Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dia (Allah) menundukkan (memudahkan) bagi kamu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi (sebagai kurnia) daripadaNya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir” al-Jaasiah (45:13)
Sebagai orang yang beriman, kita sentiasa dianjurkan supaya memerhatikan keajaiban alam ciptaan Allah Taala dan hikmah di sebalik sesuatu kejadian yang menimpa dengan mata hati.
Apabila berlaku bencana besar pada alam ini, pemusatan fikiran kita bukan hanya kepada banyak mana kemalangan jiwa atau kerugian harta benda yang terlibat, malah pada sebab musabab yang membawa kepada bencana tersebut. Kita mungkin terfikir apakah bencana ini merupakan fenomena alam semulajadi atau ianya suatu bala yang ditimpakan ke atas manusia?
Ilmu manusia tentang rahsia alam amat terbatas. Melalui bantuan peralatan yang canggih mungkin kita mampu mengesan kelajuan angin, pergerakan awan, getaran bumi, ketinggian ombak dan lain-lain fenomena lagi. Namun, manusia tidak mampu menjadi ahli nujum kenapa angin bergerak pada kelajuan tertentu, kenapa bumi bergetar pada skala tertentu atau kenapa ombak bergelombang pada ketinggian tertentu. Persoalan kenapa ini tidak mungkin dapat dijawab kerana ia adalah urusan Allah Taala.
PERINGATAN BUAT YANG BERAKAL
Allah Taala mengutus al-Quran untuk dibaca, diteliti, diambil pengajaran dan dilaksanakan. Kisah-kisah di dalam al-Quran ada menceritakan tentang beberapa kaum atau umat nabi-nabi yang terdahulu ditimpa bencana yang dahsyat sehingga ada yang terus berkubur bersama-sama tamadun yang mereka bina.
Kesan-kesan peninggalan yang wujud sehingga hari ini menjadi bukti kebenaran kisah di dalam al-Quran itu. Kaum Nuh di sekitar Iraq dan Mesir musnah dalam banjir dan ribut taufan. Kaum Luth di Sadum musnah setelah diterbalikkan bumi dan bertukar menjadi Laut Mati. Kaum Tsamud mati di dalam kota-kota yang dipahat di dalam bukit-bukit batu akibat bayu pembunuh yang dikirim oleh Allah Taala kepada mereka.
Bencana itu pula berlaku di hampir semua negara bermula dari China di utara hingga ke Australia di Selatan, di negara yang didiami umat Islam atau negara yang majoritinya bukan Islam.
Allah Taala tidak menyegerakan balasan ke atas kejahatan yang dilakukan oleh umat Muhammad. Balasan itu ditangguh atau diringankan supaya manusia sedar dan bertaubat. Adakalanya bala itu datang dalam bentuk kekurangan rezeki setelah mengalami kemarau, banjir atau penyakit tanaman, rasa takut dan gelisah, malapetaka seperti kebakaran, tanah runtuh, kemalangan jalan raya dan sebagainya.
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” at-Taghabun (64:11)
AMBIL PENGAJARAN
Allah Taala menciptakan manusia di atas satu konsep yang cukup penting supaya perjalanan hidup semasa di dunia, dipandu oleh satu sistem yang menjamin masa depan mereka agar tidak terus alpa kerana akan tiba suatu saat kelak, mereka pasti dijemput untuk menerima buku amal catatan dan pembalasan di atas apa yang mereka kerjakan.
Konsep menyembah (dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang) dan bertindak sebagai khalifah di muka bumi merupakan dua agenda penting yang harus dipikul oleh manusia sebagai suatu amanah besar dalam kehidupan yang sementara ini, dan bukan untuk berseronok semata-mata. Bahkan manusia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini sahaja, tetapi mereka dijadikan untuk kehidupan yang kekal abadi, iaitu di akhirat.
Muhasabah lebih baik ketika ini, daripada mencari punca kejadian dan meratapi sedih di atas musibah. Moga dipelihara kita dari musibah berpanjangan sebelum sempat kita kembali kepada-Nya.
Thursday, October 15, 2009
Allah Sedang Berkomunikasi
Posted by Allahyarham achit at 3:12 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment