? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Monday, January 24, 2011

Haid normal adalah tujuh hari

Soalan 1:
SAYA mengalami haid buat pertama kalinya bulan lepas. Tempohnya adalah lima hari. Adakah ini normal? Pada kebiasaannya berapa lamakah tempoh haid bagi seorang wanita?

Jawapan:

Tempoh haid tidak sama antara seorang wanita dengan wanita yang lain. Sekiranya adik mengalami haid untuk jangka masa yang sama bulan hadapan dan seterusnya, maka itu adalah jangka masa normal bagi adik.

Pada kebiasaannya tempoh haid adalah antara enam sehingga tujuh hari.

Soalan 2:

Sudah tiga bulan adik saya mengalami haid hanya satu hari bermula daripada sebelah pagi dan habis kira-kira tengah malam iaitu lebih kurang 16 jam. Adakah itu dikira haid?

Jawapan:

Ia bukan haid kerana tempoh haid adik puan adalah kurang daripada 24 jam. Tempoh haid adalah sekurang-kurangnya satu hari satu malam iaitu 24 jam.

Soalan 3:

Saya mengalami haid selama 18 hari sehingga 20 hari setiap bulan. Adakah ini haid atau darah penyakit?

Jawapan:

Bagi tempoh satu hari sehingga 15 hari, ia adalah darah haid dan darah yang keluar selepas itu adalah darah penyakit (istihadah).

Soalan 4:

Apakah maksud suci antara hari-hari kebiasaan haid? Apakah hukumnya?

Jawapan:

Apabila seorang wanita mendapati dia kedatangan haid, misalnya dua hari, kemudian pada hari berikutnya tiada darah keluar (suci), hari keempat keluar semula darah hingga hari keenam.

Dalam keadaan ini, menurut pandangan Imam Syafie dan Abu Hanifah, keseluruhan hari daripada hari pertama hingga keenam dikira haid.

Soalan 5:

Apakah syarat bagi menentukan suci antara hari-hari kebiasaan haid adalah haid?

Jawapan:

Suci antara darah-darah sama ada dalam tempoh minimum haid (sehari semalam) atau lebih dikira sebagai haid dengan syarat:

a) Tempoh suci tidak lebih daripada 15 hari 15 malam.

b) Darah haid yang keluar keseluruhannya tidak kurang daripada satu hari satu malam (sekurang-kurangnya haid).

c) Tempoh suci itu dihimpit antara dua tempoh pengeluaran darah haid.

Sudahkah kita berfikir?

TIDAK pernah dalam sejarah, sesebuah masyarakat atau kaum itu mencapai ketinggian tamadun melainkan dengan pemikiran yang tinggi.

Sejarah umat Islam menunjukkan betapa ramai lahirnya tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang hebat seperti Imam Asy-Syafie, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun dan ramai lagi yang mana mereka ini merupakan tokoh pemikir ulung Islam.

Kewujudan ini kesan daripada kesedaran yang mendalam tentang betapa pentingnya falsafah atau pemikiran sesebuah umat itu dibentuk. Rasulullah SAW, seorang insan pilihan yang sangat menitikberatkan soal pemikiran pernah bersabda: "Yang terlebih hampir dengan aku pada hari kiamat, adalah orang yang terlebih lapar dan berfikir".

Ini jelas betapa penting dan mulianya seseorang yang menggunakan sepenuhnya nikmat fikiran yang hanya Allah anugerahkan kepada kita. Sering kita mendengar pesanan-pesanan daripada ilmuwan Islam yang menyuruh kita memikirkan tentang apa yang diciptakan oleh Allah, kerana itu akan mendatangkan manfaat buat diri.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 190 bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan hemah Allah bagi orang-orang yang berakal (berfikir).

Kita tertanya-tanya, berfikir bagaimana yang akan membuatkan kita beruntung di sisi Allah. Adakah memikir tentang bagaimana mengejar kekayaan seperti seorang ahli perniagaan memikir cara mengembangkan perniagaannya?

Memikir bagaimana mengurus kehidupan harian seperti si ayah memikir apa yang terbaik perlu dilaksanakan untuk keluarganya? Banyak sekali cabang fikirnya, dan semua pemikiran yang disebut tadi ada manfaatnya untuk diri kita. Cumanya kolum kali ini kita akan mencari makna fikir yang dikehendaki oleh baginda Nabi SAW.

Ibrahim ibnu Adham, seorang ulama sufi mengenengahkan tiga bentuk pemikiran:

1. Memikirkan segala kejadian Allah dan menjadikan itu sebagai dalil kewujudan dan kekuasaan Allah, ini kelakuan golongan ulama.

2. Memikirkan setiap kejadian Allah dengan lebih mendalam dan kelebihan setiap nikmatnya, lalu timbul perasaan syukur kepada Allah.

3. Memikirkan tentang amalan hariannya (post moterm) supaya tidak tercemar dengan perasaan riak dan takbur yang membinasakan amalan dan dirinya, ini kelakuan ahli ibadah.

Sememangnya dengan berfikir akan membuatkan kita mengetahui di mana kedudukan diri kita, sama ada mengikut acuan yang dikehendaki oleh Islam atau sebaliknya.

Melihat kepada sejarah kegemilangan Islam di era pemerintahan Khulafa Ur-Rasyidin, kerajaan Islam ketika itu berjaya memerintah sebahagian besar daripada dunia, apa rahsianya? Selain dari tahap iman dan takwa yang tinggi kepada Allah, rupa-rupanya pemikiran muda-mudi ketika itu sentiasa dibendung dengan '1 fikrah', iaitu cintakan ilmu terutama ilmu yang mengukuhkan keimanan kepada Allah.

Kesan didikan Rasulullah SAW masih tegar dalam hati mereka, Rasulullah mendidik supaya memerangi penyakit wahan dalam hati dan fikiran, sahabat bertanya: "Apakah itu penyakit wahan?" Maka jawab baginda, "Cintakan dunia, takutkan mati".

Sesebuah masyarakat yang terlalu mencintai kehidupan dunia akan membuatkan mereka alpa dan berpaling daripada perintah Allah, ini pernah berlaku kepada kaum Tsamud yang mana mereka akhirnya dihancurkan oleh Allah. Begitu juga dengan kaum nabi-nabi Allah yang lain.

Sememangnya kita tidak sanggup ia berlaku kepada masyarakat di negara kita. Maknanya, pemikiran seperti inilah perlu diterapkan kepada remaja kita. Ini akan membawa remaja kita kenal kepada matlamat dan peranan utama di ketika usianya.

Faedah berfikir

Diriwayatkan daripada Abi Sulaiman, Nabi SAW bersabda: "Berfikir tentang akhirat itu akan memperolehi hikmah dan menghidupkan hati. Dan berfikir pada (kesibukan) dunia semata-mata maka akan menjadi dinding (yang mengkaburkannya) tentang akhirat".

Tentu sekali orang yang berfikir perihal akhirat akan membuat dirinya sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah lakunya agar tidak mengundang kemurkaan Allah, kerana kesedaran bahawa setiap amalan yang baik dan buruk akan dihitung Allah walaupun sebesar biji sawi sekalipun.

Ini pula kajian kesan daripada berfikir, orang yang jarang-jarang berfikir atau memerah otaknya untuk berfikir mempunyai paling minimum 10 bilion sel. Setiap sel berhubung antara satu sama lain. Orang yang rajin dan kuat berfikir mempunyai hingga 1 trilion sel dalam kapasiti saiz otak yang sama. Semakin kerap atau semakin kuat kita berfikir, semakin banyak sel yang terbentuk.

Jadi, inilah masanya untuk kita mengunakan sepenuhnya nikmat akal fikiran yang sangat hebat ini untuk merealisasikan impian diri dan agama. Dengan memikirkan tahap keimanan, kualiti kehidupan dan ibadah kita, serta persediaan menghadap pencipta kita nanti.

Kata seorang ulama, Fudhail r.a, "Fikir itu cermin hati, dan dengannya kita melihat segala kebaikan, kesilapan, manfaat dan mudarat dalam perihal kehidupan kita." Mudah-mudahan dengan fikrah pemikiran yang dikongsi kali ini menjadi satu inspirasi hebat buat pembaca untuk memulakan hari-hari mendatang dengan penuh pengharapan kepada reda Allah. Salam perubahan.

Tugasan 'Islamkan' Kristiane

BELIAU benar-benar ikhlas memeluk Islam walaupun percintaannya dengan bekas pemain kriket terkenal dunia, Imran Khan hanya separuh jalan.

Ini kerana tidak dinafikan Imran Khan banyak membantu wanita jelita ini untuk mengenal Islam malah membimbingnya dan membawanya ke Pakistan bagi melihat sendiri mengenai suasana Islam itu di sana.

Namun Kristiane Backer tetap meneruskan niatnya untuk memeluk Islam. Ternyata beliau memeluk Islam bukan kerana seorang lelaki.

Umum mengenali wanita ini sebagai personaliti televisyen yang sangat terkenal di Eropah.

Apabila menyebut stesen televisyen muzik MTV Eropah, beliaulah disifatkan sebagai peneraju bagi stesen tersebut. Sebut penghibur terkenal dunia mana yang tidak pernah beliau temui. Baik Rolling Stones dan Lenny Kravitz di Boston, Amerika Syarikat, kepada Dave Steward dan Neneh Cherry di Munich Jerman dan Annie Lennox di Los Angeles, ramai artis terkemuka Barat menjadi tetamu sembang bersama Kristiane.

"Ketika perasmian pembukaan Saluran VH-1 TV di Hamburg, penyanyi David Bowie sendiri yang datang menemui saya dan beliau meminta kebenaran merakamkan gambar kami bersama. Saya terpana dengan ajakannya itu. Itulah antara pengalaman menarik yang sukar saya lupakan," katanya.

Selama tujuh tahun dari tahun kerjayanya yang bermula pada tahun 1989 dalam usia 21 tahun , anak kelahiran Hamburg, Jerman ini meniti kehidupan yang sangat glamor.

Hidupnya disinari kerdipan cahaya bintang-bintang dalam dunia hiburan Barat di samping meraih pelbagai anugerah atas pencapaian cemerlang beliau menaikkan ranking rancangan.

Namun pada 1992, dunia Kristiane berubah hampir 360 darjah apabila buat pertama kalinya, beliau dapat menjengah keunikan dunia Timur.

Bermula ketika membuat liputan mengenai tarian Sufi yang sangat terkenal di Turki, benar-benar pembuka tirai kepada wanita ini untuk hampir sahaja melupakan kerdipan dunia hiburan.

"Sehebat mana pun lagu-lagu pop Barat yang pernah saya dengar sebelum ini, hati saya benar-benar terpaku dan sangat kagum alunan muzik suci dengan lirik ketuhanan yang sangat indah yang bertemakan kasih sayang yang puncak cinta seorang manusia adalah kepada tuhannya," katanya.

Sejak itu Kristiane memulakan penerokaan terhadap dunia Islam terutama dalam kehebatan yang dipamerkan dalam bentuk seni dan budaya. Beliau menyaksikan sendiri karya-karya agung yang terpamer pada kehebatan Istana Al Hambra di Grenada, Sepanyol.

Demikian juga kesucian dan keindahan Masjid Koutoubia atau ketenangan ketika berada di Menara Garden di Marrakech atau Gate Bab Boujeloud di Fez di Maghribi dan keunggulan seni bina Moghul di India dan Asia Tengah.

Kristiane benar-benar jatuh cinta menyaksikan pelbagai khazanah Islam dari seni barangan kemas antik Afghanistan kepada lampu tradisional dan seni air pancuran Maghribi, permaidani yang tersangat indah dan halus buatannya, ketelitian dan kehalusan ukiran-ukiran kayu sehinggalah kepada selendang Pashmina yang dihias jemeki dan manik.

Semua ini membuatkan Kristiane semakin ingin mendekati Islam.

"Khazanah seni dan budaya Islam adalah sangat harmoni sifatnya dan sangat mengasyikkan setiap kali kita memandangnya, semua ini apabila Islam berpegang kepada kata-kata Nabi Muhammad; Allah itu cantik dan Dia sukakan kecantikan," kata Kristiane.

Namun atas nama tugas, Kristiane tetap menjalankan tugasnya sebagai wartawan dan pengacara rancangan hiburan. Begitupun hatinya yang mula diserap nilai-nilai murni dan kehalusan seni Islam mula memberontak setiap kali beliau perlu mempromosikan filem-filem ganas dari Hollywood, muzik rock yang sangat bingit dan kesenian Barat yang baginya terlalu disensasikan dan hilang mutu keasliannya.

Beliau semakin beralih untuk hanya membuat liputan kesenian yang melibatkan dunia Islam. Ini termasuklah Pameran Seni Khat oleh Khatat terkenal Dr. Ahmed Moustafa dari Mesir di Muzium Vatican atas jemputan Pope.

Tugasan 'Islamkan' Kristiane

BELIAU benar-benar ikhlas memeluk Islam walaupun percintaannya dengan bekas pemain kriket terkenal dunia, Imran Khan hanya separuh jalan.

Ini kerana tidak dinafikan Imran Khan banyak membantu wanita jelita ini untuk mengenal Islam malah membimbingnya dan membawanya ke Pakistan bagi melihat sendiri mengenai suasana Islam itu di sana.

Namun Kristiane Backer tetap meneruskan niatnya untuk memeluk Islam. Ternyata beliau memeluk Islam bukan kerana seorang lelaki.

Umum mengenali wanita ini sebagai personaliti televisyen yang sangat terkenal di Eropah.

Apabila menyebut stesen televisyen muzik MTV Eropah, beliaulah disifatkan sebagai peneraju bagi stesen tersebut. Sebut penghibur terkenal dunia mana yang tidak pernah beliau temui. Baik Rolling Stones dan Lenny Kravitz di Boston, Amerika Syarikat, kepada Dave Steward dan Neneh Cherry di Munich Jerman dan Annie Lennox di Los Angeles, ramai artis terkemuka Barat menjadi tetamu sembang bersama Kristiane.

"Ketika perasmian pembukaan Saluran VH-1 TV di Hamburg, penyanyi David Bowie sendiri yang datang menemui saya dan beliau meminta kebenaran merakamkan gambar kami bersama. Saya terpana dengan ajakannya itu. Itulah antara pengalaman menarik yang sukar saya lupakan," katanya.

Selama tujuh tahun dari tahun kerjayanya yang bermula pada tahun 1989 dalam usia 21 tahun , anak kelahiran Hamburg, Jerman ini meniti kehidupan yang sangat glamor.

Hidupnya disinari kerdipan cahaya bintang-bintang dalam dunia hiburan Barat di samping meraih pelbagai anugerah atas pencapaian cemerlang beliau menaikkan ranking rancangan.

Namun pada 1992, dunia Kristiane berubah hampir 360 darjah apabila buat pertama kalinya, beliau dapat menjengah keunikan dunia Timur.

Bermula ketika membuat liputan mengenai tarian Sufi yang sangat terkenal di Turki, benar-benar pembuka tirai kepada wanita ini untuk hampir sahaja melupakan kerdipan dunia hiburan.

"Sehebat mana pun lagu-lagu pop Barat yang pernah saya dengar sebelum ini, hati saya benar-benar terpaku dan sangat kagum alunan muzik suci dengan lirik ketuhanan yang sangat indah yang bertemakan kasih sayang yang puncak cinta seorang manusia adalah kepada tuhannya," katanya.

Sejak itu Kristiane memulakan penerokaan terhadap dunia Islam terutama dalam kehebatan yang dipamerkan dalam bentuk seni dan budaya. Beliau menyaksikan sendiri karya-karya agung yang terpamer pada kehebatan Istana Al Hambra di Grenada, Sepanyol.

Demikian juga kesucian dan keindahan Masjid Koutoubia atau ketenangan ketika berada di Menara Garden di Marrakech atau Gate Bab Boujeloud di Fez di Maghribi dan keunggulan seni bina Moghul di India dan Asia Tengah.

Kristiane benar-benar jatuh cinta menyaksikan pelbagai khazanah Islam dari seni barangan kemas antik Afghanistan kepada lampu tradisional dan seni air pancuran Maghribi, permaidani yang tersangat indah dan halus buatannya, ketelitian dan kehalusan ukiran-ukiran kayu sehinggalah kepada selendang Pashmina yang dihias jemeki dan manik.

Semua ini membuatkan Kristiane semakin ingin mendekati Islam.

"Khazanah seni dan budaya Islam adalah sangat harmoni sifatnya dan sangat mengasyikkan setiap kali kita memandangnya, semua ini apabila Islam berpegang kepada kata-kata Nabi Muhammad; Allah itu cantik dan Dia sukakan kecantikan," kata Kristiane.

Namun atas nama tugas, Kristiane tetap menjalankan tugasnya sebagai wartawan dan pengacara rancangan hiburan. Begitupun hatinya yang mula diserap nilai-nilai murni dan kehalusan seni Islam mula memberontak setiap kali beliau perlu mempromosikan filem-filem ganas dari Hollywood, muzik rock yang sangat bingit dan kesenian Barat yang baginya terlalu disensasikan dan hilang mutu keasliannya.

Beliau semakin beralih untuk hanya membuat liputan kesenian yang melibatkan dunia Islam. Ini termasuklah Pameran Seni Khat oleh Khatat terkenal Dr. Ahmed Moustafa dari Mesir di Muzium Vatican atas jemputan Pope.

Mazhab bantu memahami agama

SOALAN:
Apakah maksud sebenar mazhab dan apakah kepentingan kita mengikut sesuatu mazhab?

JAWAPAN:

MAZHAB menurut kamus dewan adalah: "Cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam". (Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm: 1010).

Mazhab adalah berasal daripada bahasa arab, yang bermaksud kecenderungan dalam sesuatu perkara. Soalan sebegini sudah acap kali orang bertanya.

Bila baca soalan sebegini dan sebelum ini ada juga yang bertanya soalan yang seumpama dengan ini lantas apa yang terlintas di benak saya, adakah kita lebih hebat daripada Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Hanbali sehingga sudah tidak mahu berpegang kepada mazhab?

Saya tidak salahkan yang bertanya, tetapi saya yakin pertanyaan ini adalah sebagai landasan mendapat penjelasan yang betul dalam persoalan yang dimusykilkan.

Kepentingan bermazhab adalah bagi membolehkan kita mengamalkan agama dengan faham yang sebenarnya. Sebabnya, kita tidak mampu dan kebanyakan kita tidak layak kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk berijtihad. Para ulama yang muktabar telah memudahkan kita memahami Islam dengan lebih mudah.

Contohnya hadis berkaitan wuduk dalam sahih al-Bukhari dalam kitab bersuci, wuduk, di bawah tajuk ini adalah 75 bab dan 105 hadis, di dalam kitab al-Ghusl (mandi) terdapat 29 bab dan 44 hadis.

Kadang-kadang dalam satu bab ada ada dua tiga mungkin lebih lagi. Mungkin juga di antara hadis-hadis itu pada zahirnya macam bertentangan tetapi hakikatnya tidak. Semua ini orang awam boleh faham ke untuk menghasilkan hukum?

Tidak semudah yang disangka. Memang Islam itu mudah, tapi tidaklah sampai dimudah-mudahkan Islam itu.

Pandangan peribadi saya adalah lebih baik orang awam di negara ini berpegang kepada satu mazhab, iaitu mazhab Syafie, yang menjadi pegangan majoriti penduduk dunia.

Saya juga mengagumi dan menghormati mazhab-mazhab yang lain. Tetapi negara ini kita sudah serasi dan menjadi pegangan untuk kian lama.

Silibus fiqh di sekolah dan universiti juga bermazhab Syafie. Oleh sebab itu, saya berani mengatakan mazhab Syafie telah menjadi mazhab rasmi masyarakat yang beragama Islam di negara ini.

Keadaan umat Islam semakin bercelaru dengan berbagai aliran dan pemikiran selepas kewafatan Rasululah SAW. Terutama pada zaman Saidina Ali yang muncul berbagai-bagai fahaman seperti aliran Khawarij, Mu'tazilah dan Syiah dan macam-macam ajaran yang membingungkan hala tuju manusia.

Oleh kerana terdapat berbagai aliran ini, tepatlah al-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Al-Imam al-Thabarani: "Bahawa pada akhir zaman, umat ku terbahagi pada 73 golongan, hanya satu golongan sahaja yang dapat memasuki syurga manakala yang lain terjun ke dalam neraka. Maka sahabatnya pun bertanya, siapakah golongan yang satu tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)".

ASWJ adalah mereka yang mengikut sunnah Rasululah dan juga sunnah sahabat-sahabat Baginda serta sunnah umat zaman Tabiin (Zaman 300 tahun selepas Rasulullah). Keempat-empat Imam ASWJ iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Al-Shafiei dan Imam Hambali tersebut hidup pada zaman tabiin yakni lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah SAW.

Mendalami ilmu

Imam Hanafi lahir pada 80 hijrah dan Imam Malik lahir pada tahun 93 hijrah dalam kurun yang pertama lagi. Imam Al-Syafie lahir pada pada 150 hijrah dan Imam Hambali lahir pada 164 hijrah.

Semua mereka terkenal dengan sifat-sifat terpuji dan terkenal dengan ketokohan mereka dalam bidang ilmu. Seawal usia mereka telah menghafal al-Quran, selesai menghafal al-Quran mereka akan mendalami ilmu hadis serta ilmu tafsir, disusuli dengan ilmu fiqh dan tauhid.

Mereka sanggup berehlah ribuan batu untuk mendapatkan ilmu, sanggup mengharung perit maung dalam mencari ilmu. Sepanjang riwayat hidup mereka kita akan dengar yang baik-baik, yang indahnya mereka adalah ulama yang jujur dalam menegakkan kebenaran demi Allah SWT dan Rasul-Nya.

Perjuangan mereka jujur ijtihad mereka juga semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Keempat-empat Imam tersebut juga boleh mengistinbatkan hukum selain dari al-Quran dan al-hadis. Selain itu, keempat-empat mereka juga mempunyai kitab rujukan pada anak murid dan umum.

Seperti Imam Hanafi yang mempunyai kitab al-hadis yang bernama Al Wasit, Imam Malik dalam kitab Al-Muwattha, Imam Al-Shafie dalam kitab Al-Uum dan Al-Imam Hambali (Ahmad bin Hambal).

(Mazhab bagi keluarga Ibn Tamiyah di mana bapanya adalah ulama bermazhab Hambali) dalam kitab al-Hadis yang terkenal yang bernama Al-Musnad yang merangkumi 35,000 hadis di dalamnya.

Keempat-empat Imam tersebut apabila memberi fatwa atau berijtihad atau mengeluarkan hukum, mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Kalau ada mana-mana pihak yang mengikuti salah satu daripada empat mazhab tersebut, ertinya mereka juga telah mengikut al-Quran dan al-hadis.

Cuma sebagai orang awam yang tidak tahu ayat al-Quran dan al-hadis mana yang diterima pakai. Kerana itu digelar muqalidin atau pengikut.

Memang sudah menjadi sunnatullah sejak Nabi Adam sehingga pada akhir zaman, orang yang jahil tentang ilmu Islam lebih ramai daripada orang alim. Walaupun sebenarnya ramai yang ingin menjadi alim.

Begitu juga dalam ilmu pengetahuan, sedikit sahaja yang berilmu tetapi yang jahil amat ramai. Dalam pada itu patutkah diminta pendapat orang awam mengkaji dan menggali sendiri al-Quran dan hadis?

Tidak munasabah meminta mereka berijtihad sendiri kepada al-Quran dan hadis. Oleh yang demikian berpegang kepada satu mazhab yang muktabar seperti mazhab Syafie adalah lebih baik dan lebih selamat.

Ini kerana kita akan seragam dalam penghayatan dan pengamalan serta mengelakkan pertelingkahan antara satu sama lain.

Ancaman bagi orang bakhil

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SURAH ini termasuk dalam surah Makkiyah, keseluruhan ayatnya berjumlah 21 ayat, dan turun selepas surah al-A'la. Hubungan surah dengan surah yang sebelumnya, iaitu pada surah terdahulu ada disebutkan tentang kebahagiaan orang yang mengotorkannya.

Dalam surah ini pula Allah SWT sebutkan bentuk kebahagiaan yang akan diperolehi dan bentuk kecelakaan yang akan didapati. Jadi, surah ini seolah-olah huraian yang lebih terperinci daripada surah sebelumnya.

Firman Allah SWT: Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), dan siang apabila ia lahir terang-benderang, demi yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina).

Ibn Kathir berkata, yakni jika menutupi makhluk dengan kegelapannya dan cahaya dengan sinarnya begitu juga demikian sama ciptaan manusia. Ketika sumpahan ini menggunakan hal yang bertentangan maka yang disumpah pun juga saling bertentangan.

Syed Qutud dalam Fi Zilal al-Quran menyebut: Biar bagaimanapun percubaan yang dilakukan oleh para pengingkar dan para penyesat untuk menolak hakikat ini dan mengalihkan pandangan-pandangan manusia daripada mengamatinya, namun hati manusia tetap berhubung dengan alam buana ini.

Mereka juga menerima saranan-saranannya, memerhati perubahan-perubahannya dan memahami secara spontan setelah berfikir dengan mendalam bahawa di sana ada satu kuasa pentadbir yang pasti dirasa dan diakui kewujudannya di sebalik pendapat-pendapat yang karut dan sikap yang menolak dan mengingkarinya.

Begitu juga penciptaan jenis lelaki dan perempuan atau jantan dan betina. Penciptaan jenis pada manusia dan binatang-binatang mamalia itu bermula dengan setitis nutfah yang menetap dalam rahim atau dengan satu sel dari lelaki yang bersatu dengan sebiji telur perempuan. Tetapi mengapakah pada akhir perkembangannya tidak sama, yang ini menjadi lelaki dan yang itu menjadi perempuan. Siapakah yang memerintah begitu?

Penemuan faktor-faktor yang menjadikan nutfah ini lelaki dan nutfah itu perempuan tidak mengubah hakikat, kerana yang menjadi pokok pertanyaan mengapa faktor-faktor itu wujud pada nutfah ini dan tidak wujud pada nutfah yang lain?

Bagaimana kejadian lelaki dan perempuan (betina dan jantan) ini merupakan kejadian yang selaras dengan garis perjalanan hidup dan menjamin kesinambungan hidup melalui proses beranak-pinak sekali lagi?

Adakah ini berlaku secara kebetulan? Tetapi kebetulan juga mempunyai undang-undangnya dan mustahil segala-galanya berlaku secara kebetulan. Mahu tidak mahu pasti diakui bahawa di sana ada Tuhan Pentadbir yang menciptakan lelaki dan perempuan kerana tujuan dan matlamat yang tertentu. Kebetulan dan kejadian secara automatik sama sekali tidak mempunyai tempat dalam peraturan alam ini.

Penutup

Ayat-ayat di atas dan ayat-ayat sebelumnya dapat juga difahami sebagai perintah untuk melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan menghindari yang tidak bermanfaat, serta beramal sesuai dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya. Kemudian menyerahkan persoalan-persoalan ghaib, seperti balasan dan ganjaran kepada Allah SWT.

Ini serupa dengan perintah untuk mencari rezeki yang dituntut dari kita adalah berusaha sekuat kemampuan, lalu menyerahkan hasil usaha itu kepada Allah SWT.

Jangan sekali-kali mengadu nasib dalam memperolehi rezeki kerana perolehan rezeki serta kegagalan memperolehnya sering kali berkaitan dengan upaya anda.

Syed Qutub berkata: Demikianlah berakhirnya bahagian pertama surah ini dan dari bahagian ini ternyatalah bahawa di sana terdapat dua jalan yang diikuti manusia di setiap zaman dan tempat.

Kedua-dua jalan itu merupakan dua golongan atau dua panji yang berlainan walaupun bentuk dan warnanya beraneka ragam.

Setiap orang yang berbuat untuk dirinya apa yang dipilih olehnya, sedangkan Allah akan memberi kemudahan kepadanya untuk menuju ke jalan pilihannya sama ada jalan kesenangan atau jalan kesukaran.

Bertawassul dengan athar Rasulullah

BULAN Rabiuhar Rasulullahlawal yang membawa makna dan rasa tersendiri bagi para pencinta Rasulullah SAW menjelang tiba. Ia datang dengan imbauan ingatan lahirnya insan agung yang membawa cahaya kebenaran dan siraman rahmat kepada seluruh alam.

Seharusnyalah peristiwa agung itu terus-menerus dikenang, disebut, disanjung sebagai tanda syukur kita ke hadrat Allah SWT atas nikmat yang maha besar dan sebagai penyubur ikatan kasih kita pada Rasulullah SAW.

Perlu difahami bahawa perbahasan kita berkaitan isu tawassul selama ini juga tidak terpisah daripada semangat menzahirkan mahabbah dan berkhidmat kepada Rasulullah SAW seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Ia tidak harus sekadar menjadi suatu polemik ilmiah yang terpisah daripada makna yang lebih tinggi tersebut. Semoga kita semua sentiasa digolongkan bersama mereka yang diizinkan untuk berkhidmat kepada Baginda SAW dan memasuki naungan kasih Baginda SAW.

Minggu ini, kita ingin memasuki satu pecahan tajuk baru berkaitan dengan tawassul iaitu hukum bertawassul dengan kesan-kesan peninggalan Rasulullah SAW atau juga dipanggil athar. Sebenarnya telah diriwayatkan secara sahih bahawa para Sahabat RA pernah melakukan perbuatan mengambil berkat atau bertabarruk dengan athar Rasulullah SAW.

Perbuatan bertabarruk ini hanya mempunyai makna dan tujuan yang satu iaitu bertawassul kepada Allah dengan kesan-kesan Baginda SAW, kerana bertawassul boleh dilakukan dengan bermacam-macam cara dan tidak terbatas kepada satu cara tertentu sahaja.

Apakah patut jika kita boleh menerima bahawa para sahabat RA hanya sekadar bertawassul dengan kesan-kesan peninggalan Baginda SAW tetapi tidak pula bertawassul dengan Baginda SAW sendiri? Adakah logik jika dikatakan bahawa adalah sah bertawassul dengan furu' (benda-benda yang mempunyai kaitan dengan Baginda SAW iaitu kesan-kesan peninggalan Baginda SAW) tetapi tidak sah pula bertawassul dengan asalnya (diri Baginda SAW sendiri)?

Adakah sah bertawassul dengan kesan Baginda SAW yang tidak akan menjadi mulia dan agung melainkan disebabkan oleh empunya barang peninggalan tersebut iaitu Nabi Muhammad SAW, dan selepas itu pula kita mengatakan tidak sah bertawassul dengan Baginda SAW? "Maha Suci Engkau, ya Allah! Sesungguhnya ini hanyalah suatu pembohongan besar."

Saturday, January 15, 2011

Pujukan Abu Sufian supaya tidak berperang

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PERSIAPAN di pihak Islam ketika Perang Badar bukanlah untuk berperang. Kerana itu jumlah anggotanya tidak ramai berbanding persiapan oleh pihak Quraisy.

Malah mereka turut membawa kaum wanita untuk turut sama keluar memberi semangat dan menyajikan hiburan.

Namun Nabi Muhammad segera menyiap dan memperkemaskan barisan tentera yang ada setelah Allah SWT memberitahu mengenai kemaraan tentera dari Mekah.

Ia sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Seperti orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia daripada jalan Allah dan ingatlah. (al-Anfal: 47).

Rasulullah dan bala tentera yang baginda pimpin pun bergerak, berjalan sehingga mereka sampai di kawasan yang dikenali sebagai Al Udwatil Dunya di bahagian utara lalu mereka berhenti dan mendirikan khemah di situ.

Sementara tentera Mekah yang bergerak juga berhenti dan berkhemah di Al Udwatul Quswa di sebelah selatan.

Walau bagaimanapun kedua-dua belah pihak tidak mengetahui kedudukan pihak musuh antara satu sama lain.

Namun apakah yang terjadi kepada rombongan atau kafilah dagang yang diketuai oleh Abu Sufian bin Harb? Adakah rombongan berjaya diserang oleh pihak Islam atau bergabung dengan tentera Mekah untuk sama-sama bertempur memerangi pasukan Nabi Muhammad di medan perang?

Sebagai salah seorang pembesar Quraisy yang terkemuka, Abu Sufian turut cekap mengatur strategi dalam situasi yang sukar.

Walaupun bantuan tentera bakal menyusul, namun Abu Sufian dikatakan berjaya membawa seluruh ahli rombongannya melalui jalan-jalan rahsia. Ia berjaya mengelak daripada bertembung dan menjadi sasaran serangan pihak Islam.

Mungkin perjalanan yang ditempuh lebih sukar daripada biasa kerana terpaksa melalui jalan di antara celah-celah lembah bukit-bukit, sehinggalah meredah laluan di tepi pantai Laut Merah dan kembali semula ke laluan menuju Mekah.

Akhirnya rombongan itu selamat sampai ke Mekah tanpa sebarang masalah. Sebaik sahaja selamat sampai, Abu Sufian segera menghantar wakil memberitahu tentera Quraisy bahawa mereka berjaya mengelak daripada menjadi sasaran serangan dan mereka tidak perlu lagi meneruskan rancangan untuk bertempur dengan tentera Islam.

"Sesungguhnya kamu keluar hanya untuk menyelamatkan angkatan perdagangan kamu, anggota-anggota dan harta benda kamu. Tuhan telah menyelamatkan kami. Oleh kerana itu, pulanglah semula (ke Mekah).

"Untuk apa lagi kita keluar berperang. Apatah lagi orang yang kita perangi adalah kalangan saudara mara kita sendiri," demikian antara isi kandungan surat daripada Abu Sufian yang dikirimkan kepada ketua tentera Musyrikin Mekah, Abu Jahal.

Ini menyebabkan ada antara anggota tentera Musyrikin itu yang hendak menarik diri daripada meneruskan peperangan antara kedua-dua belah pihak.

Tentu sahaja Abu Jahal tidak setuju membatalkan misi ketenteraan itu yang kemenangan di pihak Quraisy akan melonjakkan lagi nama beliau di kalangan orang

Arab sekali gus bakal dilantik menjadi pemimpin utama di Mekah.

Dia mahu supaya peperangan diteruskan lalu dengan sombongnya dia berkata:

"Demi Tuhan, kita tidak akan pulang melainkan setelah kita sampai ke Badar. Di situ kita akan berkhemah dan menetap selama tiga hari dan menyembelih unta.

"Kita akan bebas bersuka ria sambil makan-makan, minum arak dan berhibur tari menari dan menyanyi dengan para biduanita yang telah kita bawa bersama ini.

"Biarkan semua orang Arab mendengar mengenai pergerakan dan pesta suka ria kita itu, pasti mereka akan gerun terhadap kekuatan dan semangat juang yang kita miliki."

Namun begitu, seramai 300 anggota tentera Musyrik tetap dengan keputusan mereka untuk menarik diri. Ini menyebabkan jumlah tentera telah berkurangan menjadi 1,000 orang sahaja yang berjaya dipujuk oleh Abu Jahal untuk meneruskan misi dengan menjanjikan pelbagai habuan jika mereka terus bersama-sama dengannya.

Ini menjadikan suasana semakin genting, hanya menunggu retak menjadi belah. Melalui risikan-risikan yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak memang ternyata tidak ada caranya bagi mengelakkan berlaku peperangan.

Peperangan yang pertama kali berlaku dalam sejarah antara Musyrik dan Islam, pasti akan meletus juga.

Ini menyebabkan di pihak tentera Islam, baginda perlu mengatur strategi yang rapi namun yang menariknya tidak perlu ditanggung oleh baginda seorang diri.

Sebagai seorang yang sangat demokratik, baginda mendengar pendapat, cadangan dan buah fikiran di kalangan anak-anak buahnya.

Di samping itu baginda bersama angkatan Islam juga beroleh semangat dan kekuatan rohani dengan turunnya ayat-ayat al Quran.

Antaranya, ayat Allah yang memberikan semangat yang tinggi kepada pasukan Islam: Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu (Pelindung), dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. Wahai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. (al-Anfal: 64-65)

Kaya dan miskin dalam Islam

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

SELALUNYA, orang suka menulis mengenai kemiskinan dan cara Islam menanganinya. Ini kerana, kemiskinan seringkali disinonimkan sebagai virus yang merosakkan masyarakat.

Memang benar, kemiskinan yang terbiar akan membiak menjadi barah tahap empat. Ia mampu merosakkan negara. Kerana itulah ia perlu dikawal.

Namun, penulisan kita kali ini cuba merungkai persoalan di sisi lain. Ia mengenai mereka yang kaya. Jarang orang menyebut kaya itu penyakit. Apatah lagi mengumpamakannya seperti sel kanser yang kelak memusnahkan seseorang dan sesebuah masyarakat.

Walhal, dalam al-Quran, Allah SWT menyebut jelas, si kaya yang kedekut itu adalah suatu ejen perosak.

Perhatikan firman Allah SWT dalam paparan berikut: Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karena ilmu yang ada padaku". Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? (al-Qasas: 78)

Qarun mendabik dada, enggan berkongsi harta dengan kaum Musa. Bukan sekadar itu, dia mencabar Allah SWT bila menafikan harta itu adalah amanah Allah SWT kepadanya.

Akhirnya, Allah membenam Qarun dan segala hartanya ke dalam bumi. Ia adalah suatu pembalasan, bahawa harta jika gagal ditunaikan haknya dengan amanah, akan membawa kebinasaan kepada diri sendiri bahkan masyarakat.

Allah SWT menambah: Maka Kami benamkanlah karun bersama rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah dia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya). (al-Qasas: 81)

Inilah kebinasaan akibat kedekut. Walhal, awal-awal lagi Allah SWT sudah mengingatkan bahawa: Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. (al-Qasas: 77)

Dewasa ini, mungkin kita pernah terdengar, masih ada suara-suara sumbang manusia yang memperlekehkan sesetengah yang lain.

Misalnya, si pulan itu pemalas, si pulan itu bodoh, si pulan itu degil dan sebagainya, maka sebab itulah dia miskin dan papa kedana. Ungkapan ini selalunya diucapkan demi menjustifikasikan satu tindakan negatif sesetengah pihak yang kedekut. Kedekut untuk berkongsi.

Hakikatnya, kedekut itulah yang membutakan mata hati si Qarun.

Maka, hari ini sifat kikir itu jugalah yang mengikis sifat ihsan diri insan dan sifat bakhil itu jugalah yang mengunci mati pintu kebajikan.

Golongan ini, melihat orang yang daif dengan pandangan naif. Pandangan yang diselubungi elemen buruk sangka dan memualkan. Lalu, kesannya hanya satu - biarkan mereka tanpa dibela. Mereka tidak layak disantuni. Mereka adalah manusia jelik yang sengaja mencari alasan demi mencuri belas ihsan orang.

Soalnya, betulkah persepsi ini? Benarkah manusia yang melarat itu reda dengan kemelaratan yang menguasai diri mereka? Adakah mereka suka hidup dikelilingi kepayahan, tinggal di rumah buruk, sempit dan sesak, dikelilingi pula timbunan sampah-sarap dengan aroma memualkan.

Rezeki yang dikais pagi habis, dikais petang tidak pula cukup untuk esoknya.

Benarkah juga bahawa kemiskinan dan kepapaan itu menjadi alat buat mereka untuk menggamit secebis simpati manusia, meraih belas dan memaksa nurani orang lain agar memberi? Benarkah bahawa mereka selesa hidup dengan kondisi serba menjerat itu, reda untuk tidak mampu merasa makanan yang enak, tidur di katil yang empuk dan dibalut dingin penyaman udara? Tega benarkah mereka?

Imbangi idealisme dengan realiti

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

KETIKA remaja idealisme atau berfikir secara ideal selalunya menjadi pegangan. Pada tahap ini, pemikiran yang membentuk remaja masih lagi belum di matang dan sempurna.

Pengalaman hidup belum banyak dan kerenah cabaran realiti masih belum banyak ditempuh.

Pada prinsipnya, memiliki idealisme tidaklah salah. Berfikir secara ideal dan sempurna bukanlah sesuatu yang keterlaluan. Tetapi memahami realiti adalah sesuatu yang dituntut.

Seseorang idealis mestilah bersifat realis. Seorang yang realis tanpa idealisme tidak mempunyai tapak untuk berdiri.

Seseorang idealis tanpa memahami realiti ibarat bunga kiambang yang cantik di permukaan air tetapi akarnya tidak berjejak bumi.

Kehidupan remaja mesti bermula dengan idealisme. Dengan idealisme para remaja akan terdidik dengan sesuatu yang besar, hebat dan sempurna.

Kalau ia dihubungkan dengan corak kepemimpinan, ia mestilah hebat daripada sudut peribadi, mendukung akhlak yang mulia dan bersifat amanah kepada kepimpinannya.

Sekiranya kita ingin memaksa idealisme kita dalam realiti yang serba bejat dan kucar-kacir, banyak keutamaan yang harus diberi, banyak agenda yang perlu dijelmakan dan banyak strategi yang perlu diambil untuk mencapai idealisme tersebut.

Oleh itu memiliki idealisme sebagai pedoman tidak salah, tetapi mengimbanginya dengan pemahaman terhadap realiti ia dituntut.

Para remaja sering terjebak dalam perangkap isu-isu semasa, sama ada politik mahupun isu-isu kemasyarakatan. Para remaja sering terbawa-bawa dengan idealisme tertentu tanpa melihat faktor lain yang penting dibangunkan.

Contohnya, ramai di kalangan remaja yang terlibat dalam jemaah dan gerakan Islam, mengimpikan Malaysia menjadi sebuah negara Islam.

Rasulullah SAW sepanjang sejarahnya berperanan membentuk manusia dan watak-watak manusia yang memiliki khuluq al-Quran iaitu peribadi yang Qurani.

Peribadi Qurani terlihat tidak sahaja kepada ilmu, daya kepimpinan, daya dakwah dan tarbiah, tetapi juga menampilkan contoh-contoh praktis yang menjadi sumber ikutan dan teladan.

Selepas 23 tahun pendekatan itu dikembangkan Rasulullah SAW berjaya memberi asas dan tapak supaya akhirnya terbina sebuah negara Islam di Madinah.

Tamadun Andalusia contohnya adalah puncak suatu proses yang sangat lama. Tamadun itu menghasilkan kepimpinan yang adil, ilmuwan yang terbilang, ilmu yang sepadu dan rasa keterbukaan untuk belajar faktor-faktor berbanding yang bermanfaat dari Barat dan Timur.

Cabaran yang penting dalam membina negara Islam ialah sifat masyarakatnya yang majmuk. Ia menuntut kemampuan kepemimpinan, keilmuan sistem pendidikan, sistem muamalat, sistem komunikasi dan telekomunikasi yang Islami.

Apa makna kita mengisytiharkan sebuah negara Islam tetapi keupayaan untuk menterjemahkan kepimpinan Islami dalam masyarakat berbilang tidak difahamkan terlebih dahulu.

Persediaan membangun hukum berasaskan syariah Islamiah tidak dilakukan dengan baik, begitu juga dalam meneroka bidang mualamat dan niaga yang berorientasikan Islam.

Usah lupa mengenai kesediaan dan keterbukaan masyarakat Islam dan bukan Islam untuk menerima semua ini dengan baik di tengah-tengah ideologi kapitilisme yang mencengkam.

Ia menuntut kefahaman yang mendalam di kalangan para idealis supaya cita-cita membangun negara Islam mesti selari dengan kualiti modal insan yang terbangun dalam sistem pendidikan.

Hal yang sama menyentuh isu perundangan yang berasaskan Islam. Bagi orang Islam syariah Islamiah adalah sesuatu yang cukup baik dan sempurna.

Memahamkan sebahagian orang Islam dan meyakinkan sebahagian besar orang bukan Islam tentang kebaikan hukuman Islam ini tidaklah mudah.

Kalau dakwah tidak berjalan, tarbiyah tidak berlaku, modal-modal alternatif yang Islami tidak terlihat kita bimbang negara Islam tegak hanya pada slogan dan cita-cita, tetapi tidak mampu diolah dan diisi dalam praktisnya.

Amalan menjauhi gangguan syaitan

Di dalam penghujung surah Allah SWT memberi ingat bahawa syaitan akan sering meniupkan bisikan-bisikannya, firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik penghasut Yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke Dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia. (al-Nas:2-7).

Di dalam ayat yang Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Aku berlindung kepada-Mu, Wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku. (al-Mukminun: 98).

Kedua-dua ayat ini memberitahu kita bahawa musuh yang bernama iblis dan sesuai dengan sifat kesyaitanannya menjauhkan manusia daripada mentaati Allah SWT.

Tidak kiralah apa cara sekalipun asalkan anak Adam berjaya diganggu sehingga berhenti daripada mentaati Allah SWT dan mentaatinya dengan melakukan maksiat.

Manakan tidak bila seseorang itu berhenti mentaati Allah SWT bermaksud mentaati iblis. Nah, bila sudah jauh daripada Allah maka yang dekat dengannya ialah iblis.

Maka inilah yang menjadi matlamat iblis. Untuk itu, iblis sanggup berusaha siang dan malam, pagi dan petang tanpa mengenal erti putus asa dalam menggoda anak Adam.

Apa anda lalui adalah gangguan iblis yang menyedari bahawa ketaatan kamu kepada Allah adalah kerugian baginya. Sebenarnya iblis ini tidak kuat, dia lemah dan hina, dia sungguh tidak berdaya untuk menyesatkan kita, ini kerana kita adalah lebih kuat dan lebih mulia daripada segi kejadian.

Bisikan serta gangguan dalaman adalah kerana jiwa kita kosong, gersang daripada mengingati Allah SWT. Kekuatan dalaman kita menjadi dinding dan perisai bagi menghindari iblis durjana ini.

Dalam hadis Rasulullah SAW baginda bersabda yang bermaksud: Syaitan akan menghantar tentera-tenteranya untuk memfitnah manusia, manusia yang lebih tinggi kedudukan akan mendapat fitnah (ujian) syaitan yang lebih hebat. Syaitan akan datang kepada seseorang kamu dan berkata: “Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini? Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini ? Sehingga syaitan akan berkata:” Siapakah yang telah menjadikan Tuhan kamu?” Apabila perkara ini berlaku kepada kamu maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam. (al-Bukhari dan Muslim).

Pengajaran daripada hadis ini;

1) Lintasan hati tidak akan memudaratkan iman yang ada pada seseorang.

2) Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Oleh itu sebarang bisikan yang menafikan segala kesempurnaan Allah wajib disanggah agar seseorang itu bebas daripada kesesatan yang meracuni akal fikirannya.

3) Kemungkaran dan kemaksiatan adalah jalan yang memandu manusia ke arah kesesatan. Ia merupakan perangkap syaitan dan Iblis yang mahukan manusia tergolong sebagai makhluk yang menderhaka seperti mereka.

Memandangkan gangguan iblis selalu dituju ke hati melalui urat saraf tempat mengalir darah dan akhirnya, darah itu sampai ke hati bersama bisikan iblis.

4) Syaitan akan mendatangi sesiapa sahaja. Hanya iman yang teguh dan mantap sahaja dapat menangkisnya.

Oleh itu sebagai pendindingnya kita hendaklah sentiasa membiasakan diri dengan berzikir dan beristighfar agar hati tidak mudah lalai dan terpesong kepada perkara yang mendatangkan dosa dan maksiat.

Apabila hati manusia telah mati atau menjadi keras, apabila hati manusia telah menjadi padam dan tidak bersinar lagi atau apabila ia telah tumpas dalam pertarungannya menghadapi syaitan maka terbukalah pintu-pintu masuk segala kejahatan terutama ke dalam dirinya, kerana syaitan itu meresap ke dalam diri anak Adam sebagaimana pengaliran darah di dalam tubuhnya.

Sebenarnya apabila benteng pertahanan dan kekuatan manusia telah runtuh maka syaitan akan kembali menjadi teman karibnya sebagaimana firman Allah dalam ayat 19 surah al-Mujadalah.

Inilah kandungan maksud yang dibayangkan oleh al-Quran yang menyatakan: Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang) mereka (keturunan Adam) daripada jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat). (al-A’raf: 16-17).

Kesungguhan iblis dalam menyesatkan anak Adam memang sangat jelas melalui ayat ini. Kekerapan gangguan yang anda lalui juga ada kemiripan kepada penyakit was-was, penyakit yang sangat bahaya, serta makan masa untuk dipulihkan.

Dalam hal ini Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya syaitan itu menghasut anak Adam dengan berbagai cara. Lalu (pertamanya) ia menghasut melalui jalan agama Islam itu sendiri dengan berkata: Apakah kamu menganut Islam dan meninggalkan agamamu dan agama nenek moyangmu? Anak Adam enggan mengikutinya dan tetap berpegang dengan Islam. Kemudian dia menghasut pula di jalan hijrah, lalu dia berkata: Adakah anda ingin berhijrah meninggalkan tanah air dan kampung halaman? Lalu anak Adam mengingkarinya dan tetap berhijrah. Kemudian syaitan menghasut pula di jalan jihad dengan berkata: “Adakah engkau ingin sedangkan jihad itu membinasakan jiwa dan harta benda engkau, kemudian engkau berperang lalu engkau dibunuh, kemudian isteri engkau dikahwini orang dan harta kekayaan engkau dibahagi-bahagikan. Lalu anak Adam tetap mengingkari syaitan dan terus berjihad.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Maka sesiapa yang bersikap demikian kemudian ia mati maka adalah hak Allah SWT memasukkannya ke dalam syurga”. (riwayat al-Nasa’i)

Menjauhkan diri daripada maksiat dan kejahatan adalah bermaksud menjauhi syaitan. Banyakkan zikir, solat, wuduk, selawat, istighfar, membaca al-Quran. Kawal pancaindera daripada murka kepada pencipta-Nya.