? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, October 15, 2009

aku sudah berubah

Saya sudah berubah?

Itu kata kawan-kawan lama.

Terima kasih kerana prihatin. Sekurang-kurangnya teguran dan pandangan kalian menjadikan saya tidak sendirian. Bukankah sendirian itu menjadikan kita mudah terbaham syaitan lagak serigala memangsa biri-biri yang menolak kawan.

Tetapi di sudut manakah saya telah berubah?


Ada yang panggil saya Ustaz Darwin, sebab saya tidak menolak teori evolusi. Entah mereka faham atau tidak, dengan apa yang diperkatakan.

Sahabat yang ‘klasiki‘ menolak saya kerana dikatakan Salafi lagi Wahabi. Manakala sahabat saya yang ‘tajdidi’, yang solatnya tanpa Basmalah pada al-Fatihah, mengkritik saya sebagai sufi kerana saya menyayangi al-Ghazzali. Apatah lagi ketika saya menjinakkan diri dengan Al-Futuhat al-Makkiyyah dan Ibn Arabi.

Ada juga yang mengatakan saya ini Orientalis, sebab saya suka quote kata-kata pemikir Barat dan menjadi peminat Edward Said. Ada juga yang mempertikaikan apa yang saya percaya tentang Barat, sehingga saya dilihat seperti gila talak dengan Barat selepas balik ke Timur.

Saya juga pernah dicurigai lantaran terbabit dalam kerja dialog antara agama, kerana sempitnya sangkaan mereka bahawa interfaith hanya milik IFC.

Ada yang berpesan di sana dan sini, , agar berhati-hati dengan saya kerana “cakap saya sering mengelirukan“. Ada juga yang tidak dapat menerima kritikan saya terhadap orang agama (Salaf, Khalaf atau siapa sahaja) sehingga saya digelar sebagai self hated ustaz.

Ada yang kata fikrah saya merbahaya, maka jangan datang program saya, jangan dengar ceramah saya.

Ada yang kata idea saya tentang jamaah tidak tepat dengan Sunnah, maka berhati-hatilah.

Saya diemail sebagai ustaz yang mabuk sains, sekali dua disebut sebagai pelajar sains yang menyesal menjadi ilmuan agama.

Malah terkini, saya disembelih di email, sms, panggilan telefon dan di blog-blog kerana menyimpang dari jalan kebenaran dengan memalitkan sekelumit pembabitan dalam seni kreatif drama Cinta Sempurna.

Macam-macam ulasan manusia yang macam-macam, tentang macam-macam yang saya tulis dan ucapkan, hingga saya pun sudah beralih sedih kepada ketawa.

Adakah sesiapa yang mahu seterusnya melabelkan saya sebagai Muktazilah pula, selepas saya menghargai rasionalisma, Muhammad Abduh dan pemikirannya?

Izinkan saya untuk pekak dan buta terhadap label-label itu, kerana saya berlanggan dengan al-Haq yang tiada pakej dan tiada jenama. Soal terasa kerana diumpat atau dikata, maafkan saya kerana ia terlalu basic untuk diperkatakan di sini dan terlalu kecil untuk mengganggu fokus saya.

MENGAPA SAYA JADI BEGINI?

Saya anti makan suap.

Bukan makan suap duit kopi. Bukan rasuah duit. Tapi rasuah pemikiran. Apa yang diperkata, oleh sesiapa sahaja, saya susah untuk terus menerima. Sama ada kata-kata semasa, atau catatan silam dalam kitab dan buku.

Tentu sahaja perbuatan mempertikaikan kata-kata orang yang tiada pertikaian terhadapnya, menyulitkan hidup saya. Tidak cukupkah dengan namanya dalam sejarah? Tidak cukupkah dengan jawatannya dalam imarah? Tidak cukupkah dengan serban dan ijazahnya yang begitu gah? Kenapa harus ditanya-tanya lagi kata-katanya itu?

Kena tanya… sebab Allah beri kita akal dan identiti yang merdeka untuk bebas bertanya dan menilai. Kerana saya tidak tahan ditempelak al-Quran “Afalaa Ta’qiloon” yang saya dengar terjemahannya sebagai “Benda macam ini pun tak boleh fikirkah?”

ANTI TEKSTUAL

Walaupun saya selesa membaca sejarah Andalus, Ibn Hazm dan legasi Daud al-Zahiri, namun hakikatnya saya anti tekstual kerana saya yakin Islam ini sumbernya Rabbani manakala perlaksanaannya mestilah manusiawi.

Jika ahli tekstual terus mengukur suatu amalan itu bid’ah atau tidak bid’ah berdasarkan deskripsi teks, saya pula cuba mencari jawapan bagaimana amalan ini boleh ada dalam masyarakat dan kehidupan. Saya bukan sosiologis, tetapi saya menghargai unsur manusiawi dalam mentafsirkan kehidupan. Untuk itu saya tidak mampu untuk membid’ahkan sana membid’ahkan sini, kerana kebanyakan amalan yang ada dalam kehidupan, ada sejarahnya yang perlu diteliti. Jauh sekali untuk menerima kaedah rekaan semasa bahawa sesiapa yang tidak membid’ahkan bid’ah maka dia adalah mubtadi’!

Jauh panggang dari api.

Sejarah pula mengajar saya membaca tabiat manusia. Jika amalan itu wujud akibat tabiat manusia, ia juga hanya boleh diperbaiki atau dihapuskan jika perlu, andai kita menanganinya bersesuaian dengan tabiat manusia.

KECIL HATIKAH?

Tidak!

Ini bukan soal kecil hati. Bukan cuba ‘poyo’ kata bahasa senget budak-budak sekarang.

Kalau kecil hati, pergilah berumah di bawah pohon rendang. Jangan mencacak di ombak petang.

Entri ini bukan tentang isu kecil hati atau tersinggung. Tetapi tentang sulitnya mendefiniskan SIAPA SAYA?

Salafikah saya? Khalafkah saya? Sufikah saya? Wahabikah saya? Orientaliskah saya? Muktazilahkah saya?

Saya berlanggan dengan kebenaran, kebenaran itulah yang saya prinsipkan dalam kehidupan, biar pun sering kesunyian, kerana sering disalah tafsir, selalu juga disalah ertikan.

PENYAKIT PAKEJ

Ketika saya bermusafir, saya tidak suka bermusafir dengan travel agent kerana segala makan minum, langkah kaki dan gerak tangan saya telah dipakejkan. Saya jadi robotik dan diprogramkan.

Dalam kehidupan ini juga, kita dibelenggu oleh pakej.

Mana boleh suka Hamzah Yusuf, kalau dalam masa yang sama saya minat dengan Abu Aminah Bilal Philip?

Mana boleh solat subuh tanpa Qunut, kalau saya tidak menolak diajak ke majlis tahlil.

Mana boleh jadi Sunni, kalau saya ada sekelumit penghargaan kepada Muktazilah dan rasionalismanya sebagai tradisi.

Semuanya kena satu pakej. Semuanya mesti Kaaffatan!

Walhal ada banyak benda dalam pakej Salaf yang saya terima, banyak juga hal ehwal salaf masa kini yang saya benci. Ada perkara berkaitan sufi dan ahli tradisi yang saya tidak setuju, ada juga yang saya kasih dan rindu.

Sini sikit, sana sikit, sampai sulit menjawab tanya, “SIAPA SAYA”.

Sayalah Hasrizal, hamba Allah yang melanggani kebenaran.Penganut pakej Islam, yang satu-satunya Kaaffatan!

“Jika kamu seorang yang mempunyai pandangan, maka jadilah juga seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya suatu pandangan itu akan menjadi rosak, hanya kerana kamu berbelah bagi” – Abu Tayyib al-Mutanabbi

0 comments: