Saya faham jika sudah berwuduk tetapi tertidur yang tetap punggung itu tidak membatalkan wuduk. Soalnya, saya selalu melihat sebilangan jemaah yang tidur semasa khutbah Jumaat. Walaupun kelihatan tetap punggung tidurnya kelihatan lena sampai berdengkur.
Adakah keadaan begini juga tidak membatalkan solat. Bagaimana pula dengan tuntutan mendengar khutbah yang dikatakan sebagai menggantikan dua rakaat solat?
JAWAPAN
Safwan bin 'Assal r.a. berkata yang bermaksud: "Rasulullah SAW memerintahkan kami agar tidak mencabut kasut ketika musafir selama tiga hari tiga malam kecuali jika berjunub, buang air besar, air kecil atau tidur". (riwayat Ahmad, al-Nasaai dan al-Tirmizi. Al-Tirmizi mensahihkannya).
Bagi menjawab persoalan ini, ada beberapa hadis sahih yang menjelaskan bahawa tidur yang lena dan tetap punggungnya tidak perlu berwuduk semula.
Anas r.a berkata yang bermaksud: Suatu ketika, para sahabat Rasulullah SAW menunggu solat isyak sehingga tersengguk-sengguk kepala mereka kerana nabi SAW melewatkannya. Setelah baginda bersiap untuk menunaikan solat, mereka bersolat tanpa memperbaharui wuduk. (riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi)
Ibn 'Abbas r.a berkata yang bermaksud: Aku telah bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah (isteri nabi). Rasulullah SAW bangun untuk menunaikan solat malam. Lalu, aku bangun berdiri di sebelah kirinya. Kemudian, baginda menarik tanganku hingga aku berada di sebelah kanannya. Setiap kali kepalaku tersengguk kerana mengantuk, baginda akan menarik telingaku. Baginda melakukan solat itu sebanyak 11 rakaat. (riwayat Muslim).
Mengikut pandangan Imam al-Syafie r.a apabila seseorang tidak tidur dalam posisi duduk dan punggungnya tidak menempel dengan mantap pada posisi tempat duduknya.
Jika seseorang yang mempunyai wuduk tidur dengan posisi di atas sisi badannya (menyamping) atau dengan posisi terlentang, atau juga ada celah di antara punggungnya dengan tempat duduknya, maka wuduknya batal.
Wuduk tidak menjadi batal disebabkan mengantuk. Mengantuk adalah keadaan di mana seseorang merasa berat kepalanya, di mana dia masih dapat mendengar perkataan orang-orang yang ada di sekitarnya, walaupun tidak memahaminya.
Menurut pendapat paling sahih, termasuk pandangan dalam mazhab al-Syafie, apabila seseorang tidur tetapi tetap punggungnya di bumi tetap terletak di lantai, wuduknya tidak terbatal berdasarkan beberapa hadis di atas. Namun, yang afdalnya adalah berwuduk apabila tertidur berdasarkan maksud hadis secara umum.
Khutbah Jumaat
Mendengar khutbah Jumaat dan solat dua rakaat fardu Jumaat adalah ganti kepada solat zuhur. Kedua-duanya sama penting dan sama wajib dipenuhi.
Cuma sindrom sesetengah kita adalah bila solat Jumaat, mereka ingat solat Jumaat yang wajib dihadiri manakala khutbah Jumaat tidak dengar pun tidak mengapa yang penting solat Jumaat. Ini adalah tanggapan yang salah.
Kefarduan solat Jumaat adalah untuk memberi peluang orang Islam berkunjung ke masjid mendengar pesanan agama dan wasiat iman yang disampaikan oleh para khatib.
Falsafahnya supaya dalam kehidupan seminggu seorang lelaki muslim akan ada catatan yang dipijak kakinya ke masjid melalui kefarduan solat Jumaat.
Bayangkan kalau solat Jumaat tidak difardukan ke atas orang lelaki Muslim, alamatnya hati-hati yang kering pasti tidak akan berkunjung melainkan untuk solat hari raya.
Allah SWT memfardukan Jumaat semoga dengan kefarduan tersebut terdidik jiwa hamba-hamba-Nya ke arah kebaikan dan amal soleh. Untuk beroleh manfaat solat Jumaat maka solat Jumaat hendaklah ditunai dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan, bukan kerana terpaksa.
Perhatikan dengan mata hati maksud firman Allah SWT ini: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat)... (al-Jumu'ah: 9).
Pergi untuk mengingati Allah SWT sama ada berzikir, membaca al-Quran sementara khatib naik mimbar. Bila khatib mula berkhutbah, berhenti zikir dan baca al-Quran, tumpukan perhatian pada khutbah.
Maksudnya ke masjid pada hari Jumaat bukan untuk tidur dalam masjid, sampai ada yang berdengkur malahan untuk mengingati Allah SWT. Ingat sesungguhnya Allah SWT telah memberi peringatan di dalam surah al-Jumu'ah.
Golongan Yahudi yang tidak beramal al-Taurat adalah umpama keldai yang membawa pikulan kitab-kitab yang tinggi nilainya tetapi si keldai tidak tahu apa yang dipukulnya. Ini adalah seburuk-buruk perumpamaan ke atas golongan yahudi.
Jika Yahudi ditempelak dek Allah SWT kerana mengabaikan isi al-Taurat, maka umat Muhammad juga akan menerima nasib yang sama kerana mengabaikan al-Quran.
Thursday, May 19, 2011
Batal wuduk jika tidur?
Posted by Allahyarham achit at 7:51 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment