? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Tuesday, October 28, 2008

OPTIMIS VS PESIMIS

CARA MEMANDANG

Seorang yang pesimistik dalam pemikiran, berkecenderungan untuk melihat sisi gelap terhadap segala sesuatu. Sentiasa bermonolog negatif, dan melahirkan dialog yang negatif. Ia terbit dari kalimah Latin (pessimus) bermaksud worse. Pesimis adalah kesimpulan hasil fikir dan persepsi pada cara melihat, yang menafsirkan segalanya dari sudut yang buruk.

Tidak percaya pada peluang diri untuk berubah.

Tidak percaya pada peluang masyarakat untuk meningkat.

Tidak percaya hasil krisis kepercayaan diri.

IDEALISMA DAKWAH

Di alam dakwah, golongan yang taasub mutlak tidak mendatangkan banyak faedah jangka panjang. Mereka mungkin tenaga penting untuk melaksanakan suatu agenda, tetapi mereka berbangga dengan keletihan dan pengorbanan, tanpa muhasabah ke atas kualiti dan hasil. Mereka cepat menganggap bahawa mereka telah memberikan yang terbaik, biar pun kerugian dan kemalangan yang sama datang berulang kali.

“Kamu cakap sahaja. Siapa yang turun susun meja gantung sepanduk?”, katanya.

Ada segolongan lagi yang tepu dengan idea, begitu kritis sentiasa menganalisa persekitaran. Mereka kaya dengan kritikan.

Keupayaan minda untuk kritis dalam memberikan tindak balas, adalah suatu kurniaan yang besar. Ia amat berguna untuk menyuluh sudut yang tersembunyi bagi penambah baikan. Asas penting untuk kelangsungan tumbesaran gerakan dakwah menyusur zaman.

Tetapi kritikan yang datang dari minda optimis, berbeza dengan kritikan bernada pesimis.

MEMBINA VS MERUNTUH

Kritikan optimis adalah kritikan yang disertakan dengan penyelesaian dan harapan. Bahasanya adalah bahasa berkeyakinan bahawa ada jalan dan ada peluang untuk penambah baikan itu berlaku. Malah optimis yang sempurna ialah pada menjadikan diri sebahagian daripada agenda itu. Bahasa kita menyebutnya sebagai kritikan membina.

Akan tetapi, kritikan pesimis adalah kritikan yang sangat sinikal, berbau sindiran dan tidak menampakkan kecenderungan pengkritik itu kepada penyelesaian. Padanya masalah-masalah yang dikenal pasti itu terlalu mendominasi keadaan hingga beliau tidak percaya ia mampu diselesaikan.

Ia mungkin kesan pembacaan, kesan pendedahan, kesan penglibatan… justeru ilmu dan pengalaman yang ‘panas’ itu, menimbulkan penyakit ghurur yang membinasa. Awalnya terlihat benda baru, kemudiannya memandang usang benda lama.

Buku-buku yang kurang dibaca massa, berguna dalam mencari kesegaran formula, tetapi bertukar menjadi beban, apabila pesimis dalam pemikiran.

Biar pun kritikannya betul, dengan segerabak hujah yang ilmiah lagi bersarjana, kritikan itu tidak disertakan dengan penyelesaian dan harapan. Ia bukan kritikan yang membina, tetapi ubat yang menjadi racun. Pesimisme adalah kosmetik untuk mengindahkan pemikiran tinggi yang sebenarnya hina kerana menganut putus asa!



“Barangsiapa yang menyebut bahawa manusia semuanya sudah rosak, maka dia itulah yang paling rosak di kalangan mereka” [Hadith Riwayat Muslim]

PUTUS ASA

Manusia pesimis inilah manusia yang paling rosak kerana kritikannya terputus dari rahmat Allah. Beliau membesarkan sisi gelap dan buruk, hingga lupa kepada kekuasaan Allah SWT yang Maha Luas itu.

“Ahh… inilah golongan Islamis, cakap sahaja. Mereka pun tidak tahu apa yang mereka cakapkan”

“Kekalahan pun gagal diuruskan. Kemenangan pun tidak bijak ditadbir. Tiada kelayakan!”

“Umat sudah rosak. Tak perlulah nak kursus ke atau ceramah ke, balik-balik jadi macam itu juga!”

Ayat-ayat pesimis adalah ayat putus asa. Dan putus asa adalah seburuk-buruk akhlaq kita di hadapan Dia.



“Janganlah kamu berputus asa. Sesungguhnya berputus asa itu bukanlah akhlaq kaum Muslimin. Realiti hari ini hakikatnya adalah impian semalam. Dan impian hari ini (itulah bakal menjadi) realiti esok. Sesungguhnya masa itu masih luas dan anasir-anasir yang sejahtera itu masih kukuh terpahat di jiwa bangsamu yang beriman, biar pun dengan kerosakan yang menggila itu. Si lemah tidak akan kekal lemah sepanjang hayatnya, dan yang kuat itu tidak akan kuat selama-lamanya” - Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna.

GELAS SEPARUH



Justeru ketika kamu melihat gelas sedemikian ini, apakah yang kamu lihat?

Sebuah gelas yang separuh isi, atau separuh kosong?

Wahai anak muda yang berjiwa besar, besarkanlah jua keyakinan dan harapanmu untuk mencita-citakan sebuah perubahan?

Jangan kritik tanpa harapan, ia hanya sebuah keputus asaan…



Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir!” [Al-Baqarah 2: 214]

Harapan mesti terus hidup kerana ia bersandarkan kepada rahmat Allah yang Maha Hidup. Maha Mengasihi dan Maha Mengetahui akan perihal hamba-Nya.



Wahai anak-anakku! pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf serta adiknya, dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir” [Yusuf 12: 87]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur




SAIFULISLAM.COM mencadangkan pembaca mengambil manfaat daripada buku “SETENGAH BERISI, SETENGAH KOSONG” karangan Parlindungan Marpaung, Diterbitkan oleh PTS Millenia, maklumat lanjut boleh diperolehi di SINI.



__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih

0 comments: