Kelihatan semakin ramai kelibat manusia memenuhi ruangan menunggu hospital.Pandanganku tertumpu pada seorang anak kecil yang sedia dipangku ibunya.
Umurnya mungkin dalam linkungan 6 tahun. Comel sungguh anak ini. Detikku dalam hati.
Tapi, kenapa dia berada di sini?
Terdapat dua kemungkinan, pertama, ibunya yang perlukan pemeriksaan doktor atau kedua, anak kecil ini yang perlu dirawat.
Entah kenapa hatiku meronta-ronta untuk mencari jawapan. Segera kakiku menuju ke arah wanita dan anaknya itu. Setelah lama berbual dengan wanita yang agak peramah itu, barulah kuketahui bahawa, anak kecilnya yang comel itu mengalami kecacatan, patutlah kulihat kakinya lurus sahaja sejak tadi dan tujuannya datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan terapi bagi kaki anaknya itu.
Aku terhibur dengan keletah anak kecil itu, walaupun dirinya sebegitu, keceriaan tetap bermain di wajahnya.
Menurut wanita itu, anak kecilnya itu sewaktu dalam kandungan mempunyai saudara kembar tetapi telah meninggal dan wanita itu juga turut menceritakan perihal anaknya yang berumur 9 tahun.
Anaknya itu turut mengalami kecacatan pada tahap IQnya kerana sewaktu kecil otaknya dijangkiti kuman. Melalui cerita wanita itu, cukup membuat aku mengelamun seketika.
Betapa hebatnya wanita ini. Dia berusaha mencurahkan kasih- sayangnya pada anak-anak yang pada hakikatnya tidak mungkin dapat menjaganya kelak kerana kecacatan.
Malahan, wanita inilah yang akan menjaga anak-anaknya sampailah ka akhir hayat mereka kerana tidak mungkin mereka dapat menguruskan diri sendiri.
Namun, apa yang dikatakan oleh wanita itu cuma kesyukuran kepada Ilahi kerana menganugerahkannya anak-anak yang menjadi peneman hidupnya.
Otakku ligat memikirkan kerenah adik bongsuku, Hakim. Semakin difikirkan semakin geram jadinya.
Kasihan ummiku yang sabar melayan kerenahnya. Kalau aku di tempat ummi, sudah lama Hakim aku kerjakan. Sudahlah manja, mata duitan pula. Asyik-asyik minta duit dari ummi.
Bukannya sedikit tapi mengalahkan pelajar asrama macam aku. Umur pula baru setahun jagung. 2 tahun lagi nak ambil UPSR.
Namun sesuatu menyedarkan aku dari terus membenci kerenah adikku itu. Sememangnya ini satu ujian buat keluarga kami. Ummi selalu berpesan, tak semestinya adik buat perangai masa kecil, besar nanti lagi menyusahkan, dan bukan juga semestinya anak yang mendengar kata sewaktu kecil, akan begitu juga sewaktu besar.
Ummi menyuruh kami bersabar dan selalu juga mengatakan Hakim anak yang bertuah, semoga besarnya nanti memberi tuah pada kami sekeluarga.
Lagipun, adikku itu cukup sifat dan tidak cacat berbanding dengan anak wanita tadi.
Begitulah ummi megucapkan syukurnya kepada Allah kerana dianugerahkan kami anak-anak yang sempurna.
Ya, kata-kata ummi ada benarnya. Daripada penelitianku, anak-anak zaman sekarang pelbagai ragam.
Ada yang semasa kecil sangat patuh pada ibu bapanya, tetapi sudah besar lain pula sampai sanggup tinggalkan keluarga sendiri.
Ummi juga ada menceritakan kisah saudara kami, yang mana anaknya sewaktu kecil, sangat suka mengamuk dan marah-marah, tetapi ibunya tidak pernah mengherdik anaknya malahan bercakap lemah-lembut lagi.
Hasil berkat kesabaran ibunya itu, anaknya apabila sudah besar, ada keluarga yang bahagia, malah tinggal bersama ibunya menjaga makan minumnya.
Aku percaya, adikku akan berubah suatu ketika nanti. Yang penting, kita perlu sabar dan ikhlas menerima ujian ini. Kutahu adikku bukan anak yang biasa, adikku ini agak pandai cuma malas sahaja.
Aku bangga apabila adik pandai menjadi imam sewaktu disekolahnya dan bacaan Qurannya ,tak kurang juga fasih dan lancar.
Cuma pengaruh media sekarang ini banyak mensogokkan kartun-kartun yang tidak membawa faedah. Semuanya bermula dari pengaruh media.
Di mana adik mula kenal Power Rangers, Ultraman, Yu gi-Oh, dan pelbagai lagi.
Sejak itu, adik meminta-minta dibelikan permainan.
Sedih, beginilah bangsa kita rosak, umat Islam hilang jati diri kerana dari peringkat kecil sepatutnya anak-anak ditarbiyah mengenal pahlawan-pahlawan Islam, tetapi mereka nampaknya lebih mengenali pahlawan-pahlawan khayalan yang tidak pernah wujud.
Kartun-kartun inilah yang menyebabkan adik jadi malas nak solat, malas nak baca Quran. Inilah Ghozwul fikri di peringkat kanak-kanak…....
*Ghozwul fikri = pengaruh pemikiran
Thursday, July 2, 2009
Sayangilah Dia dan Sabarlah
Posted by Allahyarham achit at 7:52 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment