“Soalan macam kacang putih aje Abi!”, kata Yop kepada saya.
“Kalau macam kacang hijau, baru le susah”, sambungnya lagi.
Saya menggaru kepala.
Kadang-kadang Saiful Islam ini bercakap perkara yang dia sendiri tidak faham.
Katanya peperiksaan senang, tetapi semasa di rumah, berpeluh-peluh saya dan isteri membantu beliau mengulangkaji pelajaran. Biar pun soal ‘markah berapa’, ‘periksa nanti dapat nombor berapa’, adalah di antara perkara yang sering menghantui ibu bapa sebelum mereka berdua menjadi ‘hantu’ di hadapan anak-anak, saya cuba untuk tidak terlalu diorientasikan sedemikian rupa.
Kerisauan saya lebih tertumpu kepada sejauh mana Saiful Islam dan anak-anak yang lain memahami apa yang dipelajari mereka. Maka proses mengulangkaji pelajaran lebih kepada proses menyemak apa yang difahami oleh si anak tentang pelajarannya.
Walau bagaimana sekali pun hasil keputusan peperiksaan Muhammad Saiful Islam, saya ingin segera mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih, serta penghormatan kepada guru-guru yang mendidik anak saya, serta anak-anak lain di Pasti al-Raudhah, Taman Midah. Allah jua yang membalas segala kesabaran dan kesungguhan para ustazah sekalian dengan sebaik-baik ganjaran.
Biar pun agak lewat mendapat makluman tentang tarikh Ihtifal PASTI Wilayah Persekutuan pada 9 November akan datang, saya sekeluarga berusaha juga untuk hadir sebagai hari istimewa anak kami, serta tanda sokongan kepada PASTI Malaysia agar terus maju.
Pendidikan anak-anak adalah segala-galanya buat kita.
If children live with criticism,they learn to condemn.
If children live with hostility,they learn to fight.
If children live with ridicule,they learn to be shy.
If children live with shame,they learn to feel guilty.
If children live with encouragement,they learn confidence.
If children live with tolerance,they learn to be patient.
If children live with praise,they learn to appreciate.
If children live with acceptance,they learn to love.
If children live with approval,they learn to like themselves.
If children live with honesty,they learn truthfulness.
If children live with security,they learn to have faith in themselves and others.
If children live with friendliness,they learn the world is a nice place in which to live.
Copyright © 1972/1975 by Dorothy Law Nolte
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih
Tuesday, October 28, 2008
THANK TEACHER'S
Posted by Allahyarham achit at 9:03 PM 0 comments
OPTIMIS VS PESIMIS
CARA MEMANDANG
Seorang yang pesimistik dalam pemikiran, berkecenderungan untuk melihat sisi gelap terhadap segala sesuatu. Sentiasa bermonolog negatif, dan melahirkan dialog yang negatif. Ia terbit dari kalimah Latin (pessimus) bermaksud worse. Pesimis adalah kesimpulan hasil fikir dan persepsi pada cara melihat, yang menafsirkan segalanya dari sudut yang buruk.
Tidak percaya pada peluang diri untuk berubah.
Tidak percaya pada peluang masyarakat untuk meningkat.
Tidak percaya hasil krisis kepercayaan diri.
IDEALISMA DAKWAH
Di alam dakwah, golongan yang taasub mutlak tidak mendatangkan banyak faedah jangka panjang. Mereka mungkin tenaga penting untuk melaksanakan suatu agenda, tetapi mereka berbangga dengan keletihan dan pengorbanan, tanpa muhasabah ke atas kualiti dan hasil. Mereka cepat menganggap bahawa mereka telah memberikan yang terbaik, biar pun kerugian dan kemalangan yang sama datang berulang kali.
“Kamu cakap sahaja. Siapa yang turun susun meja gantung sepanduk?”, katanya.
Ada segolongan lagi yang tepu dengan idea, begitu kritis sentiasa menganalisa persekitaran. Mereka kaya dengan kritikan.
Keupayaan minda untuk kritis dalam memberikan tindak balas, adalah suatu kurniaan yang besar. Ia amat berguna untuk menyuluh sudut yang tersembunyi bagi penambah baikan. Asas penting untuk kelangsungan tumbesaran gerakan dakwah menyusur zaman.
Tetapi kritikan yang datang dari minda optimis, berbeza dengan kritikan bernada pesimis.
MEMBINA VS MERUNTUH
Kritikan optimis adalah kritikan yang disertakan dengan penyelesaian dan harapan. Bahasanya adalah bahasa berkeyakinan bahawa ada jalan dan ada peluang untuk penambah baikan itu berlaku. Malah optimis yang sempurna ialah pada menjadikan diri sebahagian daripada agenda itu. Bahasa kita menyebutnya sebagai kritikan membina.
Akan tetapi, kritikan pesimis adalah kritikan yang sangat sinikal, berbau sindiran dan tidak menampakkan kecenderungan pengkritik itu kepada penyelesaian. Padanya masalah-masalah yang dikenal pasti itu terlalu mendominasi keadaan hingga beliau tidak percaya ia mampu diselesaikan.
Ia mungkin kesan pembacaan, kesan pendedahan, kesan penglibatan… justeru ilmu dan pengalaman yang ‘panas’ itu, menimbulkan penyakit ghurur yang membinasa. Awalnya terlihat benda baru, kemudiannya memandang usang benda lama.
Buku-buku yang kurang dibaca massa, berguna dalam mencari kesegaran formula, tetapi bertukar menjadi beban, apabila pesimis dalam pemikiran.
Biar pun kritikannya betul, dengan segerabak hujah yang ilmiah lagi bersarjana, kritikan itu tidak disertakan dengan penyelesaian dan harapan. Ia bukan kritikan yang membina, tetapi ubat yang menjadi racun. Pesimisme adalah kosmetik untuk mengindahkan pemikiran tinggi yang sebenarnya hina kerana menganut putus asa!
“Barangsiapa yang menyebut bahawa manusia semuanya sudah rosak, maka dia itulah yang paling rosak di kalangan mereka” [Hadith Riwayat Muslim]
PUTUS ASA
Manusia pesimis inilah manusia yang paling rosak kerana kritikannya terputus dari rahmat Allah. Beliau membesarkan sisi gelap dan buruk, hingga lupa kepada kekuasaan Allah SWT yang Maha Luas itu.
“Ahh… inilah golongan Islamis, cakap sahaja. Mereka pun tidak tahu apa yang mereka cakapkan”
“Kekalahan pun gagal diuruskan. Kemenangan pun tidak bijak ditadbir. Tiada kelayakan!”
“Umat sudah rosak. Tak perlulah nak kursus ke atau ceramah ke, balik-balik jadi macam itu juga!”
Ayat-ayat pesimis adalah ayat putus asa. Dan putus asa adalah seburuk-buruk akhlaq kita di hadapan Dia.
“Janganlah kamu berputus asa. Sesungguhnya berputus asa itu bukanlah akhlaq kaum Muslimin. Realiti hari ini hakikatnya adalah impian semalam. Dan impian hari ini (itulah bakal menjadi) realiti esok. Sesungguhnya masa itu masih luas dan anasir-anasir yang sejahtera itu masih kukuh terpahat di jiwa bangsamu yang beriman, biar pun dengan kerosakan yang menggila itu. Si lemah tidak akan kekal lemah sepanjang hayatnya, dan yang kuat itu tidak akan kuat selama-lamanya” - Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna.
GELAS SEPARUH
Justeru ketika kamu melihat gelas sedemikian ini, apakah yang kamu lihat?
Sebuah gelas yang separuh isi, atau separuh kosong?
Wahai anak muda yang berjiwa besar, besarkanlah jua keyakinan dan harapanmu untuk mencita-citakan sebuah perubahan?
Jangan kritik tanpa harapan, ia hanya sebuah keputus asaan…
“
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir!” [Al-Baqarah 2: 214]
Harapan mesti terus hidup kerana ia bersandarkan kepada rahmat Allah yang Maha Hidup. Maha Mengasihi dan Maha Mengetahui akan perihal hamba-Nya.
Wahai anak-anakku! pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf serta adiknya, dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir” [Yusuf 12: 87]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
SAIFULISLAM.COM mencadangkan pembaca mengambil manfaat daripada buku “SETENGAH BERISI, SETENGAH KOSONG” karangan Parlindungan Marpaung, Diterbitkan oleh PTS Millenia, maklumat lanjut boleh diperolehi di SINI.
__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih
Posted by Allahyarham achit at 9:00 PM 0 comments
sang kancil
“Kancil tu berjalan-jalan di dalam hutan. Tiba-tiba dia terjatuh ke dalam lubang. Aaaaa……. kancil jatuh jauh ke dalam”, saya bercerita.
“Macam dah dengar je cerita ni“, kata Saif.
“Aik, nak dengar tak cerita ni?”, saya ‘mengugut’.
“Nak, nak nak…” jawab Saif dan Naurah.
Imad juga macam faham-faham sahaja. Beriya-iya membetulkan baringnya sebantal dengan saya.
Pillow talk kami” sesekali seronok dibuat. Tutup semua lampu, sembang dalam gelap, sementara menanti lelap.
“Kepala kancil terus berfikir… macam mana saya nak keluar dari lubang ni”, saya menyambung.
“Lepas tu?” Saif menyambung lagi.
“Tiba-tiba kancil terdengar bunyi tapak kaki sesuatu yang besar. Hah, ini mesti sang Gajah. Naurah macam mana bunyi gajah?”, saya mencucuk perut Naurah.
“Eeeekkk!”, Naurah menggayakan bunyi gajah.
“Macam sakit perut aje gajah ni. Tak sembuh-sembuh lagi gajah ni”, saya ketawa.
“Lepas tu Abi?”, Saif tidak berpuas hati sebab cerita saya merewang ke sana sini.
“Lepas tu kancil menjerit memanggil gajah. Wahai gajah! Langit nak runtuh. Tengok di atas sana tu. Hitam… awan jahat!”, saya bercerita lagi.
“Gajah tu dengar tak?”, Saif bertanya.
“Dengar. Dia bertanya kepada kancil macam mana dia nak selamatkan diri?”, saya menjawab.
“Kancil cakap apa?”, tanya Saif.
“Kancil kata, wahai gajah… kalau kamu nak selamat, masuklah ke dalam lubang ini. Macam saya…!”, kata saya.
“Gajah tu lompat ke?”, anak saya sudah tidak sabar dengan cerita yang perlahan ini.
“Tentulah… eeeeeeekkk DOMMMM! Berdentum dia masuk ke dalam lubang. Dan apa lagi, kancil pun terus naik ke atas badan gajah dan melompat keluar dari lubang itu”, saya menyudahkan cerita.
Saif ternganga.
PENGAJARAN
“Pandai tak sang kancil?”, saya bertanya.
“Kancil penipu. Tipu jahat”, kata Saif.
“Tak cerdik ke macam tu?”, saya menduga lagi. Setahun selepas kisah yang sama diceritakan dulu.
“Cerdik, tapi tak baik!”, balas Saif.
“Gajah tak baik?”, saya menyoal lagi.
“Baik, tapi tak cerdik”, kata anak saya.
“Haa, itulah Mukmin Profesional!”, saya menyampuk.
“Haaa???”, terlopong anak saya.
“Baik tapi tak cerdik, jadi mangsa penipuan macam gajah. Cerdik tapi tak baik, jadi penipu macam Sang Kancil. Allah benci penipu dan orang yang mudah ditipu. Mukmin Profesional ialah… orang yang BAIK dan CERDIK”, saya membuat kesimpulan.
“Hmm, Abi… Yop mengantuk laaa”, kata Saif. Naurah dan Imad sudah pun terlelap.
“Ok, jom tidur semua. Bismikallahumma Ahya wa Amoot!”, kami berdoa.
Tidurlah anak-anakku, esok bangun ke dunia yang penuh tipu daya ini sebagai anak yang cerdik dan baik-baik… ameen.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih
Posted by Allahyarham achit at 8:57 PM 0 comments