BELIAU benar-benar ikhlas memeluk Islam walaupun percintaannya dengan bekas pemain kriket terkenal dunia, Imran Khan hanya separuh jalan.
Ini kerana tidak dinafikan Imran Khan banyak membantu wanita jelita ini untuk mengenal Islam malah membimbingnya dan membawanya ke Pakistan bagi melihat sendiri mengenai suasana Islam itu di sana.
Namun Kristiane Backer tetap meneruskan niatnya untuk memeluk Islam. Ternyata beliau memeluk Islam bukan kerana seorang lelaki.
Umum mengenali wanita ini sebagai personaliti televisyen yang sangat terkenal di Eropah.
Apabila menyebut stesen televisyen muzik MTV Eropah, beliaulah disifatkan sebagai peneraju bagi stesen tersebut. Sebut penghibur terkenal dunia mana yang tidak pernah beliau temui. Baik Rolling Stones dan Lenny Kravitz di Boston, Amerika Syarikat, kepada Dave Steward dan Neneh Cherry di Munich Jerman dan Annie Lennox di Los Angeles, ramai artis terkemuka Barat menjadi tetamu sembang bersama Kristiane.
"Ketika perasmian pembukaan Saluran VH-1 TV di Hamburg, penyanyi David Bowie sendiri yang datang menemui saya dan beliau meminta kebenaran merakamkan gambar kami bersama. Saya terpana dengan ajakannya itu. Itulah antara pengalaman menarik yang sukar saya lupakan," katanya.
Selama tujuh tahun dari tahun kerjayanya yang bermula pada tahun 1989 dalam usia 21 tahun , anak kelahiran Hamburg, Jerman ini meniti kehidupan yang sangat glamor.
Hidupnya disinari kerdipan cahaya bintang-bintang dalam dunia hiburan Barat di samping meraih pelbagai anugerah atas pencapaian cemerlang beliau menaikkan ranking rancangan.
Namun pada 1992, dunia Kristiane berubah hampir 360 darjah apabila buat pertama kalinya, beliau dapat menjengah keunikan dunia Timur.
Bermula ketika membuat liputan mengenai tarian Sufi yang sangat terkenal di Turki, benar-benar pembuka tirai kepada wanita ini untuk hampir sahaja melupakan kerdipan dunia hiburan.
"Sehebat mana pun lagu-lagu pop Barat yang pernah saya dengar sebelum ini, hati saya benar-benar terpaku dan sangat kagum alunan muzik suci dengan lirik ketuhanan yang sangat indah yang bertemakan kasih sayang yang puncak cinta seorang manusia adalah kepada tuhannya," katanya.
Sejak itu Kristiane memulakan penerokaan terhadap dunia Islam terutama dalam kehebatan yang dipamerkan dalam bentuk seni dan budaya. Beliau menyaksikan sendiri karya-karya agung yang terpamer pada kehebatan Istana Al Hambra di Grenada, Sepanyol.
Demikian juga kesucian dan keindahan Masjid Koutoubia atau ketenangan ketika berada di Menara Garden di Marrakech atau Gate Bab Boujeloud di Fez di Maghribi dan keunggulan seni bina Moghul di India dan Asia Tengah.
Kristiane benar-benar jatuh cinta menyaksikan pelbagai khazanah Islam dari seni barangan kemas antik Afghanistan kepada lampu tradisional dan seni air pancuran Maghribi, permaidani yang tersangat indah dan halus buatannya, ketelitian dan kehalusan ukiran-ukiran kayu sehinggalah kepada selendang Pashmina yang dihias jemeki dan manik.
Semua ini membuatkan Kristiane semakin ingin mendekati Islam.
"Khazanah seni dan budaya Islam adalah sangat harmoni sifatnya dan sangat mengasyikkan setiap kali kita memandangnya, semua ini apabila Islam berpegang kepada kata-kata Nabi Muhammad; Allah itu cantik dan Dia sukakan kecantikan," kata Kristiane.
Namun atas nama tugas, Kristiane tetap menjalankan tugasnya sebagai wartawan dan pengacara rancangan hiburan. Begitupun hatinya yang mula diserap nilai-nilai murni dan kehalusan seni Islam mula memberontak setiap kali beliau perlu mempromosikan filem-filem ganas dari Hollywood, muzik rock yang sangat bingit dan kesenian Barat yang baginya terlalu disensasikan dan hilang mutu keasliannya.
Beliau semakin beralih untuk hanya membuat liputan kesenian yang melibatkan dunia Islam. Ini termasuklah Pameran Seni Khat oleh Khatat terkenal Dr. Ahmed Moustafa dari Mesir di Muzium Vatican atas jemputan Pope.
Monday, January 24, 2011
Tugasan 'Islamkan' Kristiane
Posted by Allahyarham achit at 10:05 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment