HADIS berkenaan memberi galakan kepada golongan wanita untuk sama-sama mengimarahkan masjid dan surau-surau yang ada di muka bumi ini.
Lebih-lebih lagi, jika tujuan wanita ke masjid adalah untuk menuntut ilmu baik yang fardu ain atau pun fardu kifayah.
Demikian dijelaskan oleh Ketua Jabatan Siasah Syar'iyyah Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail.
Beliau berkata, umumnya, kaum wanita dibolehkan keluar dari rumah mereka apabila ada keperluan yang sangat mendesak, demikian juga diharuskan bagi mereka pergi ke masjid.
"Cuma mereka (wanita) perlu menutup aurat dengan sempurna, tidak memakai wangi-wangian dan tidak memakai perhiasan yang menimbulkan suara gemerincing," katanya.
Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Bila salah seorang dari kalian (para wanita) ingin menghadiri solat di masjid maka janganlah ia menyentuh wangian. (riwayat Muslim)
Beliau berkata demikian pada Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Peranan Muslimah Dalam Mengimarahkan Institusi Masjid di perkarangan Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Mac lalu.
Moderator forum itu ialah selebriti televisyen Wardina Saffiyah manakala seorang lagi ahli panel ialah Pensyarah Institut Pendidikan (Pendidikan awal kanak-kanak) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Penolong Profesor Dr. Mastura Badzis.
Forum yang bermula pukul 9.30 pagi itu adalah anjuran bersama Masjid An-Nur, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Turut hadir, Pegawai Agama Islam Daerah Kuala Selangor, Hashim Mohamad dan Nazir Masjid An-Nur, Harun Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan taklimat tentang zakat harta oleh wakil LZS selama kira-kira 30 minit. LZS turut membuka kaunter zakat bergerak untuk membolehkan orang ramai mengemukakan pertanyaan tentang persoalan zakat.
Dr. Sharifah Hayaati menjelaskan, dalam pada itu memang ada hadis yang menyebut solat wanita di rumah mereka adalah lebih baik daripada di masjid.
Namun katanya, ia bukanlah larangan mutlak kepada wanita untuk berjemaah atau mengimarahkan masjid.
Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar bersabda Nabi SAW yang bermaksud: "Janganlah kamu melarang wanita ke masjid Allah, dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka". (riwayat Abu Daud)
Satu lagi hadis yang berkaitan adalah sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya aku berdiri untuk menunaikan solat dan berkeinginan untuk memanjangkan solat itu. Lalu aku mendengar tangisan bayi maka akupun memendekkan solatku kerana khuatir (tidak suka) memberatkan ibunya. (riwayat Bukhari)
"Dengan kata lain, wanita dibolehkan pergi ke masjid tetapi tidak dimestikan ke atas mereka.
"Ini bermakna kepergian mereka ke masjid adalah dibolehkan di sisi syarak dan mereka mendapat pahala berjemaah di masjid," tambahnya.
Sementara itu, Dr. Mastura menekankan pentingnya didikan ibu bapa lebih-lebih lagi para ibu dalam membentuk anak-anak agar rajin ke masjid.
Sebab itu, katanya, ada hadis yang menyebut: Setiap anak yang lahir itu adalah fitrah, maka ibu bapanya yang menentukan sama ada ia menjadi yahudi, nasrani atau majusi. (riwayat Bukhari).
"Hadis di atas menjelaskan bahawa tidak ada anak yang dilahirkan sebagai jahat. Yang silap adalah ibu bapa atau pengasuh yang menganggap seolah-olah anak itu jahat.
"Sebabnya, jahat itu bukan sifat seorang anak tetapi ia berlaku disebabkan beberapa faktor seperti persekitaran dan pendidikan ibu bapa," jelasnya.
Imam al-Ghazali misalnya berkata, setiap anak itu adalah permata. Mereka belajar melalui pemerhatian dan mudah meniru.
Berdasarkan teori imitation ini sesuatu itu menjadi kebiasaan kepada anak-anak.
Imam al-Ghazali begitu menekankan peri pentingnya ibu bapa dan pendidik perlu menjadi role model atau ikutan yang baik kerana sikap atau tingkahlaku yang ditunjukkan oleh ibu bapa sebenarnya adalah kurikulum dalam pendidikan seorang kanak-kanak.
"Sebab itu, kalau mahu anak kita solat di masjid, bapa terutamanya mesti juga menunjukkan contoh dengan solat berjemaah di masjid. Demikian juga dengan ibu.
"Barulah anak-anak juga mahu solat berjemaah di masjid. Jangan hanya pandai menyuruh anak solat ke masjid sedangkan bapa tidak pernah menjejak kaki ke masjid," tegasnya.
Dalam pada itu, Harun bersyukur kerana program yang dikhususkan untuk wanita itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Katanya, adalah dianggarkan 1,000 orang menyaksikan forum tersebut termasuk penduduk di kawasan Felda Bukit Cerakah dan Puncak Alam.
"Alhamdulillah, saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada PAID Kuala Selangor dan LSZ yang sudi menaja program hari ini," katanya.
Seorang jemaah, Saripah Saad berkata, tajuk yang dibincang pada forum itu dapat membuka mata kaum ibu khususnya tentang peranan secara tidak langsung mereka mengimarahkan masjid.
Katanya, kupasan tajuk oleh kedua-dua ahli panel membuktikan yang kaum wanita boleh memainkan 'peranan' mendidik anak-anak dan juga memujuk suami untuk solat berjemaah di masjid.
"Saya berharap program seumpama ini akan diadakan dari semasa ke semasa supaya umat Islam sentiasa diberi peringatan untuk kebaikan bersama," tambahnya.
Saturday, April 9, 2011
Wanita dan masjid
Posted by Allahyarham achit at 5:28 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment