HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE
Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Umat Islam telah berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyah.
Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.
Akhirnya,dadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al Fateh? Apakah kehebatan beliau dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.
PENGENALAN
Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 - 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.
PENDIDIKAN
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera. Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.
Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.
KEPERIBADIAN
Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulama dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.
PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan. Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit.
Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti. Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya.
Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE
Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka. Bantuan Dari Pope Vatican Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyah.Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.
Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota. Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Uthmaniyah.
Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.
Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda.
Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya,“Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”. Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fateh” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu. Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam hadisnya itu.
*http://satuperkongsian.wordpress.com/
Thursday, October 15, 2009
Sultan Muhammad Al-Fateh
Posted by Allahyarham achit at 3:18 AM 0 comments
Hari Pahlawan Tanpa Syirik
1. Beberapa hari lagi negara akan menyambut hari Pahlawan . Pada amalan biasa , Tugu Negara akan dikunjungi secara rasmi untuk majlis kalungan bunga.
2. Biarpun Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengumumkan fatwanya bahawa mengalung bunga ke Tugu Negara adalah haram malah membawa kepada syirik .
3. Malangnya , fatwa itu tidak pernah dipedulikan oleh pihak kerajaan sebaliknya perayaan rasmi hari pahlawan tetap menyaksikan upacara mengalung bunga ke Tugu negara oleh Perdana Menteri .
4. Lebih malang , para ulamak kerajaan diam membisu atas perlakuan yang jelas mempunyai fatwa syrik melakukannya , sebaliknya riuh rendah mempersoalkan isu lilin Dato' Seri Nizar yang hanya dipegangnya seusai majlis Press Confrence mendesak siasatan telus dilakukan ke atas Mendiang teoh beng Hock .
5. Lilin itu bukanlah dinyalakan dalam majlis tafakkur mengenang dan menghayati atau meratapi kematian Teoh Beng Hock . Dalam erti kata lain , ianya bukanlah majlis keagamaan tetapi lebih kepada semangat solidariti . Pun begitu tidak dinafikan ianya terdedah kepada khilaf .
6. Justeru itu saya mendesak agar Kerajaan meniadakan upacara Mengalung Bunga di Tugu Negara yang jelas fatwanya tanpa khilaf lagi oleh Majlis Fatwa Kebangsaan .
7. saya juga mengharapkan semua ulamak yang sensitif seperti dalam isu lilin tempohari hari bangkit bersuara dan menentang upacara syirik ini . Jangan kerana ia dilakukan oleh kerajaan maka ia didiamkan sementara perkara yang dilakukan oleh pembangkang maka mengundang respon pantas dari ulamak - ulamak ini .
8. Cara hidup dan amalan pemimpin akan menjadi ikutan rakyat . Ianya sangat berisiko tinggi berbanding perlakuan orang awam biasa .
الناس على دين ملوكهم
Manusia di atas [ mengikut ] manhaj [ cara hidup ] pemimpin mereka .
9. Saya secara peribadi menasihatkan diri saya dan juga semua pemimpin negara malah tidak lupa saya kepada pemimpin yang beragama Islam agar berhati - hati dalam apa jua tindakan yang membabitkan silang agama dan budaya . Apa yang jelas , semua kategori yang hanya bersifat budaya dan adat resam maka ianya dibenarkan oleh Islam . Adapun perkara yang berkait dengan upacara agama , di atas apa pun alasan ianya tidak dibenarkan oleh syara' .
10. Kita berjuang untuk menawan jiwa manusia agar kembali kepada Islam . Lantaran itu , peliharalah kesucian Islam agar kita tidak dimurkai Allah swt . Biarlah ... kita barangkali bakal kehilangan sokongan manusia asal Allah swt mengekalkan redhaNya buat kita . Namun apalah ertinya sokongan padu manusia andai Allah swt murka kepada kita .
Posted by Allahyarham achit at 3:14 AM 0 comments
Allah Sedang Berkomunikasi
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dia (Allah) menundukkan (memudahkan) bagi kamu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi (sebagai kurnia) daripadaNya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir” al-Jaasiah (45:13)
Sebagai orang yang beriman, kita sentiasa dianjurkan supaya memerhatikan keajaiban alam ciptaan Allah Taala dan hikmah di sebalik sesuatu kejadian yang menimpa dengan mata hati.
Apabila berlaku bencana besar pada alam ini, pemusatan fikiran kita bukan hanya kepada banyak mana kemalangan jiwa atau kerugian harta benda yang terlibat, malah pada sebab musabab yang membawa kepada bencana tersebut. Kita mungkin terfikir apakah bencana ini merupakan fenomena alam semulajadi atau ianya suatu bala yang ditimpakan ke atas manusia?
Ilmu manusia tentang rahsia alam amat terbatas. Melalui bantuan peralatan yang canggih mungkin kita mampu mengesan kelajuan angin, pergerakan awan, getaran bumi, ketinggian ombak dan lain-lain fenomena lagi. Namun, manusia tidak mampu menjadi ahli nujum kenapa angin bergerak pada kelajuan tertentu, kenapa bumi bergetar pada skala tertentu atau kenapa ombak bergelombang pada ketinggian tertentu. Persoalan kenapa ini tidak mungkin dapat dijawab kerana ia adalah urusan Allah Taala.
PERINGATAN BUAT YANG BERAKAL
Allah Taala mengutus al-Quran untuk dibaca, diteliti, diambil pengajaran dan dilaksanakan. Kisah-kisah di dalam al-Quran ada menceritakan tentang beberapa kaum atau umat nabi-nabi yang terdahulu ditimpa bencana yang dahsyat sehingga ada yang terus berkubur bersama-sama tamadun yang mereka bina.
Kesan-kesan peninggalan yang wujud sehingga hari ini menjadi bukti kebenaran kisah di dalam al-Quran itu. Kaum Nuh di sekitar Iraq dan Mesir musnah dalam banjir dan ribut taufan. Kaum Luth di Sadum musnah setelah diterbalikkan bumi dan bertukar menjadi Laut Mati. Kaum Tsamud mati di dalam kota-kota yang dipahat di dalam bukit-bukit batu akibat bayu pembunuh yang dikirim oleh Allah Taala kepada mereka.
Bencana itu pula berlaku di hampir semua negara bermula dari China di utara hingga ke Australia di Selatan, di negara yang didiami umat Islam atau negara yang majoritinya bukan Islam.
Allah Taala tidak menyegerakan balasan ke atas kejahatan yang dilakukan oleh umat Muhammad. Balasan itu ditangguh atau diringankan supaya manusia sedar dan bertaubat. Adakalanya bala itu datang dalam bentuk kekurangan rezeki setelah mengalami kemarau, banjir atau penyakit tanaman, rasa takut dan gelisah, malapetaka seperti kebakaran, tanah runtuh, kemalangan jalan raya dan sebagainya.
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” at-Taghabun (64:11)
AMBIL PENGAJARAN
Allah Taala menciptakan manusia di atas satu konsep yang cukup penting supaya perjalanan hidup semasa di dunia, dipandu oleh satu sistem yang menjamin masa depan mereka agar tidak terus alpa kerana akan tiba suatu saat kelak, mereka pasti dijemput untuk menerima buku amal catatan dan pembalasan di atas apa yang mereka kerjakan.
Konsep menyembah (dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang) dan bertindak sebagai khalifah di muka bumi merupakan dua agenda penting yang harus dipikul oleh manusia sebagai suatu amanah besar dalam kehidupan yang sementara ini, dan bukan untuk berseronok semata-mata. Bahkan manusia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini sahaja, tetapi mereka dijadikan untuk kehidupan yang kekal abadi, iaitu di akhirat.
Muhasabah lebih baik ketika ini, daripada mencari punca kejadian dan meratapi sedih di atas musibah. Moga dipelihara kita dari musibah berpanjangan sebelum sempat kita kembali kepada-Nya.
Posted by Allahyarham achit at 3:12 AM 0 comments
aku sudah berubah
Saya sudah berubah?
Itu kata kawan-kawan lama.
Terima kasih kerana prihatin. Sekurang-kurangnya teguran dan pandangan kalian menjadikan saya tidak sendirian. Bukankah sendirian itu menjadikan kita mudah terbaham syaitan lagak serigala memangsa biri-biri yang menolak kawan.
Tetapi di sudut manakah saya telah berubah?
Ada yang panggil saya Ustaz Darwin, sebab saya tidak menolak teori evolusi. Entah mereka faham atau tidak, dengan apa yang diperkatakan.
Sahabat yang ‘klasiki‘ menolak saya kerana dikatakan Salafi lagi Wahabi. Manakala sahabat saya yang ‘tajdidi’, yang solatnya tanpa Basmalah pada al-Fatihah, mengkritik saya sebagai sufi kerana saya menyayangi al-Ghazzali. Apatah lagi ketika saya menjinakkan diri dengan Al-Futuhat al-Makkiyyah dan Ibn Arabi.
Ada juga yang mengatakan saya ini Orientalis, sebab saya suka quote kata-kata pemikir Barat dan menjadi peminat Edward Said. Ada juga yang mempertikaikan apa yang saya percaya tentang Barat, sehingga saya dilihat seperti gila talak dengan Barat selepas balik ke Timur.
Saya juga pernah dicurigai lantaran terbabit dalam kerja dialog antara agama, kerana sempitnya sangkaan mereka bahawa interfaith hanya milik IFC.
Ada yang berpesan di sana dan sini, , agar berhati-hati dengan saya kerana “cakap saya sering mengelirukan“. Ada juga yang tidak dapat menerima kritikan saya terhadap orang agama (Salaf, Khalaf atau siapa sahaja) sehingga saya digelar sebagai self hated ustaz.
Ada yang kata fikrah saya merbahaya, maka jangan datang program saya, jangan dengar ceramah saya.
Ada yang kata idea saya tentang jamaah tidak tepat dengan Sunnah, maka berhati-hatilah.
Saya diemail sebagai ustaz yang mabuk sains, sekali dua disebut sebagai pelajar sains yang menyesal menjadi ilmuan agama.
Malah terkini, saya disembelih di email, sms, panggilan telefon dan di blog-blog kerana menyimpang dari jalan kebenaran dengan memalitkan sekelumit pembabitan dalam seni kreatif drama Cinta Sempurna.
Macam-macam ulasan manusia yang macam-macam, tentang macam-macam yang saya tulis dan ucapkan, hingga saya pun sudah beralih sedih kepada ketawa.
Adakah sesiapa yang mahu seterusnya melabelkan saya sebagai Muktazilah pula, selepas saya menghargai rasionalisma, Muhammad Abduh dan pemikirannya?
Izinkan saya untuk pekak dan buta terhadap label-label itu, kerana saya berlanggan dengan al-Haq yang tiada pakej dan tiada jenama. Soal terasa kerana diumpat atau dikata, maafkan saya kerana ia terlalu basic untuk diperkatakan di sini dan terlalu kecil untuk mengganggu fokus saya.
MENGAPA SAYA JADI BEGINI?
Saya anti makan suap.
Bukan makan suap duit kopi. Bukan rasuah duit. Tapi rasuah pemikiran. Apa yang diperkata, oleh sesiapa sahaja, saya susah untuk terus menerima. Sama ada kata-kata semasa, atau catatan silam dalam kitab dan buku.
Tentu sahaja perbuatan mempertikaikan kata-kata orang yang tiada pertikaian terhadapnya, menyulitkan hidup saya. Tidak cukupkah dengan namanya dalam sejarah? Tidak cukupkah dengan jawatannya dalam imarah? Tidak cukupkah dengan serban dan ijazahnya yang begitu gah? Kenapa harus ditanya-tanya lagi kata-katanya itu?
Kena tanya… sebab Allah beri kita akal dan identiti yang merdeka untuk bebas bertanya dan menilai. Kerana saya tidak tahan ditempelak al-Quran “Afalaa Ta’qiloon” yang saya dengar terjemahannya sebagai “Benda macam ini pun tak boleh fikirkah?”
ANTI TEKSTUAL
Walaupun saya selesa membaca sejarah Andalus, Ibn Hazm dan legasi Daud al-Zahiri, namun hakikatnya saya anti tekstual kerana saya yakin Islam ini sumbernya Rabbani manakala perlaksanaannya mestilah manusiawi.
Jika ahli tekstual terus mengukur suatu amalan itu bid’ah atau tidak bid’ah berdasarkan deskripsi teks, saya pula cuba mencari jawapan bagaimana amalan ini boleh ada dalam masyarakat dan kehidupan. Saya bukan sosiologis, tetapi saya menghargai unsur manusiawi dalam mentafsirkan kehidupan. Untuk itu saya tidak mampu untuk membid’ahkan sana membid’ahkan sini, kerana kebanyakan amalan yang ada dalam kehidupan, ada sejarahnya yang perlu diteliti. Jauh sekali untuk menerima kaedah rekaan semasa bahawa sesiapa yang tidak membid’ahkan bid’ah maka dia adalah mubtadi’!
Jauh panggang dari api.
Sejarah pula mengajar saya membaca tabiat manusia. Jika amalan itu wujud akibat tabiat manusia, ia juga hanya boleh diperbaiki atau dihapuskan jika perlu, andai kita menanganinya bersesuaian dengan tabiat manusia.
KECIL HATIKAH?
Tidak!
Ini bukan soal kecil hati. Bukan cuba ‘poyo’ kata bahasa senget budak-budak sekarang.
Kalau kecil hati, pergilah berumah di bawah pohon rendang. Jangan mencacak di ombak petang.
Entri ini bukan tentang isu kecil hati atau tersinggung. Tetapi tentang sulitnya mendefiniskan SIAPA SAYA?
Salafikah saya? Khalafkah saya? Sufikah saya? Wahabikah saya? Orientaliskah saya? Muktazilahkah saya?
Saya berlanggan dengan kebenaran, kebenaran itulah yang saya prinsipkan dalam kehidupan, biar pun sering kesunyian, kerana sering disalah tafsir, selalu juga disalah ertikan.
PENYAKIT PAKEJ
Ketika saya bermusafir, saya tidak suka bermusafir dengan travel agent kerana segala makan minum, langkah kaki dan gerak tangan saya telah dipakejkan. Saya jadi robotik dan diprogramkan.
Dalam kehidupan ini juga, kita dibelenggu oleh pakej.
Mana boleh suka Hamzah Yusuf, kalau dalam masa yang sama saya minat dengan Abu Aminah Bilal Philip?
Mana boleh solat subuh tanpa Qunut, kalau saya tidak menolak diajak ke majlis tahlil.
Mana boleh jadi Sunni, kalau saya ada sekelumit penghargaan kepada Muktazilah dan rasionalismanya sebagai tradisi.
Semuanya kena satu pakej. Semuanya mesti Kaaffatan!
Walhal ada banyak benda dalam pakej Salaf yang saya terima, banyak juga hal ehwal salaf masa kini yang saya benci. Ada perkara berkaitan sufi dan ahli tradisi yang saya tidak setuju, ada juga yang saya kasih dan rindu.
Sini sikit, sana sikit, sampai sulit menjawab tanya, “SIAPA SAYA”.
Sayalah Hasrizal, hamba Allah yang melanggani kebenaran.Penganut pakej Islam, yang satu-satunya Kaaffatan!
“Jika kamu seorang yang mempunyai pandangan, maka jadilah juga seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya suatu pandangan itu akan menjadi rosak, hanya kerana kamu berbelah bagi” – Abu Tayyib al-Mutanabbi
Posted by Allahyarham achit at 3:11 AM 0 comments
Rahsia Solat Di Awal Waktu
Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.
Wallahualam.
Posted by Allahyarham achit at 3:10 AM 0 comments
Nasib Melayu Di Bumi Melayu
Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.
Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini. Namun, saya merayu semua parti berkepentingan supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan.
Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini. Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.
Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan. Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.
Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.
Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.
Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah. Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem.
Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu. Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami. Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.
Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah? Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini?
Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri. Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina.
Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut. Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu.
Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina. Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.
Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai.
Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita? Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum.
Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi. Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam. Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?
Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau. Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.
Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.
Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini? Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat seperti cacing kepanasan.
Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad. Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam.
Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad. Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.
Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah. Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.
Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit. Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan.
Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.
Glosari:
1.Inkues: siasatan rasmi mengenai punca sebenar kematian seseorang
Sumber:
Mingguan Malaysia,26 Julai 2009
Nota:
-Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah merupakan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasioanal Malaysia.
Kes Mustakizah Jaafar: Fail siasatan kes pembunuhan Mustakizah Jaafar masih belum ditutup walaupun kejadian itu sudah berlaku 15 tahun lalu kerana pendakwaan kes masih boleh diteruskan jika pihak yang terbabit dengan pembunuhan berjaya dikesan. Malah,tiada sebarang tangkapan dibuat walaupun gambar dua lelaki yang disyaki pembunuh upahan telah disiarkan.
Posted by Allahyarham achit at 3:09 AM 0 comments
Mengenali Musuh: Yahudi, Bani Israel atau Zionisme?
Dalam memahami sengketa antara dunia Islam dengan Zionis, kita perlu memahami perbezaan Istilah yang biasanya merujuk kepada mereka. Perkara ini penting bagi memastikan kita berhadapan dengan musuh yang sebenarnya, dan tidak meletakkan permusuhan itu kepada yang bukan musuh.
Ada 4 istilah yang biasanya digunakan untuk merujuk kepada mereka, seperti berikut:
1. Israel
Israel adalah nama gelaran kepada nabi Allah Ya’qub A.S. Ada yang menyatakan maksud Israel itu sebenarnya ialah kekasih Tuhan. Perkataan Israel juga banyak kali digunakan di dalam al-Quran dengan istilah Bani Israel, dengan merujuk kepada bangsa Israel atau anak-anak dan pengikut Ya’qub yang beriman dan juga yang kufur dengan ajaran Allah. Justeru, ramai berpendapat yang perkataan Israel itu lebih merujuk kepada bangsa mereka secara umum tanpa kaitan dengan agama yang mereka anuti. Ada juga yang berpendapat bangsa Yahudi sekarang di Palestin tidak layak menggunakan perkataan Israel sebagai nama negara haram mereka, kerana Israel itu adalah nama nabi, pemimpin orang yang beriman.
Ada juga pendapat lain yang menyatakan perkataan Israel itu bermaksud ‘kamu mengalahkan Tuhan’, dengan merujuk kepada kisah mengarut mereka apabila Ya’qub mengalahkan Tuhan bernama Yahwu di dalam satu sengketa.
2. Yahudi
Ada beberapa pendapat mengenai istilah Yahudi ini. Ada yang menyatakan ianya merujuk kepada anak keempat nabi Ya’qub yang bernama Yahuza. Raja Nebuchadnezzar II adalah pemimpin kerajaan Babylon yang mengalahkan kuasa bangsa Yahudi ini yang ketika itu dikenali dengan nama Kerajaan Yahuza.
Ada yang berpendapat Yahudi itu merujuk kepada pengikut nabi Allah Musa. Bagi yang percaya dengan kitab Taurat dan Zabur, serta Kitab Talmud yang dikarang-karut oleh Hakham (pendita) mereka, mereka dipanggil Yahudi. Semua yang lahir daripada ibu atau bapa berbangsa Yahudi, dianggap Yahudi oleh mereka.
Pendapat lain menyatakan yang Yahudi itu merujuk kepada keluarga Hud, yang merupakan pecahan daripada keturunan Ibrahim. Sebahagian keturunan Ibrahim percaya dengan seruan Musa yang akhirnya mereka ini menganggap ianya sebagai agama baru. Ibrahim mempunyai keturunan yang ramai, daripada anaknya Ismail lahirnya keturunan Arab dan nabi Muhammad, sementara daripada anaknya Ishaq lahirnya bangsa Yahudi ini.
Banyak kajian mendapati yang perkataan Yahudi ini banyak merujuk kepada bangsa mereka yang percaya dengan agama mereka yang telah diseleweng. Ini bermakna, Yahudi lebih merujuk kepada pengikut agama, dan bukannya sinonim dengan bangsa.
Sebahagian ulamak menyatakan yang di dalam al-Quran, apabila Allah ingin menceritakan kisah jahat bangsa Yahudi ini, Allah banyak menggelar mereka dengan perkataan Yahudi. Dan apabila Allah ingin menceritakan mengenai kisah bangsa ini yang beriman dengan Tuhan mereka, maka Allah akan gunakan perkataan Bani Israel. Saya dapati yang pandangan ini tidak tepat seluruhnya, kerana ada juga ayat di mana Allah menggunakan perkataan Bani Israel merujuk kepada bangsa berkenaan yang mengingkari ajaran Tuhan, seperti dalam surah al-Ma’idah ayat 78:
لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُدَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ (٧٨)
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.
Walaupun ayat di atas menggunakan istilah min bani Israel - sebahagian daripada bani Israel – merujuk kepada bangsa Yahudi yang kufur, akan tetapi Allah tetap menggelar mereka sebagai bani Israel. Saya bersetuju sekiranya dikatakan kebanyakan ayat dalam al-Quran yang melaknat bangsa Yahudi menggunakan kalimah Yahudi, tetapi tidak semua.
3. Hebrew
Di dalam bahasa Arab, ianya dikenali dengan perkataan Ibrani. Asal perkataannya bermaksud menyeberang, kerana orang Yahudi mengikut sejarah dikenali sebagai bangsa yang berpindah-randah dan menyeberangi sungai. Contohnya, nabi Allah Ya’qub menyeberangi Sungai Furat, dan juga nabi Allah Yusuf dan nabi Allah Ibrahim A.S, semuanya terkenal dengan kisah berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain.
Sebahagian golongan sekular bangsa ini lebih menggelar diri mereka dengan istilah Hebrew, kerana bagi mereka Hebrew adalah nama lama sebelum lahirnya agama Yahudi.
4. Zionisme
Propaganda Zionis untuk membina Temple of Solomon di atas runtuhan al-Aqsa
Zionisme adalah berasal daripada perkataan Bukit Zion, merujuk kepada tapak paling suci di dalam agama Yahudi. Mereka percaya di Bukit Zion itulah tapak sebenarnya Temple of Solomon (Haikal/Kuil Sulaiman). Tapak itu sekarang ialah betul-betul di Dome of The Rock (Qubbah al-Sakhrah) yang merupakan sebahagian daripada Masjid al-Aqsa.
Zionisme adalah sebuah pergerakan kebangsaan yang ditubuhkan oleh orang berbangsa Yahudi. Ianya merupakan sebuah ideologi politik sempit berasaskan perkauman yang meletakkan sasaran merampas serta menubuhkan sebuah negara bangsa Yahudi di atas tanah milik rakyat Palestin. Ditubuhkan pada tahun 1897 di Basel, Switzerland. Dalam persidangan pertama mereka pada tahun penubuhannya, Theodor Herzl telah dilantik sebagai pemimpin pertama pergerakan tersebut.
Modus operandi utama pergerakan ini ialah membawa masuk bangsa-bangsa Yahudi dari seluruh dunia terutamanya dari Amerika dan Eropah Timur, masuk ke dalam negara Palestin. Mereka akan menggunakan apa sahaja cara, seperti merampas tanah dan juga perjanjian politik dengan kuasa penjajah, bagi membolehkan mereka menguasai seinci demi seinci tanah Palestin. Mereka berusaha untuk menzioniskan atau mengyahudikan identiti kawasan berkenaan, lalu mengubah demografi tanah suci tersebut. Kajian mengenai perubahan demografi di Palestin hasil rancangan licik mereka boleh dicapai di sini.
MENGENALI MUSUH SEBENAR
Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam. Sebahagian orientalis dan musuh Islam cuma mewujudkan imej yang kandungan al-Quran itu menganjur permusuhan mutlak kepada orang Yahudi dan non-Muslim yang lain. Lalu mereka datangkanlah beberapa potong ayat atau tafsiran ayat al-Quran, seperti ayat ketujuh daripada surah al-Fatihah yang menyatakan bahawa orang yang dimurkai itu merujuk kepada Yahudi, dan orang yang sesat itu merujuk kepada penganut Kristian.
Adalah tidak tepat kalau kita masuk ke dalam jerat musuh ini. Sekiranya diperhatikan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, maka kita akan dapati bahawa Islam tidak pernah mengajar kita bermusuh secara mutlak kepada non-Muslim termasuklah juga bangsa Yahudi. Nabi sendiri pernah berkahwin dengan Safiyyah binti Huyai, seorang puteri kepada pemimpin Yahudi di Madinah. Islam juga membenarkan kita makan daging sembelihan Yahudi, menggambarkan betapa rapatnya hubungan kita dengan mereka. Selain itu, wanita mereka juga boleh dinikahi. Islam juga menganjurkan kita melakukan urus niaga perdagangan dengan mereka, sehinggakan ada satu bab khusus di dalam Sahih Bukhari bertajuk ‘Bab Berurusniaga Dengan Musyrik dan Yahudi’.
Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang memusuhi kemanusiaan. Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang memandang hina bangsa selain Yahudi yang dipanggil Goyem oleh mereka. Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang merampas tanah milik orang Palestin termasuklah tanah waqaf seinci demi seinci demi cita-cita politik mereka. Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang menghalalkan pertumpahan darah orang awam, kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa demi haloba perjuangan mereka.
Itulah yang diperjuangkan oleh pergerakan Zionisme. Kini, simbol Zionisme itu disemat erat di dalam bendera negara haram Israel. Bukan semua Yahudi bersama-sama dengan Zionisme. Ramai juga yang menentang Zionisme terutamanya daripada kumpulan orthodox mereka. Dan bukan semua yang Zionisme itu adalah berbangsa Yahudi. Di dalam artikel akan datang, saya akan dedahkah bangsa selain Yahudi yang menjadi pendokong pergerakan Zionisme, termasuklah daripada orang Islam itu sendiri.
Simbol Zionisme
*abidfana merupakan 'nickname' bagi Ustaz Irfan yang merupakan mentor iLuvislam.com dan bekas moderator agama iLuvislam.com. Beliau merupakan pakar dalam kajian Palestin dan kini menetap di Abeerdeen, United Kingdom. Ustaz Irfan aktif menulis di www.abidfana.com. Artikel asal boleh didapati di sini.
Posted by Allahyarham achit at 3:07 AM 0 comments
merawat kuning yang sakit
“Kita ambil yang inilah. Biar sama dengan warna baju Abi” kata Ummu Saif kepada anak sulung kami.
“Ok!” jawabnya ringkas. Setuju tetapi dengan air muka yang tidak setuju.
Berbaju raya sewarna sedondon ini bukanlah kemestian bagi kami. Hanya sesekali. Fadhilatnya, memudahkan pengenalan diri tatkala anak-anak saudara sejumlah 36 orang itu mencabut baju seragam raya. Mudah untuk dikenal baju siapa, berpandukan warna.
“Yop sebenarnya nak baju warna apa?” saya tidak berpuas hati dengan reaksi anak yang tidak suka dengan baju yang bakal dipakai.
Seboleh-bolehnya saya tidak mahu membazir membeli pakaian yang nak dipakaikan kepada si anak, tetapi mengikut selera ibu bapa. Sedangkan harganya sama sahaja. Kenapa mahu dipaksa anak-anak memakai baju mengikut pilihan kita yang dibenci anak-anak?
Nanti kalau sikap seperti ini dibiarkan, silap-silap siapa suami dan isteri si anak pun mahu kita tentukan bila sampai masanya nanti.
“Yop nak baju warna kuning” jawab si anak.
“Hmm… kuning tak ada saiz. Nantilah kalau jumpa di tempat lain, kita tengok” saya membuat janji.
Tanpa bertangguh, kami sekeluarga segera pulang ke rumah selepas selesai membeli pakaian anak-anak. Suasana di pasaraya sangat sesak dan kami tidak mahu mendedahkan diri dan anak-anak kepada bahaya jangkitan H1N1 yang masih hangat.
RAHSIA WARNA KUNING
“Kenapa Yop nak baju warna kuning? Baju t-shirt nak kuning, baju Melayu pun nak kuning” saya cuba mengorek rahsia, selepas tiba di rumah.
“Yop suka kuning” jawabnya.
Hairan.
Macam mana boleh minat dengan warna kuning? Tiada sentuhan kuning di rumah kami.
“Kenapa Yop suka warna kuning?” saya bertanya lagi.
“Kuning warna kaya. Orang kaya!” jawab anak saya, malu-malu.
“HAH!?” tercengang saya dibuatnya.
Jawapan yang langsung tidak diduga.
“Yop suka pakai baju warna kuning sebab Yop suka kayalah, ya?” saya mahukan kepastian.
Dia mengangguk.
“Siapa kata warna kuning warna orang kaya?” saya menyambung pertanyaan lagi.
“Tak tahu. Kuning emas kot” jawabnya, selamba.
“Astaghfirullah. Materialistik sungguh!” saya menggaru kepala.
Entah di mana idea itu datang. Idea mahu kaya, mahu kelihatan kaya dan mengaitkan kuning dengan kekayaan.
“Lepas ni Abi rasa Yop tak payahlah gosok gigi. Biar gigi kuning. Baru nampak macam orang kaya. Orang kaya semua kuning. Baju kuning, gigi pun kuning!” saya melontar provokasi.
“Tak nak, tak nak” katanya tersengih-sengih mendengar cadangan saya.
IDEA YANG TIDAK SIHAT
Saya tidak suka dengan idea-idea kebendaan hinggap ke kepala anak-anak.
Keluarga kami tidaklah kaya dan tidak juga susah. Serba sederhana. Berbelanja masih mengira-ngira dan membeli mesti ada bajet dan bukan sesuka hati. Saya cuba pastikan kehidupan anak-anak tidak terganggu dengan kesusahan pada perkara-perkara yang penting buat mereka. Makan minum, pakaian, buku dan peralatan sekolah serta apa-apa yang bersangkutan dengan peningkatan diri mereka, saya cuba untuk tidak terlalu berkira.
Ada pun barangan yang tidak penting, dan mempunyai kesan yang tidak baik ke atas diri seperti PSP yang diinginkan si anak, saya tidak menyetujuinya. Dari semasa ke semasa, saya peringatkan mengapa PSP tiada dalam senarai. Cukuplah dengan komputer saya yang dikongsi bersama anak-anak, serta televisyen yang dipantau penggunaannya.
Daripada mana idea sukakan kekayaan dan mahu kelihatan kaya hinggap ke fikiran anak-anak saya?
Saya tidak dapat memastikannya.
Ia boleh datang daripada mana-mana sumber, dan soal itu tidak penting. Apa yang utama, ialah membetulkan kembali persepsi anak-anak terhadap kehidupan.
PERBANDINGAN
“Abi, nanti kalau Muiz dah besar macam mana?” kata Saiful Islam kepada saya.
“Macam mana apa?” saya tidak faham dengan soalannya.
“Nanti Muiz dah besar, kereta ni tak muat. Kenalah beli Alphard!” jawab anak saya.
Tersirap darah saya.
Geram pun geram juga.
Apabila pulang beraya, ada berbelas kereta adik beradik yang akan berkumpul di halaman rumah. Saya tidak pernah kisah siapa guna kereta apa, tetapi anak saya yang meminati ‘warna kuning simbol kekayaan’ itu, rupa-rupanya jatuh hati dengan Alphard pakciknya.
Sudah berkali-kali beliau asyik tanyakan saya tentang Alphard, meminta pandangan sama ada saya suka dengan kereta itu atau tidak.
Pada detik pertama, memang ada rasa terkilan di hati. Terasa apabila dibanding-bandingkan. Apakah anakku sudah lupa yang dahulunya kita pernah berhimpit-himpit di dalam ATOS comel, kereta pertama kami? Setelah keluarga membesar daripada anak dua menjadi empat, kami memberanikan diri melangkah ke peringkat hidup seterusnya dengan menjual ATOS berkenaan serta digantikan dengan kereta 7-Seaters tempatan seadanya.
Tiba-tiba, si anak seolah-olah tidak menghargainya dan lebih berminat dengan kereta bapa saudaranya yang lebih besar dan mewah.
PEDIH MENJADI MANGSA PERBANDINGAN
Tetapi saya terbalikkan perasaan itu dan berkata kepada diri sendiri tentang pahitnya menjadi mangsa perbandingan. Justeru kita sebagai ibu bapa, jangan suka membanding-bandingkan anak sendiri dengan anak orang lain. Pahitnya sama bila anak-anak kita pula membandingkan kita dengan ibu bapa yang lain. Jangan buat anak-anak dengan apa yang kita tidak mahu mereka buat kepada kita.
Golden rule!
“Kamu tengok anak orang tu. Tertib, sopan, bijak. Tak bolehkah kamu jadi macam tu?” antara ayat-ayat ibu bapa yang boleh menghancurkan jati diri si anak.
“Kenapa kereta ayah tidak sebesar kereta pakcik itu?” itu pulang paku buah keras si anak kepada ibu bapa pula.
Jika tidak mahu dialog anak berisi racun perbandingan, kita sebagai ibu bapalah jangan memulakannya.
MENCARI PENYEMBUH
“Yop nak kaya?” saya bertanya kepada si anak.
“Nak!” jawabnya tanpa berselindung.
Tangannya masih di dalam poket baju Melayu, menggenggam duit raya barangkali.
“Kalau kaya dan banyak duit, Yop boleh beli apa?” saya bertanya lagi kepadanya.
“Beli apa-apa sahaja!” katanya dengan penuh yakin.
“Beli Alphard dan baju emas?” saya menyoalnya sambil menyindir.
Beliau mengangguk sambil tersengih. Faham dengan sindiran saya.
“Kalau Abi kaya, Abi boleh tak beli mata kat kedai kalau Yop buta? Ummi boleh tak beli telinga kat pasaraya kalau anak-anak dia pekak?” saya melontar soalan berfikir untuknya.
Saiful Islam terkejut.
Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.
“Kalau Abi kaya pakai Alphard, Abi boleh tak beli jantung kat hospital untuk ganti jantung yang rosak?” saya tambah lagi soalan.
Saiful Islam berubah sedikit air mukanya. Menggelengkan kepala lagi.
“Abi sangat bersyukur kepada Allah sebab duit Abi tak banyak tetapi anak-anak Abi semua sihat. Semua cukup kaki, cukup tangan, tiada yang cacat, tiada yang sakit. Abi bersyukur sebab kita tak kaya tapi kita bahagia” saya mahu memberi satu kesimpulan kepada anak-anak.
“Yop nak kaya ke Yop nak bahagia?” tanya Ummu Saif pula kepadanya.
“Nak bahagia” kata anak sulung kami.
Anak-anak yang lain hanya mendengar. Belum mengerti.
“Kalau nak bahagia, miskin boleh bahagia, kaya pun boleh bahagia. Syaratnya, kena bersyukur kepada Allah” balas Ummu Saif lagi.
“Jadi, Yop nak Alphard orang lain punya ke, atau kereta kita?” saya menyudahkan perbualan.
“Kereta kita” jawabnya.
“Alhamdulillah. Jom singgah kedai pekena nasi kandaq!” saya menarik nafas lega.
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” [Ibrahim 14: 7]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Posted by Allahyarham achit at 3:04 AM 0 comments
Iktibar dari Al Quran
1. Gempa bumi yang berlaku di Padang dan Jambi Sumatera pada 30 September dan 1 Oktober baru - baru ini cukup memilukan .
2. Kemusnahan dan kebinasaan akibat gempa bumi yang dahsyat ini sukar untuk dianggar . Musnah harta benda dan binasa segala nyawa .
3. Namun peristiwa sedemikian tidaklah berlaku secara spontan atau hanya fenomena alam sebagaimana yang sering diungkapkan oleh mereka yang tidak beriman kepada Qadha' dan Qadar Allah swt .
4. Al Quran [ wahyu Allah swt ] telah menegaskan beberapa peringatan yang boleh di dapati dalam banyak surah dan ayat berguna untuk membimbing ummat manusia agar beriman , bertaqwa dan mengabdikan diri kepada Allah swt .
5. Antara yang menarik sekaligus membuktikan mukjizat al Quran ialah keselarasan ayat quran dengan peristiwa gempa bumi di Padang Sumatera . Gempa bumi yang berlaku di Padang pada 30 september tempohari ialah tepat jam 5.16 pm [ atau jam 17:16 ] dan gegaran kedua berlaku pada jam 5. 58 pm [ atau jam 17 : 58 ] . Sementara esoknya [ 1 Oktober ] jam 8.52 am berlaku gegaran susulan di Jambi .
6. Apabila kita selaraskan masa berlaku gempa bumi dengan surah dan ayat al quran , kita akan temui persamaannya seperti berikut . [ Jam 17 : 16 = Surah ke 17 ayat ke 16 ] [ Jam 17 : 58 = Surah ke 17 ayat ke 58 ] [ Jam 8:52 = Surah ke 8 ayat ke 52 ]
7. Secara indeksnya surah ke 17 ialah surah al Israa' sementara surah ke 8 ialah surah al Anfaal .
و إذا أردنا أن نهلك قرية أمرنا مترفيها ففسقوا فيها فحق عليها القول فدمرناها تدميرا
17.16 (QS. Al Israa’ ayat 16): “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”
و إن من قرية إلا نحن مهلكوها قبل يوم القيامة إو معذبوها عذابا شديدا كان ذلك في الكتاب مسطورا
17.58 (QS. Al Israa’ ayat 58): “Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz).”
كدأب آل فرعون و الذين من قبلهم كفروا بأيات الله فأخذهم الله بذنوبهم إن الله قوي شديد العقاب
8.52 (QS. Al Anfaal: 52): (Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaan-Nya.”
8. Ayat - ayat di atas jelas menunjukkan azab dan musibah yang Allah swt timpakan ke atas sesebuah negara atau negeri lantaran penghuninya derhaka kepada Allah swt . Ia boleh berlaku dan telah berlaku di hadapan mata kepala kita biarpun jauh di negara orang untuk menjadi iktibar buat seluruh ummat manusia .
9. Ayat - ayat Allah ini merupakan sistem amaran awal yang perlu diambil perhatian oleh seluruh ummat manusia supaya menjauhi segala perbuatan mungkar dan maksiat yang dimurkai oleh Allah swt . Hari ini mungkin Indonesia , tetapi tidak mustahil ia boleh berlaku di negara kita Malaysia pula pada bila - bila [ wali'yazubillah ] jika maksiat dan mungkar makin membarah .
10. Kami menyeru seluruh rakyat negara ini agar kembali kepada Islam sekaligus meninggalkan maksiat dan mungkar [ zina , pergaulan bebas , pendedahan aurat , judi , arak , rogol , rompak , samun , rasuah , salah guna kuasa , zalim dan 1001 perkara mungkar ] agar seluruh rakyat dan negara di berkati dan dirahmati oleh Allah swt .
*Ustaz aktif menulis di blog beliau, http://episodeperjuangan.blogspot.com/
Posted by Allahyarham achit at 3:03 AM 0 comments