasa menyoal.

“Saiful Islam itu ialah pejuang Islam di Mesir. Bapanya bernama Hasan al-Banna. Hero Islam. Lebih hebat dari Raihan Rangers. Yop di sekolah Rumah Hijau, kan? Rumah Hijau bukankah namanya Hasan al-Banna? Saiful Islam itu nama anaknya” saya menarik kembali lipatan memori 7 tahun yang lalu, ketika memberi nama kepada anak sulung yang baru lahir.



Sheikh Ahmad Saiful Islam al-Banna

SESI DIALOG

Tengah hari itu, saya menghabiskan masa yang banyak bersama dengan anak-anak di dalam kereta meredah lautan kenderaan yang sesak di jalanraya. Kami mahu mengambil Ummu Saif yang habis bekerja jam tiga. Seronok juga dapat berbual-bual dengan mereka. Kebetulannya, ada topik yang penting untuk diselesaikan.

“Tapi dia orang tu jahat!” kata Saiful Islam kepada saya.

“Sebab itu abi tak bagi Yop pukul dia orang. Kalau Yop pukul dia orang, maknanya Yop pun sama macam mereka. Orang Islam tak boleh sakitkan orang lain dengan lidah dan tangan. Berdosa” saya cuba menangkis pandangan si anak.

“Habis tu takkan nak biar aje?” anak saya mempertikaikan pendapat bapanya.

“Jangan biarkan aje. Tapi Yop cakap le Alhamdulillah. Terima kasih ejek Yop. Yop dapat pahala, kamu dapat dosa!” saya memberikan cadangan.

“Kalau dia orang takut dosa, dia orang tidaklah ejek Yop” bidas beliau.

Aduh, pening kepala saya. Ada juga betulnya kata-kata anak saya. Buat apa timbulkan soal dosa kepada orang yang tidak pedulikan dosa. Membuang masa.

NAK GADUH JUGA

“Habis tu Yop nak buat apa?” saya meminta pendapatnya.

“Yop nak juga pukul dia orang” anak saya begitu sepenuh hati meluahkan kehendaknya.

“Terpulanglah kepada Yop. Tapi kalau mereka pukul Yop balik, Yop nak buat macam mana?” saya ‘memberikan’ kebebasan kepada beliau, sambil menyelitkan persoalan tentang risikonya.

“Yop minta tolong Abi” jawabnya pantas.

“Kalau Abi tak ada?” sengaja saya lontarkan provokasi kepadanya.

“Allah ada” tangkas Saiful Islam menjawab.

“Tapi Allah benci orang yang pukul orang. Allah tak akan tolong Yop sebab Yop pun buat dosa macam orang yang ejek Yop tu dapat dosa” penerangan dilanjutkan lagi.

“Ye la, Yop tak gaduh!” akhirnya Saiful Islam mengalah.

“Err, tapi kalau orang nak tumbuk Yop kena pertahankan diri, tahu!” saya pula yang risau.

“Kena gaduh?” anak saya terkejut.

“Silap, silap. Bagitahu ustaz sahajalah. Senang cerita” saya tidak mahu mengelirukan si anak.

“Nak bagitahu ustaz mana?” soal beliau lagi.

“Ustaz Hasrizal. The Dragon Warrior, boleh?” saya mengusik.

“Err…!” anak-anak mengalah.

Mereka hilang selera bertanya lagi.

Persaudaraan Syaitan Bersyiarkan Halloween

“Imam, apa nasihat awak kepada anak-anak kami supaya mereka tidak sibuk menyambut Halloween hujung minggu ini?” tanya seorang bapa kepada saya.

Beliau sedang menunggu Sunday School tamat tengah hari itu untuk mengambil si anak.

“Sulit. Aktiviti membuat kostum, menyiapkan bakul gula-gula, melukis poster, mengukir labu, semua itu sangat menarik perhatian anak-anak, bukan? Tempting!” saya membetulkan ketayap di kepala.

“Betul, Imam. Memberitahu anak-anak bahawa segala keseronokan itu bertentangan dengan Islam memang sulit. Saya masih mencari alternatifnya,” kata si bapa.


“Mungkin di sinilah kesilapan ibu bapa. Ada yang kuat semangat Islam, menentang sambutan harijadi, tetapi yang ditentang bukan sekadar konotasi ‘tidak Islamik’ pada sambutan harijadi itu, malah memberi hadiah kepada anak-anak pun tanpa disedari turut ditentangnya. Padahal, jika birthday itu salah sekali pun, memberi hadiah dan menyatakan penghargaan kepada anak-anak adalah Sunnah,” saya berkongsi pandangan.

“Betul. Tak sambut birthday, jangan sampai tak pernah beri anak hadiah,” tambah beliau.

“Tak bagi anak berseronok menyambut Halloween, janganlah semasa Aidilfitri pun bapa tidak bercuti untuk bergembira dengan keluarga,” saya turut menokoknya.

Kelas sudah tamat.

Anak-anak sudah keluar dari kelas dan berlari-lari turun naik tangga masjid.

Pada suatu ketika, saya dan guru-guru pening kepala dengan kerenah mereka yang sangat suka berlari di dalam bangunan masjid hingga bergegar bagai gempa bumi. Tetapi apabila memikirkan rumah Victorian masing-masing yang sempit dan berbilik-bilik, maka masjid jualah bangunan lapang yang dilihat di mata mereka seperti trek balapan!

Kawal sahaja, tidak kuasa melarangnya.



MURID TUA

Keghairahan menyambut Halloween bukan hanya mengHANTUi kanak-kanak, malah turut menggeletek naluri murid tua daripada kalangan anak muda di universiti. Andaikata mereka itu remaja yang lahir dan membesar di negara Barat, tidaklah sukar untuk difahami dari mana keinginan itu dirangsang. Tetapi jika mereka baru setahun dua menjenguk negeri orang dan ghairah mahu menyertai apa sahaja yang dilakukan massa, ia lebih kepada masalah kejutan budaya berbanding survival identiti yang dialami oleh American atau British Muslim generasi kedua dan ketiga.

“So, bolehkah ustaz kami menyambut Halloween?” tanya pelajar Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Ireland, tanah Celtic tempat lahirnya Samhain, Halloween dalam lingkungan Paganism di suatu ketika dahulu.

“Sebenarnya tiada jawapan yang muktamad untuknya,” saya melayan soalan yang ditanya.

Menjawab secara reverse psychology.

Nampak ceria di wajah pelajar yang bertanya, kerana seperti bakal menerima kurniaan keharusan menyambut Halloween daripada Ustaz Hasrizal. Bolehlah nanti dialasankan, harus menyambut Halloween menurut Ustaz Hasrizal!

“Ia bergantung kepada tahap sensitiviti kamu kepada agama. Tahap kepentingan Allah dalam hidup kamu” saya menyambung.

Berubah sedikit wajahnya.

“Jika kamu anggap, yang salah di dalam Islam hanya jika kamu sujud ke salib di gereja atau menyembah berhala di kuil dan tokong, maka Halloween tidaklah sampai ke situ. Walaupun ia adalah amalan Pagan yang lebih merupakan Festival of the Dead, hari ini perayaan Halloween sudah terpisah daripada sejarahnya. Saya rasa, hanya segelintir kawan Irish kamu yang sedar akan asal usul Halloween ini,” saya meneruskan jawapan.

“Betul ustaz. Sudah jadi budaya, bukan lagi agama. Macam Chinese New Year!” sampuk pelajar itu.

“Budaya sekular!” tokok seorang lagi.

Saya mengiyakan kata-kata mereka.



Halloween dengan sejarahnya yang penuh dengan tahyul itu, tidaklah disambut hari ini dengan kepercayaan yang sama. Labu Jack-o’-lantern itu bukan lagi untuk membantu roh Jack merayau antara langit dan bumi, atau untuk menghalau hantu.

Tetapi tanpa semua itu, Halloween masih Halloween.

Bagaimanakah tahap sensitiviti kita kepada isu-isu berikut?

IMITASI JAHILIAH

Islam mementingkan proses memelihara jati diri penganutnya. Tersendiri dan beridentiti.

Selain cara berpakaian yang ada kod tertentu berkaitan aurat sebagai asas dan keperluan memelihara janggut bagi lelaki, Islam juga menegah perbuatan meniru trend kaum lain yang menghilangkan identiti Islam seorang Muslim. Justeru Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:



“Barangsiapa yang menyerupakan dirinya dengan satu-satu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada kaum tersebut” [Hadith daripada Ibn Umar radhiyallaahu 'anhuma, dikeluarkan oleh Abu Dawood dan disahihkan oleh Ibn Hibban]

Walaupun hadith ini lemah kerana wujudnya perawi bernama ‘Abdullah ibn Luhay’ah, ia diperkukuhkan oleh pelbagai riwayat lain yang memperincikan penegasan yang sama oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam seperti penegasan beza puasa kita dengan puasa Ahli Kitab pada Sahur, penegasan antara lubang dan liang lahad pada cara mengebumikan jenazah, juga pada soal bersolat dengan sarung kaki atau tidak.

Tegasnya, meraikan Halloween itu melucutkan jati diri Muslim, dan meniru identiti kaum yang mensyirikkan Allah dan meraikan kufur sebagai gurau senda harian.

PERGAULAN BEBAS

Sambutan Halloween sama ada di jalanan atau di parti-parti yang dianjurkan, sangat sinonim dengan amalan pergaulan bebas. Bercampur aduk di antara lelaki dan perempuan dalam suasana liar, malah keliru di antara lelaki dan perempuan kerana kostum yang pelbagai, sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

Malah Halloween sangat sinonim dengan pertambahan kes jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah dan seks seperti rogol. Biar pun jenayah ini mengalami normalisasi akibat budaya Barat yang bertolak ansur malah menerima seks bebas ini, bagaimana pula dengan Islam, al-Quran, kubur, Akhirat, Syurga, Neraka dan Allah Subhanahu wa Ta’aala itu sendiri?

Soalnya sejauh manakah sensitiviti kita terhadap hal tersebut?

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan jahat (yang membawa kerosakan)” [al-Israa' 13: 32]

Halloween adalah pakej lengkap untuk anak muda mendekatkan diri kepada zina.



MENGGANGGU KETENTERAMAN AWAM

“Trick or treat?!” sergah anak-anak muda di pintu rumah.

Tuan rumah mempunyai dua pilihan.

Sama ada melayan ‘hantu-hantu’ yang datang ke muka pintu (treat), atau disumpah dengan sial di dalam sejarah atau helah mengena yang dikenakan mengikut kreativiti mereka (trick).

Mengetuk pintu rumah pada waktu malam untuk gurau senda versi Halloween ini amat mengganggu ketenteraman awam. Orang tua dan bayi kecil adalah golongan yang paling terjejas. Tambahan pula dengan penyertaan mercun, Halloween sangat mengganggu malah bisa juga memudaratkan orang lain.

Ia bertentangan dengan definisi Muslim yang disebut oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:



“Seorang Muslim itu ialah seseorang yang para Muslim lain terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya” [Muttafaq 'alayhi]

Muslim mengambil berat dan membantu jiran tetangga.

Muslim tidak menyusah dan mengganggu mereka.

PEMBAZIRAN

Matlamat baiknya tiada.

Belanja meraikan Halloween membabitkan wang dan masa.

Kombinasi antara wang dan masa yang dibelanjakan dengan matlamat baik yang tiada, menghasilkan formula pembaziran.

Berapakah keuntungan yang diperolehi oleh peniaga-peniaga yang menjual kostum serta segala peralatan untuk menyambut Halloween? Berapakah penjimatan yang boleh dilakukan apabila kita tidak menjadi manusia yang sentiasa mengikut trend, buat apa yang orang lain buat, beli apa yang orang lain beli, pakai apa yang orang lain pakai?

Ada saudara mara yang kesusahan, ada anak yatim dan miskin yang memerlukan bantuan, ada tanggungjawab belajar yang memerlukan buku serta pelbagai proses pembelajaran lain yang perlu diutamakan, mengapa Halloween jadi pilihan?



“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” [al-Israa' 17: 26-27]

Ada banyak bentuk pembaziran lain yang menjadikan kita saudara Syaitan. Tetapi membazirkan wang dan masa untuk Halloween, adalah acara rasmi menjadi saudara Syaitan dengan sokongan kostum dan kegilaan laku.

LAGHA

Apa sahaja perbuatan yang tidak dapat dijustifikasikan motifnya secara positif pada neraca agama, adalah lagha.

Menghindarkan diri daripada perkara-perkara lagha itu adalah salah satu daripada jalan penting untuk seorang insan beriman mengecap kejayaan di dunia dan di Akhirat.



“Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia” [al-Mu'minun 23: 1-3]

Usaha seorang Mukmin mencegah dirinya daripada terbabit dengan sambutan Halloween adalah sebahagian daripada sikapnya yang perlu berterusan pada mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang tidak bermanfaat.

Jelas sekali keupayaan mengawal diri agar kehidupan terisi dengan manfaat, kebajikan dan kebaikan, adalah sikap-sikap manusia berjaya, dan selayaknya golongan yang berjaya itu didahului oleh Mukmin yang sudah sedia menerimanya sebagai sebahagian daripada tujuan hidup.

PENTINGKAH SEMUA ITU?

“Berbalik kepada persoalan asal tadi, pentingkah semua itu kepada kita?” saya mengejutkan pelajar daripada lamunan mereka.

“Nasihat saya ini tidak relevan jika Halloween mahu dihindarkan, sedangkan majlis tari menari, keluar masuk rumah lelaki dan perempuan secara bebas dan semua itu masih menjadi kebiasaan harian kita. Semuanya berbalik kepada tahap sensitiviti anda. Ia besar bagi seorang Mukmin yang menjadikan Allah sebagai keutamaan tertinggi hidupnya. Ia remeh bagi Muslim yang lebih cenderung untuk menjamu nafsunya berbanding tujuan hidup yang tinggi. Terpulang” saya menyudahkan sesi soal jawab.

Teringat kembali kepada sambungan perbualan saya bersama ibu bapa pelajar Belfast Islamic School.



Pelajar-pelajar Belfast Islamic School. [kredit]

Kami para guru menganjurkan kepada ibu bapa pelajar supaya berhemah dalam menerangkan hal ini kepada anak-anak. Jangan sampai nanti, ada anak-anak yang beranggapan bahawa ibu bapa mereka menjadikan agama sebagai alasan untuk tidak mengeluarkan belanja, mengongkong anak-anak sedangkan mereka sendiri tidak melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa yang mematuhi agama.

Pastikan sambutan Aidilfitri dan Aidiladha cukup manis untuk dikenang oleh anak-anak. Elakkan bekerja pada hari perayaan kaum Muslim yang dianugerahkan Allah dan Rasul ini.

Berikan keyakinan kepada anak-anak untuk berani tersendiri. Mempunyai identiti dan tidak sentiasa terpaksa serupa dengan orang lain.

Jika terdesak, cutikan sahaja anak-anak daripada hari persekolahan ketika parti Halloween diadakan.

Dan apa yang lebih utama, jadikan Islam benar-benar sebagai sistem nilai keluarga. Jangan tunggu Halloween baru mahu ‘menggunakan’ Islam.

Dalam situasi seperti ini, ‘presenting problem’ yang ada di depan mata adalah Halloween. Tetapi ‘the real problem’ yang perlu diberikan perhatian ialah, di mana Islam dalam hidup kamu?



Soalan itu semakin ganjil apabila ia dirujuk kepada keghairahan warga Malaysia menyertai Halloween kebelakangan ini.



Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu dari kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang biawak sekali pun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah lantas menjawab, siapa lagi kalau tidak mereka itu. [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Meneladani Krisis Salaf vs. Khalaf di Era Othmaniyyah

Sebagaimana yang kita semua sedia tahu, Othmaniyyah bermazhab Hanafi. Mazhab Hanafi telah menjadi pegangan negara-negara bangsa Turki di era Islam semenjak dari zaman Karakhanid. Dengan tabiat yang wujud di dalam kaedah pengambilan hukum dan pengembangannya di dalam Mazhab Hanafi, masyarakat Othmaniyyah menganggap mereka sebagai terbuka dan fleksibel. Ia memberikan ruang kebebasan yang banyak di bidang siasah dan penguatkuasaan polisi dari semasa ke semasa. Di atas sifat ini, Halil Inalcik berpendapat bahawa Othmaniyyah adalah sebuah masyarakat Islam yang paling bersikap terbuka terhadap pengaruh budaya luar[i].


Keterbukaan Othmaniyyah itu telah mengundang kepada kemasukan unsur yang positif dan negatif. Kemunculan gerakan Kizilbas (”kepala merah”) yang membawa propaganda dan pengaruh Syiah telah menjadi senjata Kerajaan Safavid untuk mengkucar-kacirkan Othmaniyyah. Apabila ancaman ‘rakan sekiblat’ dari golongan Syiah ini muncul, ia telah menimbulkan suatu kesedaran betapa para Sultan perlu benar-benar menguasai ilmu pengetahuan demi untuk berhadapan dengan serangan pemikiran seperti yang dilakukan oleh golongan Kizilbas itu tadi. Sultan Suleyman I telah menuntut ilmu dengan Imam Ebussud (1490 – 1574) untuk tujuan tersebut.

KEMUNCULAN AJARAN SESAT

Perbicaraan yang membabitkan Molla Kabiz (m. 1527) menarik perhatian kita berkaitan dengan isu ini. Ketika mana berlakunya pemberontakan Kizilbas Kalender Celebi di Anatolia pada tahun 1527, Molla Kabiz telah mempertahankan pendapat bahawa Jesus adalah lebih hebat berbanding dengan Rasulullah Muhammad s.a.w. Semasa beliau dibicarakan buat kali pertama di Imperial Council, para kadiasker tidak dapat mendatangkan hujah Syara’ yang cukup untuk membolehkan Molla Kabiz dihukum. Sultan yang tidak berpuas hati dengan hal ini telah menitahkan agar dilangsungkan perbicaraan kedua terhadap Molla Kabiz dan kali ini ia membabitkan perdebatan bersama Sheikh al-Islam Kemal Pasazade yang juga merupakan kadi Istanbul. Sheikh al-Islam telah berjaya mendatangkan hujah yang menyebabkan Molla Kabiz terdiam, namun beliau tetap dengan pandangannya. Akhirnya Molla Kabiz dihukum bunuh selepas perbicaaraan itu.

Ekoran daripada peristiwa itu, pada tahun 1537, semua gabenor telah menerima pekeliling daripada kerajaan Othmaniyyah bahawa sesiapa yang meragui ajaran Nabi Muhammad s.a.w. adalah dianggap sebagai kafir dan boleh dihukum bunuh. Para gabenor juga menerima arahan agar setiap kampung didirikan sebuah masjid dan setiap mukallaf diwajibkan hadir ke Solat Jumaat. Ini merupakan langkah yang diharapkan dapat menjadi mekanisma yang boleh mengesan golongan yang menolak Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Kemunculan cabaran yang berbentuk serangan pemikiran di dalam sebuah masyarakat sebesar Othmaniyyah, mendorong kepada munculnya kebiasaan melaksanakan agama secara penguatkuasaan undang-undang (law enforcement) dan hal ini mengundang kepada benih-benih fanatisma di dalam soal beragama[ii].

ANTARA KERAS DAN BERSEDERHANA

Lazimnya, golongan yang keras pendekatannya adalah terdiri daripada sarjana yang masyhur dari kalangan mereka yang mengajar di masjid-masjid besar yang utama. Manakala Ulama’ yang mengambil pendekatan yang lebih bersederhana adalah terdiri daripada mereka yang mengajar di Sekolah Tinggi atau berkhidmat sebagai kakitangan di institusi agama. Di antara mereka itu, adalah Taskopruluzade Ahmed (1495 ““ 1561)[iii].

Taskopruluzade telah mengkritik secara keras terhadap tindakan Ulama’ yang keras kerana pada anggapannya telah mengeksploitasi kejahilan orang ramai dan menjuruskan mereka kepada kesesatan. Katanya, “Allah menghalang kita daripada mendekati mereka yang menonjolkan fanatisma di dalam agama!” Pada tanggapan Taskopruluzade, setiap orang adalah bebas untuk memilih mazhab pegangannya. Dakwaan bahawa mazhab seseorang adalah betul secara muktamad, manakala mazhab-mazhab yang lain sebagai palsu, serta melemparkan tuduhan kufur kepada mana-mana Muslim sebagai bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

Gerakan yang memilih pendekatan yang berbau fanatisma ini menjadi semakin berleluasa sehingga menimbulkan kegusaran di kalangan orang ramai dan ia telah menarik perhatian pemerintah untuk mengambil sikap berjaga-jaga.

MEHMET BIRGILI EFENDI


Salah seorang daripada sarjana yang bertindak keras di dalam pengajarannya adalah Mehmed of Birgi (1522 – 1573). Aktivitinya paling menonjol di sekitar tahun 1558 hingga 1565. Beliau telah mengkritik amalan-amalan kebiasaan Othmaniyyah seperti berjabat tangan dan tunduk kerana memberi hormat, budaya mencium tangan, memakai jubah-jubah yang besar dan apatah lagi perbuatan mengadakan upacara-upacara keagamaan di kawasan perkuburan sebagai Bid”‘ah dan mesti dibanteras habis-habisan. Malah serangan Mehmed of Birgi juga menyentuh beberapa polisi rasmi kerajaan Othmaniyyah seperti menggajikan mereka yang bertugas di institusi agama, menganggap pewasiatan wang serta harta alih sebagai wakaf, sebagai polisi yang batil. Pada masa yang sama, tulisan-tulisannya yang menghentam perbuatan membaca mentera dan menari-nari di dalam majlis zikir telah mengundang huru-hara di dalam masyarakat ketika itu.

Anak murid Mehmed of Birgi iaitu Kadizade Ahmed (m. 1635) dan sekumpulan pendakwah yang menjadi pengikut kepada Mehmed of Birgi, dikenali sebagai fakis, meneruskan kontroversi tersebut. Seruan mereka dari mimbar-mimbar Istanbul telah mencetuskan kacau bilau di dalam masyarakat dan menyebabkan masyarakat berpecah kepada dua. Golongan faki­s ini menegaskan bahawa sebarang amalan yang tidak wujud di zaman Nabi s.a.w. adalah Bid’ah dan sesiapa yang mengamalkannya dianggap kafir. Mereka menyatakan juga bahawa rokok tembakau dan kopi adalah haram, seiringan dengan sebarang muzik dan tari menari. Malah tuntutan golongan fakis membawa hingga kepada menuntut agar subjek seperti matematik dan ilmu sains dimansuhkan daripada Madrasah.

Seruan golongan ini berlarutan serta berkembang dan ia sampai ke suatu tahap di mana Sultan Murad IV (1623 – 1640) telah cuba untuk meraih pengaruh lantas menggubal serta menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan rokok tembakau dan alkohol serta tidak bertolak ansur terhadap mereka yang engkar.

Dakwaan golongan faki­s juga mempertikaikan kehidupan mewah para pemerintah serta menyeru kepada penentangan terhadap sebarang ketidakadilan yang berlaku. Pada tahun 1656, mereka menghentam kesemua tekke (pusat kegiatan golongan Sufi) dan cuba untuk melancarkan revolusi agama secara besar-besaran.

SALAFI DIMANIPULASI

Malang sekali, apabila pengaruh golongan faki­s menjadi begitu kuat, khususnya di kalangan rakyat bawahan, terdapat sebahagian pegawai tinggi pemerintah dan ahli politik cuba memanipulasi pengaruh itu dengan menyatakan sokongan mereka kepada golongan fakis. Golongan ini yang secara dasarnya cuba mengembalikan masyarakat kepada Sunnah, telah dijadikan sebagai alat konspirasi oleh golongan ahli politik itu tadi.

Akhirnya Koprulu Mehmed (m. 1661) yang menjadi Perdana Menteri ketika itu telah mengambil tindakan mengusir keluar golongan fakis ini daripada Istanbul demi untuk mengelakkan tercetusnya perang saudara.

PENGAJARAN

Inilah sebahagian daripada sedutan peristiwa yang pernah berlaku di zaman Othmaniyyah. Isu utama yang menjadi pencetus huru hara di masa itu adalah soal BID”‘AH dan fokusnya masih sama dengan apa yang berlaku hari ini.

Di dalam hal ini Katip Celebi[iv] (1609 – 1657) telah membuat ringkasan terhadap pandangan para Ulama berhubung dengan hal ini. Beliau menyatakan bahawa adat istiadat dan Bid’ah yang telah menjadi kebiasaan sebahagian besar masyarakat, tidak boleh dan tidak sepatutnya dihapuskan secara kekerasan. Bid’ah mungkin tidak sejajar dengan kehendak Syara’. Akan tetapi, manusia, sebagai hamba Allah adalah makhluk yang lemah dan tidak sempurna. Allah s.w.t. ‘menangani’ kelemahan manusia itu dengan sifatnya yang Maha Pengampun, lantas Islam lebih mengutamakan toleransi berbanding paksaan dan kekerasan. Tindakan menggunakan kekerasan ini hanya akan mencetuskan penentangan dan akhirnya mengakibatkan kegusaran serta perpecahan di kalangan masyarakat.

Katip Celebi juga mengusulkan bahawa penyelesaian terhadap fanatisma di dalam agama, boleh diperolehi dengan mengkaji beberapa sains keintelektualan sebagaimana yang diamalkan di era pemerintahan Fatih Sultan Mehmed. Padanya Mehmed of Birgi tidak memahami fungsi adat di dalam masyarakat kerana beliau tidak mempelajari Sejarah dan Falsafah. Katip Celebi juga percaya bahawa perdebatan sememangnya bermanfaat, namun ia terhad kepada sarjana (Ulama’) sahaja, dan tidak seharusnya membabitkan orang ramai.

Usaha yang dilakukan oleh Mehmed of Birgi dan pengikutnya adalah reaksi yang wajar apabila masyarakat semakin terbelenggu dengan amalan-amalan yang menyalahi ajaran Islam. Namun, usaha itu menjadi gagal kerana dua sebab yang berulang-ulang di sepanjang sejarah Islam iaitu:

Fanatisma terhadap pandangan sendiri

Menggunakan pendekatan keras dan paksaan di dalam dakwah
Inilah yang sepatutnya menjadi pelajaran kepada Ummah. Manipulasi golongan politik terhadap seruan ‘pulang kepada Sunnah”‘ ini juga mesti diberi perhatian kerana pendukung Sunnah sudah pun pernah menjadi ‘alat konspirasi’ sesama ahli Politik yang sentiasa memikirkan kepentingan politik mereka sahaja.

Ketika golongan faki­s sibuk dengan isu Bid’ah, pada masa itulah Othmaniyyah jatuh merudum kerana ancaman sebenar pada masa itu adalah:

Serangan kuasa bersekutu dari Barat

Serangan Syiah dari Timur

Rakyat Othmaniyyah sendiri berpecah belah pada masa tersebut.
KONSPIRASI SAFAVID

Pada tahun 1599, Shah Abbas dari Iran telah menghantar dutanya ke Eropah dan membuka kepada perbincangan ketenteraan dan ekonomi ke arah menekan Othmaniyyah secara langsung. Di Vienna, hasrat ini disambut oleh Maharaja dengan baik. Beliau menyatakan keinginan untuk membentuk suatu gagasan anti-Othmaniyyah bersama Russia dan Georgia di Timur, dan dalam masa yang sama akan bekerja keras ke arah menyatukan Raja-raja Kristian di Eropah di dalam satu Perang Salib yang bakal dilancarkan.

1603, perang besar-besaran dilancarkan dan tekanan serentak Timur dan Barat telah membinasakan Othmaniyyah. Bebanan Austria dan Parsi ini telah menjadi sumber luar yang utama kepada ketidakstabilan Othmaniyyah pada era tersebut.

Jika pisang berbuah berkali-kali, ia rezeki yang baik. Namun, sekiranya umat Islam disengat pada lubang yang sama untuk kali yang ke seterusnya, ia suatu petanda yang malang bagi kita.

ARTIKEL PENUH >>> ulamaothmaniyyah.doc

——————————————————————————–

[i] Halil Inalcik, The Ottoman Empire: The Classical Age 1300 ““ 1600, (London, Peoenix, 1997), muka surat 181

[ii] ibid, muka surat 182

[iii] Taskupruluzade Ahmed (1495 ““ 1561) adalah ahli ensiklopedia Othmaniyyah dan guru sekolah. Beliau paling dikenali kerana tulisannya Shaka-ik al-Nu’maniya, iaitu sebuah biografi di dalam Bahasa Arab yang mengumpulkan 522 sarjana Othmaniyyah dan Mawduat al-Ulum iaitu sebuah ensiklopedia Sains.

[iv] Katip Celebi (1609 – 1657) juga dikenali sebagai Haci Halife, atau nama sebenarnya Mustafa Ibn ‘abd Allah merupakan seorang ahli Sejarah Othmaniyyah yang terkenal, pakar Geografi dan juga seorang ahli bibliografi. Antara karangannya yang paling utama adalah Kashf al-zunun’an asami al-kutub wa al-funun (The Removal of Doubt from the Names of Books and the Sciences) yang mengumpulkan maklumat tentang 15,000 buku di dalam Bahasa Arab, Turki dan Parsi yang terbit di zamannya.