? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Friday, April 10, 2009

Cinta Tanpa Syarat

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Al-Israa’ 17: 24)

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil”.

Itulah doa saya sebentar tadi, semasa bersolat zohor.

Entah kenapa, tiba-tiba hati saya terlalu tersentuh dengan doa tersebut. Sedangkan sudah berkali-kali saya membaca doa yang sama. Adakah kerana rindu saya terhadap ayahanda yang sudah masuk 14 tahun meninggalkan kami. Ya, saya rindukannya, terutamanya ketika hidup saya diasak dengan pelbagai cabaran, dan saya rindukan tangan ayahanda yang sering menepuk bahu agar masalah saya mengecil dan pergi oleh senyumannya.


Apakah saya terharu kerana saya rindukan bonda di kampung. Kampung yang sunyi, bersama teman-teman berbualnya yang pulang ke pangkuan Ilahi, seorang demi seorang. Bonda memang kesepian, hanya panggilan telefon dari anak-anaknya sahajalah pengubat sunyi itu. Mujurlah bonda kuat membaca. Majalah I saya hantarkan setiap bulan, kulit ke kulit habis dibacanya. Tazkirah Untuk Orang Mengaji oleh Ustaz Sonharji, saya belikan dan cepat sekali bonda menghadamnya. Kata bonda, “jika sunyi dan tak buat apa-apa, kenalah baca buku. Kalau dibiarkan otak beku, nanti datang jemu dan nyanyuk, jadi pelupa dan kemudian susahlah anak-anak nak melayan orang tua yang begitu.”

Saya memang rindukan emak. Emak juga rindukan suaminya. Jika diselak langsir dapur, sayup-sayup kelihatan sepasang nisan pusara abah di tepi masjid sebelah rumah. Emak sering termenung di tingkap itu, merenung kisah silam mereka, dan kenangan manis membesarkan kami berlima. Arwah opah pernah berkata, “aku hairan tengok kamu berlima ni. Dari kecil sampai besar, tak pernah bergaduh. Walhal hero-hero belaka!” Saya juga terkenang, memang kami berlima hero-hero belaka. Semua adik beradik saya lelaki tetapi kami memang tidak pernah bergaduh.

Mungkin semua itu kerana watak abah. Dia menjadi tumpuan kami dan kami sentiasa bergelak ketawa hingga ke meja makan. Kami tiada masa untuk bergaduh kerana semua ketawa dan sedih kami adalah bersama abah. Namun selepas abah pergi mengejut oleh serangan jantung, keluarga kami sunyi hilang ketawa. Sepi..

Kucing-kucing belaan kami yang suka menjilat peluh abah semasa dia sakit terlantar, turut mati seekor demi seekor. Begitulah kami di rumah, tertumpu pada abah. Kini emak saya pula melayan sepi dan sunyi itu sendirian. Saya sangka, saya sukar menemankan emak kerana saya terhumban di hujung benua. Selepas lebih sedekad saya di luar negara, saya segera pulang ke kampung halaman. Namun selepas bekerja di KL, rupa-rupanya keadaan tidak banyak berubah. Saya masih sukar untuk balik ke kampung, akibat Kuala Lumpur dan kehidupan saya yang amat menekan masa.

Saya jatuh rindu dan saya mohon ampun dari Allah atas dosa saya membiarkan emak kesunyian di kampung.

Tetapi tengah hari tadi, saya tidak hiba kerana itu. Ada sesuatu yang lebih halus darinya. Mungkin sebentar tadi, buat kali pertamanya saya dapat merasakan apakah sebenarnya yang saya minta dari Allah, Tuhan yang telah memberikan seorang ibu dan bapa yang pengasih kepada saya.

Mengapakah apabila saya merintih keampunan dari Allah, saya kaitkan ia dengan kasih sayang bonda dan ayah semasa saya kecil?

Hari ini saya berusaha memikirkan jawapannya.

“Rizal minta maaf emak sebab susah sangat nak balik ke Ipoh. Kerja tak habis-habis. Lagi pun ada masanya Rizal cuti, tapi Muna pula yang kerja. Saif selalu menyebut tentang opahnya. Naurah pun dah makin besar. Imad pun dah pandai meniarap”, keluhan saya kepada emak beberapa ketika yang lalu.

“”Tak apa, mak pun minta maaf sebab jarang dapat ke Kuala Lumpur. Kaki mak ni asyik sakit, kepala pun berat. Tak seronok nak berjalan-jalan kalau begini. Datang rumah kamu pun nanti menyusahkan sahaja. Asalkan kamu ingat emak dalam doa, Alhamdulillah”, itulah suara dari hati emak.

Semasa berdoa tadi baru saya sedar, emak amat pemaaf. Dia memaafkan saya dan adik beradik yang lain tanpa menyoal apa-apa. Paling menyerlah, pemaaf emak semasa saya kecil…

Saya pernah teringin untuk minum air sirap ros, tetapi patinya sudah habis. Semasa emak sibuk menanda buku latihan anak-anak muridnya, saya ke dapur dan cuba memasak gula di dalam periuk. Secawan gula dicampur dengan pewarna merah, dimasak di atas api. Saya baru darjah tiga dan tidak terfikir untuk menambah air. Akhirnya gula hangus dan beku, periuk berkerak dan hampir mustahil untuk dibersihkan. Kerana takut, saya simpan periuk itu di dalam kabinet dapur. Seminggu masa berlalu, apabila emak terjumpa periuk itu, dia tahu itu angkara saya. Dia tidak marah tetapi mencebikkan muka kesedihan.

“Emak tak marah?”, saya cuba memberanikan diri bertanya.

“Emak tak marah kamu cuba masak gula ni. Tapi emak sedih sebab kamu sorok periuk ni dalam kabinet”, itulah katanya.

Saya menangis kerana terasa bersalah cuba menipu emak dan dia dengan segera memujuk.

Saya pernah cuba membasuh kain sendiri, tetapi kerana lupa memasukkan getah ke bilik air, habis seluruh dapur banjir ditenggelami air sabun. Emak tidak marah.

Saya juga pernah berayun di buaian sambil berdiri walaupun ditegah. Apabila buaian terlalu laju, saya tercampak dan muka tersembam ke pasu bunga. Sampai ke hari ini saya masih dapat merasa tuam pasir panas di pipi yang sudah kebiru-biruan. Emak tidak marah.

Abah juga tiada bezanya. Dia tidak pernah memaksa saya membaca buku tetapi jika gagal mendapat tempat pertama, dia menepuk bahu saya sambil berkata, “nanti mainlah lagi ya. Jangan baca buku.”

Dia tidak marah tetapi saya sendiri yang rasa terseksa dan bersalah.

Saya pernah bergaduh dengan Pengetua di sekolah. “Maaf ustaz, kalau begitulah cakap ustaz, saya pun ‘tak hingin’ nak sekolah di sini!”, jiwa anak muda di Tingkatan 4 memberontak. Saya pulang ke asrama, mengemas beg baju dan langsung meninggalkan Negeri Sembilan untuk pulang ke kampung tanpa berfikir panjang.

Saya tiba di Ipoh selewat jam 11 malam. Abah amat terkejut dengan tindakan saya berhenti sekolah, tetapi dia tidak marah. Dia berikan saya wang RM50 sambil berkata, “ambil duit ni dan uruskan sendiri kamu nak bersekolah mana selepas ini”. Itu cara abah. Dia jarang sekali marah.

Emak dan abah amat mudah memaafkan saya. Tidak kira apa sahaja kerenah kami, mereka memaafkan kami seadanya. Mereka menerima kami sebagai anak-anak yang banyak kelemahan dan atas penerimaan itu, mereka mengasihi kami TANPA SYARAT.

Emak dan abah menerima saya atas segala yang ada pada diri ini. Saya taat atau degil, saya rajin dan saya culas, saya senyum atau saya menjerit, mereka menerima saya seadanya. Mereka terus menyayangi dan mengasihi saya tanpa syarat. Mereka tidak pernah memberitahu saya bahawa semua kebaikan yang mereka buat selama ini, mesti dibalas apabila kami telah dewasa. Kami balas atau tidak, kami ingat atau lupa, tugas mereka hanyalah membesarkan kami dengan penuh kasih sayang, TANPA SYARAT.

Allah memberikan percikan sifat Rahman dan Rahim untuk makhluk-Nya mengasihi tanpa syarat, hanyalah pada naluri dan hati seorang ibu dan bapa kepada anaknya. Suami mengasihi isteri, sering mengharap balas. Isteri mengasihi suami, kerap juga ada sesuatu yang terselindung di sebaliknya. Apatah lagi jika hanya antara dua sahabat. Sukar untuk dipastikan tulus persahabatan mereka. Bolehkah seorang sahabat memaafkan sahabatnya tanpa syarat? Mungkin ada, tapi sering tiada.

Apa yang pasti, hanya ibu bapa sahaja yang mampu mengasihi anak-anaknya tanpa syarat. Sebab itulah anak-anak tidak mampu membalas kasih itu. Jika seorang anak jatuh sakit, ibu bapa sanggup berjaga malam dan berdoa agar si anak sembuh dan dipanjangkan umur. Namun apabila tiba giliran anak menjaga ibu bapanya, mereka mungkin terus menjaga, tetapi hati mudah berkata, “bilalah orang tua ini nak mati!”. Ya Allah, lindungilah aku dari menjadi anak seperti itu.

Hati saya amat sedih melihat kaum Cina di KL berebut-rebut menghantar ibu dan bapa mereka ke wad kecemasan Hospital UKM sehari sebelum Tahun Baru Cina. Pesakit berumur 60 tahun (kalau tak silap saya) ke atas, rawatan di HUKM adalah percuma. Maka inilah cara mudah mereka untuk get rid ibu bapa mereka di musim perayaan. Kalau hantar ke rumah orang tua-tua, mahal pulak bayarannya. Allah Allah….

Saya masih ingat dialog ayah tengah hari itu. Dia baru sahaja pulang dari menunaikan Haji.

“Abah kat Mekah doa apa, abah?”, saya bertanya.

“Abah doa supaya Allah jangan panjangkan umur abah sampai nyanyuk. Takut anak-anak tak tahan. Takut kamu jadi anak durhaka!”, kata ayah saya sambil mata redupnya merenung saya yang terkelu lidah. “Abah, jangan cakap macam tu…”, saya sebak dan hanya mampu membiarkan air mata kering di pipi. Ayah pergi meninggalkan kami pada malam hari lahir saya yang ke-17, hanya setahun lebih selepas perbualan kami itu.

Anak-anak, jiwanya tidak sebesar ayah dan bonda. Kasihnya kadang-kadang tidak sampai ke makam ayah dan bonda. Namun seorang ibu dan ayah, mampu menahan pedih dan perit membesarkan anak-anaknya. Bukan setahun dua malah majoriti nyawa dan usia. Mereka mampu membelai, mereka mudah memaafkan kita, kerana mereka kasih dan cinta, dengan CINTA TANPA SYARAT.

Ya Allah, aku lemah, aku banyak dosa. Aku suka mengeluh, aku kerap lalai dan alpa. Ampunkanlah aku ya Allah. Ampunkan diriku dengan pengampunan oleh sifat-Mu yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ampun dan kasihanilah aku, mudah-mudahan tanpa banyak hisab, tanpa banyak syarat, sebagaimana ibu bapaku memaafkan aku tanpa syarat, mengasihiku tanpa mengharapkan balasan.

Ampunkan jua mereka, dan limpahkan Rahmah-Mu kepada mereka. Mereka yang mengasihiku tanpa syarat, Kau maafkan mereka dan limpahkan Kasih-sayangMu kepada mereka, tanpa hisab dan syarat…

NAMUN…

Mungkinkah semua itu, Allah kurniakan kepada saya? Siapakah saya untuk meminta pengampunan yang terus tanpa syarat? Malah jika setiap detik hidup dalam sehari itu dihitung, terasa betapa dosa sahaja yang banyak berbekas. Sedangkan tanpa saya sedar saya banyak meletakkan syarat terhadap Allah. Aku ingat kepada-Mu, dengan syarat aku sudah hilang penyelesaian. Aku sanggup lakukan apa yang Engkau suruh, tetapi selepas aku melihat apa kebaikan yang aku dapat!

Hinanya diriku. Lupa sudah pada hakikat diri sebagai hamba. Hamba yang tidak layak meminta, apatah lagi untuk meletakkan syarat kepada Tuhannya. Astaghfirullah.

Menghitung hari, padanya terpalit pelbagai dosa. Paling kurang, setiap hari saya dibelenggu rasa terkilan dan berdosa kerana bonda kesunyian di kampung. Setelah pulang ke Malaysia, saya masih belum dapat menjaganya di depan mata.

Bayangkan, jika Allah mengampunkan kita dengan syarat, binasalah diri ini. Mampukah saya lepas segala syarat itu? Jika Allah syaratkan setiap solatku mesti khusyuk, apakah ada satu solatku yang sampai kepada apa yang Allah syaratkan itu?

Sesungguhnya tidak mungkin kita selamat dengan hanya melihat pada amalan. Melainkan Rahmat Allah itu jualah jawapannya. Dengan kasih sayang-Nya.

Tetapi Rahmat Allah bukan perkara kecil. Ia diminta dengan tawasul kita kepada sifat al-Wahhab Allah SWT. Saya baru mendengar kuliah 99 nama Allah tentang al-Wahhab dari Ustaz Kariman dan ia menambah hiba di hati saya.

Allah sebagai Tuhan yang bersifat al-Wahhab bermaksud Yang Maha Memberi. Namun memberi dengan sifat al-Wahhab itu, terkandung di dalamnya lima sifat:

Memberi tanpa meminta apa-apa balasan. Allah, Tuhan yang al-Wahhab itu Maha Kaya, tidak perlu kepada Makhluk. Kerana itulah Allah SWT Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab tanpa mengurangkan langsung perbendaharaan-Nya. Percikan sifat al-Wahhab itu Allah limpahkan kepada jiwa ibu bapa kita agar mereka kaya dengan kasih dan sayang. Sayang kepada seorang anak tidak berbeza dengan sayangnya kepada 9 anak yang menyusul kemudian. Anak durhaka, menconteng arang ke muka, mereka masih terus memberi kasih sayang, kerana mereka beroleh kasih sayang Rahmat Allah yang al-Wahhab.
Memberi secara berulang-ulang. Al-Wahhab terus memberi berulang kali, tidak jemu Memberi dan tidak Marah diminta. Percikan sifat inilah yang Allah limpahkan ke jiwa ibu bapa kita. Mintalah susu pada setiap malam di usia kecilmu. Ibu akan bangun meraba dinding mencari cahaya, demi anak yang diberikan hati dan cinta. Dia tidak jemu, bahkan sejurus selepas kita dewasa, diberikannya pula cinta itu kepada adik kecil yang baru menjenguk datang ke hidup duniawi.
Memberi tanpa diminta. Allah SWT Tuhan yang al-Wahhab, memberi tanpa diminta. Hitunglah pada pelbagai yang ada di sekeliling kita. Dia berikan kita wajah yang cantik tanpa kita minta. Dia berikan kita sahabat yang baik, tanpa kita minta dan jangka. Allah itu Maha Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab. Sifat inilah yang Allah tanamkan kepada naluri ibu dan bapa. Pelbagai keperluan dan hiasan hidup diberikan tanpa diminta. Ibu mencium dahi, ayah menyapu kepala, semuanya demi sayang mereka kepada kita, sayang yang diberi tanpa diminta.
Memberi sesuatu yang amat berharga. Allah Dia yang al-Wahhab memberi dengan sifat itu perkara-perkara besar yang amat berharga. Dia kurniakan kita dengan sifat al-Wahhab itu, bukanlah hiasan-hiasan dunia yang tidak berharga. Al-Wahhab, dari-Nya datang RAHMAT yang menyelamatkan kita, mengampunkan kita, memelihara kita tanpa menghitung-hitung satu taat dibalas nikmat, satu maksiat dibalas binasa dan kiamat. Peluang demi peluang diberikan. Sehinggalah sampai masa pintu taubat itu Dia tutup atau kita menutupnya sendiri. Semuanya diberikan kerana kita hidup untuk TUJUAN yang besar. Cebis-cebis sifat inilah Allah limpahkan kepada jiwa ibu dan bapa kita. Diberikannya kasih sayang yang tidak mampu diberi walau oleh dua pasangan yang paling bercinta. Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah selama-lama. Semuanya diberi agar kita membesar penuh sempurna, menjadi insan yang berjaya dan mulia.
Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan. Allah jua dengan sifat al-Wahhab memberikan pelbagai kebaikan kepada kita, agar dengan kebaikan itu kita sambut dengan syukur dan taat, berupa khidmat kepada sesama insan. Diberikan-Nya kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita berdakwah. Diberikan-Nya kita pelbagai yang baik, agar dengannya kita berbuat baik.
Kita mohon agar Allah limpahkan Rahmat-Nya kepada kedua ibu bapa kita. Allah memberikan rahmat itu dengan sifat al-Wahhab-Nya. Dengan itu jualah diberikan-Nya ibu dan bapa kita kasih sayang tanpa syarat untuk anak-anak mereka. Dengan itu jualah mudah-mudahan Allah mengasihani kita tanpa syarat, mengampunkan kita tanpa syarat. Kerana syarat Allah terlalu perkasa untuk disahut oleh hamba yang lemah dan kerdil seperti kita.

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil”.

Peluk cium anakanda buat bonda yang mengasihiku atas hatinya yang begitu… Ameen.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
12 Mei 2007



ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Saifulislam.Com mengalu-alukan sumbangan anda untuk menampung perjalanan server. Klik di sini untuk menyumbang. Terima kasih... [Abu Saif]






--------------------------------------------------------------------------------


© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Kamu Sentiasa Layak Diuji

“Mak kambing, maafkan saya. Saya nak ambil anak makcik untuk buat rendang ya!” pinta seorang pengusaha ternakan kambing kepada seekor kambing betina tua, yang terpinga-pinga.

Perlukah beliau meminta izin si emak untuk menyembelih si anak?

Tidak perlu.



Hakikatnya, emak kambing, ayah kambing, anak kambing dan seluruh ahli keluarganya adalah milik pengusaha ternakan kambing tersebut. Mahu diambil si emak, mahu diambil si anak, kuasa mutlak ada padanya.

Namun kerana ihsan yang ada pada diri, penternak kambing sentiasa mengambil si kambing dewasa untuk jualan dan sembelihan. Sesekali sahaja keadaan sebaliknya berlaku. Tiada pertikaian, kerana seluruh kandang itu milik dirinya. Manusia yang memberi makan, minum, penjagaan, rawatan, perlindungan dan segala yang diperlukan oleh si kambing untuk hidup sejahtera.

RUBUBIYYAH ALLAH

Ada apa di sebalik kisah kambing?

Ia cara mudah untuk memahami kesan mengimani Rububiyyah Allah.



“Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?” [Yunus 10: 31]

Mengimani bahawa Allah sebagai RABB, bahawa Dia itu Pencipta alam, Pentadbir alam, Pengatur alam dan Pemilik alam… adalah sari pati pengertian iman kita kepada Rububiyyah Allah.

Rububiyyah bukan iman muqaddimah yang remeh. Ia adalah iman asas, tempat di mana terbina dan berpijaknya kehambaan kita kepada Allah SWT. Sepatutnya, kesan mengimani Rububiyyah Allah inilah yang membawa kita kepada perbuatan menghambakan diri kepada-Nya, menunaikan tuntutan-tuntutan Uluhiyyah Allah, sebagai Ilah dan Keutamaan Tertinggi dalam hidup ini.

Namun, Iman warisan yang tiada nilai pilihan, mungkin tercicir akan hakikat ini. Dalam keadaan manusia beribadah kepada Allah, jiwanya gagal berhubung dengan Rububiyyah Allah.

Justeru dalam ‘kesempurnaan’ ibadah dan ritualnya, dia terlupa akan hakikat diri sebagai HAMBA.

HAMBA YANG LUPA



Hamba yang lupa dirinya sebagai hamba, tidak bersedia untuk menerima ujian. Dalam taatnya, dengan segera dia melatah mempersoalkan kewajaran dirinya diuji.

“Apa salah anak saya. Mengapa dia yang mati, bukan saya!” kata-kata manusia yang terlupa.

Terlupa bahawa dirinya, anaknya dan seluruh ahli keluarganya, adalah milik mutlaq Allah, Pemilik mutlaq alam ini. Terikatkah Allah kepada peraturan kita bahawa anak yang sepatutnya menghantar ibu bapa ke kubur dan bukan sebaliknya?

AYAT-AYAT CINTA

“Oh, novel itu sangat bagus. Ia panduan bercinta menurut Islam,” komen gadis-gadis Islamik yang jatuh hati dengan novel Habiburrahman El Shirazy.

“Ceritanya indah sekali. Ana kepingin menjadi Fahri,” ulas seorang akh yang larut dalam kisah syahdu di bumi Kinanah itu.

Mana mungkin Habiburrahman El Shirazy menulis sebuah novel, hanya untuk membentangkan soal cinta!



Saya bukan seorang pembaca novel. Namun dek kerana gahnya karya Ayat-ayat Cinta ini, saya gagahkan jua membacanya. Sungguh luar biasa. Filemnya juga ditonton. Bukan sekali tetapi dua.

Tetapi saya tidak melihat novel itu kemuncaknya adalah cinta. Saya tidak jadi ‘mabuk cinta’ membaca bait Ayat-ayat Cinta. Sebaliknya jiwa saya remuk meneman Fahri ketika di dalam penjara, kerana di situlah mesej teragung yang sepatutnya diangkat sebagai muhasabah terbesar ke atas jiwa.

Sama ada rakan sepenjara Fahri itu adalah Profesor Abdur Rauf yang dinukil novel, atau lelaki gila tanpa nama di dalam filem, ungkapannya bagai panahan lintar menampar pipi Fahri, juga saya yang membacanya:



“Allah sedang berbicara kepadamu tentang SABAR dan IKHLAS… SABAR dan IKHLAS itulah Islam”

Ya… kesalahan Fahri adalah pada sangkaan dirinya, bahawa setelah hidup dalam ilmu dan ketaatan, beliau tidak wajar diuji. Beliau itu bersih, suci, bagai yang dimahukan oleh Allah. Apatah lagi ujian itu adalah pada sesuatu yang bertentangan dengan nilai hidupnya. Mana mungkin seorang yang begitu bersih dari menggauli manusia berlawanan jantina, tertuduh dengan sebusuk-busuk fitnah, merogol Nora?

“Apa salah saya kepada Allah???” soalan seorang manusia bernama Fahri, yang tertipu dengan dirinya sendiri.

“Istighfar! Allah sedang memberitahu kamu supaya jangan sombong! Ingat siapa diri kamu!” bicara waras seorang manusia gila.

Itulah beban Ayat-ayat Cinta, bahawa segala tentang Fahri adalah untuk mempotretkan seorang manusia yang sempurna pada ilmu, pada amal, pada ibadahnya kepada Dia. Tetapi ikhlas dan musuh ikhlas itu sulit. Sulit dan tersembunyi bagai semut hitam merayap di atas batu hitam pada malam yang hitam pekat.

MUSIBAH ITU ADA TUJUANNYA

Agar keikhlasan itu dapat dirasa, datanglah segala musibah untuk berbicara, dalam bentuk yang di luar bayangan dan jangkaan kita. Kerana kita manusia yang lupa, bahawa kita semua adalah hamba. Status yang menjadikan kita sentiasa layak untuk diuji, dan diperlakukan apa sahaja oleh Pemilik kita (dengan selautan hikmah). Masakan kita boleh terlupa bahawa sujudnya kita adalah kerana kita hamba, milik Dia?

Lulus ujian itu, meningkatlah darjat kita. Daripada seorang hamba yang kurang baik, kepada hamba yang lebih baik. Namun masih tetap seorang HAMBA.

Buruk sangka, tidak mencari ‘bicara Tuhan’ di sebalik musibah dan berantakan menyelaputi jiwa, binasalah kita sebinasa-binasanya.



Seorang lelaki yang baik, menjaga iman dan beramal soleh, difitnah berzina?

Seorang isteri yang baik, taat, melakukan segala kebaikan untuk kesempurnaan rumahtangga, dihadapkan dengan khianat suami bermain kayu tiga?

Seorang suami yang bertanggungjawab, melakukan kebaikan kepada rumahtangga tak berbelah jiwa, diuji dengan isteri dan anak-anak yang kufur nikmat bernafsu rakus meminta dunia?

Seorang anak yang datang dari sebuah keluarga bahagia, berdepan dengan keluarga mertua yang mengundang sengsara?

Seorang ibu dan seorang bapa, yang sangat menjaga hal ehwal pendidikan dan akhlaq anak-anak mereka, diuji dengan salah seorangnya menjadi pelesit menconteng arang ke muka?

Mengapa semua ini berlaku?

Itulah bicara Allah kepada kamu…

Kamu pernah mendakwa yang kamu menjaga pergaulan adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu mentaati suami dan menjaga kebajikannya adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu memelihara isteri dan anak-anak adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu menjadi anak yang baik adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa baahwa kamu menjadi ibu dan bapa yang melaksanakan segala tugasan dengan sempurna adalah KERANA DIA.

LUPA

Tetapi kamu terlupa.

Ketika kamu tidak bergaul bebas, menjaga hubungan, dan berakhlaq baik, kamu terlupa kepada Allah hingga menyangka yang kamu seharusnya menerima yang baik-baik sahaja dalam hidup ini. Bukan cela, bukan hina. Lelaki baik harus lancar memiliki perempuan yang baik.

Ketika kamu mentaati suamimu, menjaga segala keperluannya, kamu terlupa kepada Allah dan meletakkan jangkaan bahawa mencintai sama dengan memiliki, dicintai sama dengan dimiliki.

Tatkala kamu menjaga isteri dan anak-anakmu, kamu lupa kepada Allah hingga kamu sangka itu semua jasa, dan jasa mesti dibalas budi.

Ketika kamu menjadi anak soleh, kamu lupa kepada Dia dan kamu sangka kebaikanmu itu suatu jaminan. Mustahil anak yang baik dikeji manusia ibu dan manusia bapa, biar pun mereka hanya mertua.

Semasa kamu mendidik anak-anak dengan sebaik-baik didikan, kamu lupa kepada Allah lalu mengharap kebaikanmu dikenang dan dibalas mereka, hingga terlupa niat kamu berkaitan Dia.

BAIK DAN MUKHLIS

Garis yang memisahkan di antara seorang manusia yang berlaku baik, dengan seorang manusia yang ikhlas dalam kebaikannya, amat tipis.

Justeru datanglah ujian yang tidak disangka-sangka, untuk menzahirkan keikhlasan itu.



Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “kami beriman”, sedang mereka tidak diuji? [Al-Ankabut 29: 2]

Maka lelaki soleh yang difitnah zina, maka isteri solehah yang dikhianati suami, maka suami soleh yang dikufuri isteri, maka anak soleh yang disakiti ibu bapa, baik kandung atau mertua, maka ibu bapa solehin yang dikecewakan anak oleh perlakuan buruknya, ketahuilah bahawa ALLAH sedang berbicara kepada kamu.

Bicara untuk menyedarkan kamu, bahawa hati harus puas kerana mengikhlaskan kehambaan kepada-Nya. Bahawa sebaik mana sekali pun ibadah kamu, tanpa JIWA HAMBA, segalanya tidak bermakna.

HAMBA sentiasa sedar dirinya dimiliki dan tidak memiliki.

HAMBA sentiasa sedar dirinya sentiasa layak diuji.

HAMBA sentiasa sedar bahawa lahirnya hanya untuk DIA.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan tentang diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka. [Al-Hasyr 59: 19]

Kita sentiasa layak diuji…

Kerana kita adalah HAMBA.

Justeru hancurkanlah RASA MEMILIKI!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur







ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Saifulislam.Com mengalu-alukan sumbangan anda untuk menampung perjalanan server. Klik di sini untuk menyumbang. Terima kasih... [Abu Saif]






--------------------------------------------------------------------------------


© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Dunia Yang Cukup Luas Itu

Dunia yang cukup luas itu
Cukup untuk dirimu berlapang dada
Bahawa yang kaukejar adalah redha Tuhanmu
Bukan pujian manusia dan habuan dunia


Jiwamu mungkin disempitkan oleh cacian di belakang mata
Atau sindiran dalam permainan kata-kata
Oleh manusia yang mustahil engkau lunakkan perasaan hatinya
Terhadap dirimu, sahabatnya dan saudara seagamanya

Perasaanmu mungkin tergugat oleh sembilu sinikal manusia
Menuduh engkau mengajak manusia kepada dirimu yang juga sekadar manusia
Menyalahguna kalimah ‘memberi’ untuk ‘meminta’
Engkau di matanya salah belaka

Cubaanmu mempositifkan mehnah dan tribulasi hidupmu
Dituduhnya sebagai promosi diri membelakangkan agama
Keluargamu yang kaujadikan inspirasi perjuanganmu
Disindirnya sebagai drama sempurna untuk dipuja

Manusia bermusuh dengan sangkaannya
Sangkaan yang membentuk segala tafsirannya
Engkau sendiri yang sering beringat
Manusia mendapat apa yang dilihat

Justeru engkau jangan terhenti
Kesan perkataan manusia yang tidak akan berhenti

Teruskan perjuanganmu jangan berundur diri
Amalmu bersaksikan Allah, Rasul, dan Mukmin yang tulus hati

Penuhkan diari hala tuju kematianmu
Dengan muhasabah dan koreksi diri
Dunia yang cukup luas itu
Luaskan lagi dengan hakikat hidup selepas mati

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang



ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Saifulislam.Com mengalu-alukan sumbangan anda untuk menampung perjalanan server. Klik di sini untuk menyumbang. Terima kasih... [Abu Saif]






--------------------------------------------------------------------------------


© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Jodoh Tidak Datang Bergolek

“Itulah alasan lapuk yang aku sudah malas mahu mendengarnya. Kononnya semasa di kampus inilah kena bercinta sebab zaman kerja nanti, silap-silap melepas,” luah hati Zaharah sambil membetulkan tudungnya.

“Mereka sanggup melayan dosa bercouple begitu… mereka sudah lupakah janji Allah bahawa jodoh dan pertemuan sudah diatur-Nya? Mengapa mesti melayan dosa?” tambah Zeti untuk menyedapkan lagi perbualannya.

Setelah membaca dan menghadam Teori Evolusi Cinta yang saya nukilkan di saifulislam.com tentang keburukan hidup bergelumang cinta bertatah dosa, ramai yang berasa puas. Ada yang berpuas hati kerana bertambah yakin dengan pengorbanan diri menolak cinta atau memutuskan cinta yang pernah membelit jiwa. Ada juga yang berpuas hati kerana beroleh hujah-hujah mantap untuk membidas kawan-kawannya yang selama ini petah menangkis tazkirah.


Penulisan saya berkaitan dengan cinta, tidak pernah saya pisahkan daripada niat yang satu, iaitu untuk menunjukkan jalan yang betul dalam mengatur fitrah agar tidak menjadi fitnah. Teguran kepada anak-anak muda berkaitan dengan kebingungan mereka dalam menggarap persoalan cinta dan cabang-cabangnya, disampaikan dalam nada nasihat yang penuh empati, bukan titah hukuman mati. Hanya sesekali, saya cantas bunga-bunga bahasa, agar mesej yang ingin disampaikan terang benderang, apatah lagi setelah rimas melihat bunga diramas kera.



Tetapi reaksi pembaca yang menyokong tulisan saya, menimbulkan pula masalah yang baru. Mereka membuat kesimpulan-kesimpulan yang jauh dari apa yang saya maksudkan. Biar pun umum memahami bahawa artikel dan komen adalah dua komponen yang berasingan, namun secara separa sedar, ia menyerap dan saling melengkapkan pakej kefahaman, yang jauh dari mesej asal saya.

SALAH FAHAM

“Kenapa mesti bercinta semasa belajar, bukankah jodoh dan pertemuan telah Allah tentukan!” kata seorang pemberi komen. Bukan komen di blog saya, tetapi di halaman lain yang memetik tulisan saya.

Sesungguhnya di sinilah tertonjolnya satu krisis baru.

Menolak cinta yang bergelumang dosa adalah sama sekali tidak bermaksud yang persoalan jodoh boleh dipisahkan dari usaha. Ia bertentangan dengan sunnatullah yang menuntut kita mengambil sebab musabab dalam kehidupan. Bagaimana kalau ayat tersebut digantikan dengan persoalan makan?

“Kenapa mesti mencuri untuk mencari rezeki, bukankah makan dan minum kita telah Allah tentukan?”, ayat ganti dalam skop yang sama.

Mampukah seorang manusia yang waras percaya bahawa perbuatan mencuri untuk mencari makan, adalah kesalahan yang mesti dihentikan dan gantiannya ialah menunggu sahaja beras ajaib menjadi nasi, ikan di laut berenang ke pinggan, dan tangan menyuap tanpa usaha!

Tentu sahaja tidak.

Sudah tentu perbuatan berdua-duaan tanpa ikatan perkahwinan, yang sudah menjadi kelaziman yang menggila di kalangan masyarakat kampus adalah perbuatan yang salah dan harus diperbetulkan. Namun menolak coupling tidak bermaksud yang seorang siswa dan siswi boleh duduk bertimpuh bertahajjud di atas sejadah merayu kepada Allah agar beroleh jodoh tanpa sebarang usaha ke arah mendapatkannya.

Usaha tetap usaha, dan zaman belajar tetap merupakan salah satu peringkat usia yang bagus untuk usaha ini dilaksanakan. Soal berkahwin semasa belajar ia subjek kepada diskusi khusus mengenainya. Namun mencari calon yang sesuai ketika di zaman pengajian, adalah langkah yang baik kerana kita duduk dalam lingkungan yang lebih banyak potensi kafa’ah dan sekufu dalam pencarian itu.

Akan tetapi jika berdua-duaan menggendong pasangan ke hulu hilir dianggap salah, apa lagi ikhtiar yang ada untuk mencari teman berkongsi nyawa?

SUATU KETIKA DAHULU

“Has, umur kita dah mencecah hampir suku abad. Anta tak ada perancangan untuk berkahwin?” tanya Ziad, sepupu saya ketika kami menjamah makan malam.

“Hmm… terfikir juga. Cuma tidak seserius mana. Anta rasa macam mana?” saya menyoalnya kembali.

“Kalau anta berhajat, jomlah kita berjumpa dengan Ustaz Wan,” cadang Ziad.

Ustaz Wan adalah seorang pelajar PhD di UK. Beliau merupakah seorang tokoh masyarakat yang dekat di hati kami kerana sikapnya yang prihatin terhadap kebajikan pelajar yang mengenalinya. Dalam kesibukan beliau mengendalikan pengajiannya di peringkat PhD, beliau tidak lokek meminjamkan masa dari semasa ke semasa untuk berceramah, berseminar dan membuka kelas-kelas pengajian yang amat berharga, terutamanya buat anak perantau yang dahagakan petunjuk agama di bumi UK.

Kami sering merujuk kepada Ustaz Wan.

Bukan hanya dalam soal ilmu dan hukum hakam, tetapi membabitkan soal kehidupan. Beliau adalah tempat rujuk yang paling tepat untuk pelajar bertemu dan meminta nasihat serta pertolongan tentang cinta, jodoh dan perkahwinan.

“Anta tak ada calonkah daripada kalangan ustazah-ustazah Jordan sana?” soal Ustaz Wan petang itu.

“Err… ustazah-ustazah Jordan garang, ustaz. Nanti ana tak dibenarkan makan pizza. Hanya khubuz arabi sahaja!” saya menjawab dengan nada gurauan. Ustaz Wan dan Ziad ketawa.

“Anta ada kriteria tertentu?” tanya Ustaz Wan kepada saya.

“Tak ada ustaz. Asalkan elok di mata ustaz, eloklah di mata ana. Cuma jika ada ruang, ana lebih cenderung untuk mencari calon yang kampungnya dekat-dekat. Tidak perlu bermusafir jauh untuk pulang ke kampung nanti,” saya menjawab.

“Oh, kalau ada calon dari kampung ana, anta tak setujulah ya?” gurau Ustaz Wan sambil mengisyaratkan jarinya kepada Zack yang ketawa di sisi.

“Wait and see laa ustaz!” kami ketawa.

Kami tahu, isteri Ustaz Wan juga banyak berbual dengan kelompok siswi. Mereka juga merujuk kepada isteri Ustaz Wan dalam hal-hal seperti ini dan sebahagiannya meminta bantuan beliau untuk mencarikan jodoh yang sesuai.

Ustaz Wan mencadangkan agar saya mencari jodoh dari kalangan pelajar perubatan di Ireland. Kombinasi Ustaz dan doktor bagus untuk khidmat masyarakat katanya. Cuma ustaz yang berkahwin dengan doktor kenalah bekerja keras untuk menyesuaikan kerjaya dan expectation masing-masing memandangkan kepada nature kerja kedua-dua profesyen itu.

Saya bersetuju.

Ustaz Wan dan isteri memanjangkan hajat saya kepada seorang senior yang berada di Dublin, Dr. Faiz.

Beliau dan isterinya merupakan doktor yang dihormati di kalangan pelajar. Biar pun beliau bukan seorang ustaz, namun perwatakannya yang prihatin kepada kebajikan pelajar serta keperibadiannya yang baik, menjadikan beliau sebagai tempat siswa dan siswi mengadu hal dan meminta nasihat.

Selain nasihat berkaitan akademik, beliau juga banyak berkongsi peringatan tentang hal-hal yang bersangkutan dengan cinta, jodoh dan perkahwinan.



Menaiki Seacat menyeberangi Laut Irish dalam ikhtiar berkaitan jodoh - Disember 1998

“Ahlan wa sahlan ke Dublin, ustaz,” kata Dr. Faiz semasa menyambut saya yang baru tiba dengan keretapi dari Belfast.

“Terima kasih doktor,” saya berpelukan dengannya.

Biar pun kami hanya sesekali bertemu di dalam program, namun keserasian pemikiran dan sifat saling hormat menghormati memberikan keselesaan serta merta kepada kami berdua untuk berbual mesra. Pertemuan pada malam Ramadhan yang penuh keberkatan itu menjadi sesi bertukar-tukar pandangan di antara saya dengan beliau. Setelah dimaklumkan oleh Ustaz Wan lebih sebulan yang lalu, Dr. Faiz dan isteri mencadangkan kepada saya beberapa orang siswi yang mempunyai hasrat yang sama, sebagai calon isteri.

CALON CADANGAN

“Ana ada dua orang calon yang dirasakan sesuai dengan ustaz. Tetapi terpulang kepada ustaz untuk mempertimbangkannya,” ujar Dr. Faiz malam itu.

“Hmm, kalau mengikut catatan doktor, calon yang pertama ini amat banyak persamaan dengan ana. Hingga poskod beliau pun sama. Doktor rasa kenapa agaknya?” saya tersenyum semasa membaca catatan Dr. Faiz tentang ‘calon pertama’ yang dikemukakannya.

“Kenapa ya? Ana tak perasan pula!” kata beliau. Sedikit terkejut.

“Ini sepupu ana, doktor. Haha!” saya ketawa.

“Ohh ye ke? Tak tahu pula ustaz ada sepupu di sini. Patutlah poskod pun sama. Rumah dekat-dekat barangkali,” Dr. Faiz ketawa sambil menepuk dahi.

Saya membelek maklumat tentang calon kedua yang dikemukakan oleh Dr. Faiz.

Namanya Nazhatul Muna.

Hmm… sedap nama itu. Seperti Arab. Tanda ibu bapanya orang beragama barangkali. Alamatnya di Ipoh. Orang dekat juga nampaknya. Adik beradiknya 10 orang. Besar keluarga ini. Mungkin juga bonus, petanda baik kesediaan berkaitan cahaya mata nanti. Serba serbi, maklumat ringkas yang ada cukup berpada.

Saya tidaklah cerewet dalam mencari. Risaunya lebih kepada menjadi. Kalau mahu mencari yang baik, banyakkan usaha menjadi yang baik. Berkahwin untuk memberi… expectation kita adalah soal peranan dan tanggungjawab. Manakala kelebihan dan kebaikan isteri, itu bonus. Sebab itulah mungkin saya tidak mengalami banyak kesusahan untuk membuat keputusan.

“Insya Allah selepas Tarawih nanti ana beri keputusan. Cuma kalau ada gambar orangnya, izinkan ana menengoknya untuk melengkapkan syarat Sunnah,” saya memberitahu. Kebetulannya jam sudah hampir 7:30 malam. Solat Isyak dan Tarawih bakal bermula.



Di masjid ini saya memohon restu dari Allah sebelum keputusan besar dibuat

Selesai solat, saya mengambil masa seketika menunaikan solat Hajat. Memohon kekuatan daripada Allah untuk ‘menyokong keputusan besar’ malam itu. Keputusan yang banyak berpandukan fatwa hati, bahawa ia tenang dengan kebaikan dan resah dengan perkara yang berlawanan. Hati saya tenang sepenuhnya… dalam munajat kepada Allah.

“Ya Allah, pada malam yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, aku ingin membuat keputusan yang besar tentang wanita yang bakal kupilih menemani kehidupan dan perjuangan ini, sepanjang hayatku. Atas ikhtiarku sebagai hamba-Mu yang tidak mampu melihat apa yang Engkau sembunyikan, aku menilai zahirnya, Kau uruskanlah ghaib dan batinnya. Berkatilah pilihanku ini dan kuatkan azam serta tawakkalku kepada-Mu. Aku hamba-Mu, dia hamba-Mu, Engkau Tuhan kami. Jadikanlah segalanya dalam suluhan hidayah dan inayah-Mu, ameen ya Rabb al-’Aalameen”

Kami bertemu semula selepas moreh.

“Kebetulan zaujah ana ada gambar ukhti tersebut. Ini dia,” Dr. Faiz menghulurkan sekeping gambar.

Saya terkasima di antara rasa teruja dan lucu memikirkannya. Sekeping gambar yang memaparkan hampir 30 orang mahasiswi di hadapan bangunan universiti, wajah calon isteri saya hanyalah sebesar kepala mancis. Apa yang pasti, calon itu cukup matanya, lubang hidungnya, mulut dan dua tangan di kiri dan kanan badan. Alhamdulillaaah!!!

“Insya Allah doktor. Hati ana berada dalam keadaan yang tenang. Dialah calon pilihan ana. Andaikata beliau bersetuju. Jika beliau tidak bersetuju, ana berlapang dada,” saya memberitahu.

Malam itu juga, Kak Ila isteri Dr. Faiz menelefon muslimah bernama Nazhatul Muna itu di bandar Galway, beberapa ratus kilometer ke Barat Dublin. Hampir 15 minit mereka berbual.

“Hah, apa cerita?” Dr. Faiz bertanya kepada Kak Ila yang tersenyum simpul datang ke ruang tamu.

“Alhamdulillah, nampaknya orang sebelah sana pun tidak susah membuat keputusan. Dia belum mempunyai apa-apa komitmen walaupun ada meminta bantuan sepupunya yang belajar di Mesir. Beliau bersetuju, ustaz!” kata Kak Ila kepada saya. Beliau juga girang sekali dengan hasil malam itu.

Sebak dada saya. Antara syukur dan terharu. Debar di dada makin terasa. Malam ini adalah permulaan yang baru dalam hidupku.

Subhanallah. Saya akui saya tidak susah untuk membuat keputusan. Tetapi saya tidak menjangkakan yang calon di sebelah sana juga begitu. Malam itu kami mencapai beberapa keputusan. Dr. Faiz mencadangkan agar semasa Hariraya Aidiladha nanti, saya datang sekali lagi ke Dublin untuk diperkenalkan dengan calon tunang dan isteri saya di rumah mereka. Dr. Faiz dan isteri mahu mengatur sesi Taaruf. Sementara itu, beliau tidaklah mengenakan apa-apa syarat kerana kami masing-masing faham akan batasan agama yang dipersetujui bersama.

Rancangan untuk bertaaruf itu tidak berhasil.

Saya tidak sempat untuk datang semula ke Dublin kerana pulang ke Malaysia. Kebetulannya emak juga sudah maklum akan hasrat saya untuk menamatkan zaman bujang. Tidaklah terus berkahwin, tetapi menunggu sehingga calon saya menamatkan pengajiannya di bidang perubatan. Masih ada dua tahun berbaki. Tempoh yang penting untuk saya membuat persiapan diri.

Setelah ada persetujuan di kedua-dua belah pihak, Dr. Faiz mencadangkan agar saya tidak lagi menggunakan khidmat beliau sebagai orang tengah. Di peringkat ini, sudah wajar untuk kami berhubung terus bagi mengatur diskusi tentang plan yang selanjutnya.

Pada bulan Mei 1999 buat pertama kalinya saya berutus email dengan calon yang belum pernah dilihat wajahnya, belum pernah didengar suaranya, jauh sekali keluar bersama. Gugup sekali. Hingga mahu dibahasakan saudari atau ukhti atau awak atau kamu, saya menulis dan memadam berjam-jam lamanya.

Setelah saling bertukar beberapa email, kami mencapai kata sepakat untuk bertunang. Saya dari kota London dan beliau dari Galway, kami sama-sama pulang ke Malaysia.

Saya telah datang ke rumah beliau bersama abang dan bapa saudara kami untuk menetapkan tarikh majlis bertunang dan hal-hal lain yang berkaitan. Di hari itulah, buat pertama kalinya, saya dipertemukan dengan seorang wanita bernama Nazhatul Muna, di hadapan ayah dan bondanya dengan penuh restu, adab dan aturan agama. Ia sebuah pertemuan yang amat bermakna dan saya memuji Allah atas nikmat ini, nikmat melihat bakal teman sepanjang hayat di dalam majlis yang paling baik, iaitu di bawah bumbung rumahnya, di depan mata ayah dan ibu yang melahir dan membesarkannya.

Tiada yang lebih baik dari itu.



Tiada dalam gambar. Sedang ‘bersembunyi’ di dalam kereta

Bertunanglah (Mengikat Pertunangan Dalam Kesederhanaan - petikan Aku Terima Nikahnya) kami selama dua tahun dan seperti yang dipersetujui bersama, ikatan perkahwinan dilangsungkan pada September 2001 (Erti Sebuah Perkahwinan - petikan Aku Terima Nikahnya). Ziad yang juga sudah berumahtangga dan sedang menunggu kelahiran cahaya mata pertamanya, menumpang gembira hadir sama mengiringi majlis perkahwinan kami.

KHIDMAT ORANG TENGAH

Itulah secebis kenangan, kisah bagaimana saya bertemu jodoh dengan Ummu Saif.

Peranan Ustaz Wan dan Dr. Faiz serta isteri masing-masing, sinonim dengan fungsi Nafisah binti Umayyah, yang menjadi orang tengah di antara Khadijah bint Khuwailid dan Muhammad bin Abdillah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketika Khadijah melamar baginda.

Tindakan Khadijah mewakilkan Nafisah untuk merisik dan seterusnya menyatakan hasratnya mengambil Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai suami, adalah suatu aturan prosedur mencari jodoh yang terkandung di dalamnya hikmah yang besar.



Peranan orang tengah inilah yang harus diberikan perhatian oleh para muslimin dan muslimat hari ini dalam ikhtiar mereka mencari jodoh. Sama ada orang tengah itu merupakan ibu bapa mereka sendiri, atau pun individu-induvidu yang diyakini sifat amanah dan kewibawaannya, mereka bisa mengusahakan urusan mencari jodoh ini.

Malah jika peranan orang tengah ini diinstitusikan di bawah unit-unit secara sistematik, ia adalah lebih baik dan bermanfaat. Bagi gerakan-gerakan Islam dan kumpulan dakwah yang menghimpunkan sekelompok besar ahli yang sepemikiran dan memegang nilai serta pandangan hidup yang sama, proses untuk mencari jodoh yang diinstitusikan di bawah Unit Bait Muslim, adalah suatu tradisi zaman berzaman yang amat berguna.

Peranan Unit Bait Muslim ini bukanlah untuk memaksakan jodoh sesama pengikut! Malah jika ada pemaksaan berlaku di mana-mana ia adalah kepincangan mereka sendiri, biar atas nama apa sekali pun ia. Unit Bait Muslim ini amat tipis perbezaan di antara buruk dan baiknya. Ia amat bergantung kepada persepsi atau cara memandang seseorang. Apabila fungsi Unit Bait Muslim disanggah dengan perkataan sedemikian rupa, maka jadilah ia sebagai sesuatu yang dipandang serong dan negatif oleh golongan yang mendengar di atas angin.

Akan tetapi peranan Unit Bait Muslim ini adalah sebagai ikhtiar yang syar’ie untuk golongan yang tidak berdating ini bertemu jodoh. Konotasinya adalah USAHA dan PERANAN ORANG TENGAH.

Khidmat orang tengah dapat mencegah keaiban daripada berlaku. Ia juga boleh menjaga maruah kesemua pihak yang terbabit. Sama ada pihak tengah ini berkhidmat secara individu, atau secara berorganisasi, ia adalah wasilah mengusahakan jodoh dan perkahwinan yang amat penting untuk difahami dan dimanfaatkan.

ORANG ‘BAIK’ TIDAK BERDAKWAH

Apa yang menjadi kesulitannya ialah, jika dahulu golongan yang tidak bercouple ini lazimnya terbabit dengan kegiatan keagamaan, dakwah dan kebajikan secara berorganisasi dan mereka biasanya dibantu oleh Unit Bait Muslim di dalam organisasi masing-masing. Dulu-dulu, orang yang menolak evolusi cinta, menolaknya dengan semangat dakwah. Tetapi kini, ramai sahaja golongan yang ‘baik-baik’, tetapi tidak mempunyai sebarang komitmen dengan kerja-kerja dakwah secara sistematik dan berorganisasi.

Di antara kesan sampingannya ialah, tiada siapa yang menguruskan soal jodoh mereka, dan mereka pula tidak punya sebarang wasilah ikhtiar lain untuk tujuan tersebut.

Ibu bapa pula tidak memainkan peranan mereka dalam hal ini, atau jika ada usaha sekali pun, timbul pula pertentangan nilai antara cara menimbang ibu bapa, dengan si anak. Buntu sekali!

Mungkin dalam situasi seperti ini, agensi mencari jodoh Muslim, menjadi salah satu alternatif yang boleh dipertimbangkan. Syarikat atau pertubuhan seperti MUSLIM MARRIAGE AGENCY setakat ini berperanan secara efektif, terhormat dan berkesan dalam mengatur proses mencari pasangan hidup di kalangan Muslim.

Apa yang penting adalah USAHA dalam lingkungan BATASAN AGAMA.

Kesimpulan daripada keseluruhan perkongsian ini, lawan merompak bukanlah menganggur. Lawan pergaulan bebas bukanlah duduk semata menanti jodoh datang menjelma.

Jodoh tidak datang bergolek.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

Bercinta Sampai ke Syurga

Di sini ku berjanji disaksi rembulan
Andainya ku pergi dulu
Jikalau ku pergi dulu
Ku nantimu di pintu syurga

Pasangan yang bercinta, mereka mencari syurga. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan di langit, biar gegar di lantai bumi, lautan api sanggup direnangi. Itulah kuasa cinta. Pengorbanan yang ditawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia.

Tiada insan yang sengaja mencari derita. Seperti ikan mencari air, si dahaga mendamba seteguk minum, mata mengantuk mencari bantal, demikianlah setiap insan mengerumuni cinta. Demi sesuatu yang menjanjikan bahagia.

Namun dalam asyiknya manusia bercinta, di kala itu jualah manusia semakin derita. Rumahtangga musnah, hidup berantakan. Tatkala inai masih di jari, anak belum pun sempat berdiri, tiang rumah dan tangga cinta roboh dirempuh badai.

Luar biasa…


Mereka bukan dipaksa menerima. Kahwin itu bukan kahwin dera atau kahwin paksa. Ia adalah cinta sama cinta, suka sama suka. Jika kedua belah pihak sudah saling menerima dan kenal isi kulit pasangan sehati sejiwa, di manakah cacat di manakah celanya hingga hujan tidak sempat menunggu petang?

Bukankah syurga dunia yang dibina itu mahu dilangsungkan hingga ke Syurga Sana?



Pada hari itu teman-teman akrab setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang perhubungannya berdasarkan Taqwa [al-Dzukhruf 43: 67]

Itulah realitinya.

Bahawa biar sehangat mana pun cinta yang membakar perhubungan dua insan yang berkasih sayang, mereka akan menjadi musuh di antara satu sama lain di padang Mahsyar. Jika dahulunya mereka menolak pertolongan yang ditawarkan demi kebahagiaan sebenar, hari itu mereka pula saling bermusuh dengan permusuhan yang tidak lagi mampu ditolong.

Mengapa cinta menjadi permusuhan?

Apakah yang menguji manusia di Mahsyar hingga pasangan yang akrab menjadi musuh yang saling mementingkan diri?

Sesungguhnya Mahsyar itu mengheret manusia kepada sebuah TEKANAN. Itulah ujian terbesarnya. Segala yang didustakan selama ini terbentang di depan mata. Barulah kelihatan kesan segala perbuatan. Bahawa dunia memang sementara, namun kesan amal berkekalan selamanya. Dan hari Mahsyar itu setiap insan berada di bawah TEKANAN yang maha dahsyat.

Ibu sanggup menggadaikan anak demi untuk menyelamatkan diri.

Dua kekasih sanggup mengorbankan pasangannya demi terbebas dari seksaan yang sedang menanti.

Dalam keadaan yang begitu terdesak dan penuh tekanan, cinta berubah menjadi permusuhan. Dua kekasih saling menyerang pasangan masing-masing, mementingkan diri, demi sebuah keselamatan.

Kecuali manusia bertaqwa.

Wahai pasangan yang bermadu kasih, ingatkah kalian pada khutbah yang mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA suatu hari dahulu? Tiga ayat yang dibacakan kepadamu, segalanya berbicara tentang TAQWA.



Pesan itu adalah pesan Tuhanmu. Pesan yang disampaikan di lisan Nabimu. Pesan yang diperpanjangkan kepada khutbah nikahmu. Bahawa tiada bahagia tanpa taqwa. Hanya derita pemusnah cinta, manusia tersungkur di pantai derita, meneguk neraka dunia sebelum Neraka di Sana.

Neraka dunia yang menghancurkan bahagia datang bersama tekanan. Ujian yang amat menghimpit beban. Soal anak, soal pekerjaan, soal keinginan, soal ketidakpuasan, soal kemahuan, soal kesangsian. Rumahtangga yang belayar di tasik madu, menjelang senja dihiris sembilu.

“Lepaskan saya. Saya sudah tidak sanggup lagi,” bentak isteri yang terbeban oleh tekanan perasaan.

“Sabarlah isteriku. Mari duduk mencari petunjuk,” pujuk suami dengan linangan air mata.

Anak-anak menggeletar terperosok di sudut gementar. Melihat ayah dan ibu bergaduh cakar mencakar.

“Bukankah kami hadir kerana cintamu?” bisik si anak kepada hatinya, merayu kepada Tuhan agar mendamaikan sepasang insan tempat dirinya berpaut hidup.

“Sudah-sudah. Tidak perlu dibincang-bincangkan lagi. Lepaskan saya. Hantarkan saya balik ke rumah emak di kampung!” si isteri terus mengamuk.

“Bagaimana dengan anak-anak kita?” suami merenung wajah anak-anak yang kebingungan. Terasa hangat pipi dihujani hiba.

“Semuanya salah abang. Sudah berapa kali saya beri peluang. Abang masih tidak berubah. Abang bekerja untuk keluarga, hingga hancur keluarga. Kalau selama ini kami bahagia tanpa abang, kenapa perlu lagi saya menderita menanti abang. Saya ada cita-cita sendiri!” si isteri mengesat wajahnya dengan lengan. Kata-katanya penuh simpang siur perasaan. Tidak pasti apa yang dimahukan.

Kecuali sebuah penceraian…


SUATU HARI NANTI

Suatu hari nanti
Kau akan tahu sucinya cintaku
Kau akan menyesal
Dan kau sebut namaku selalu

Suatu masa nanti
Kan terhurai segala rahsia
Bahawa cintaku kepadamu
Abadi selamanya

Kau akan menangis
Menatap gambarku
Gambar-gambar kita
Pasangan yang istimewa

Oleh itu kasih
Janganlah terburu
Jangan ikut rasa
Kelak jiwa kan merana

Perkara yang kecil
Jangan suka dibesar-besarkan
Perkara yang samar
Jangan pula dibenar-benarkan

Usahlah dibunuh
Kecintaan ini
Biarkan bersemi
Sampai kekal dan abadi

Lagu dan Lirik: Suhaimi Mior Hassan

Tekanan bukan sahaja menjadikan seorang kekasih memusuhi kekasihnya di Akhirat, bahkan tekanan itu juga menghilangkan cinta tatkala menempuh kehidupan dunia. Hingga tidak sempat-sempat menuju penceraian, semata-mata ingin lari daripada sebuah tekanan.

Itulah yang banyak berlaku hari ini.

Pelik sekali, setelah ghairah bercinta kita melangkah ke alam rumahtangga. Belum sempat anak membesar bergegas pula menuju penceraian. Dan janggal sekali, selepas bercerai barulah timbulnya damai. Boleh keluar makan bersama, boleh bergilir melayan anak-anak. Suami isteri payah serasi, biar sekadar teman yang mesra. Semuanya kerana gagalnya manusia, menguruskan tekanan, realiti kehidupan.

Justeru wahai insan yang mabuk cinta, siasatlah benang yang menyulam kasihmu. Apakah ia sebuah taqwa, atau cinta buta yang tidak berpijak di bumi nyata? Sesungguhnya cinta yang tidak bersendikan taqwa adalah cinta yang berakhir dengan permusuhan. Jika tidak di neraka dunia, pastinya Neraka abadi di alam Sana.



“… kecuali orang-orang yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]



“(Mereka diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh.(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu, dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan” [al-Dzukhruf 43: 68-70]

Tidak mungkin Syurga di Akhirat menjadi habuan kita, andai dunia bersalut neraka. Dunia ladang Akhirat, apa yang disemai pada hidup yang sementara ini, itulah tuaian di Akhirat yang kekal abadi.

Berjuanglah berbekalkan taqwa untuk mengharungi epilog sebuah cinta, hingga terkecap syurga dunia.

Berjuanglah sampai mengecap bahagia perjuangan, rumahku syurgaku, baiti jannati…

Kejayaan bukan sebuah destinasi, ia adalah sebuah perjalanan.

Bercintalah sampai ke Syurga, wahai dua insan bercinta.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang



ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Saifulislam.Com mengalu-alukan sumbangan anda untuk menampung perjalanan server. Klik di sini untuk menyumbang. Terima kasih... [Abu Saif]






--------------------------------------------------------------------------------


© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Terlalu Letih Untuk Mati

“Ehh… ramainya pasukan tentera!” saya terkasima.

Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut kelihatan hiruk pikuk. Askar berkawal di sana sini. Saya yang baru mendarat tiba dari Amman kebingungan.

“Sila buka beg anda,” tentera bersenjata itu mengarahkan saya membuka beg. Belum pernah lagi saya diperiksa sebelum keluar dari pesawat. Selalunya pemeriksaan ialah sebelum menaiki pesawat.


“Ini buku apa?” tanya askar itu kepada saya.

“Err… itu novel. Berbahasa Inggeris,” saya gugup ditanya begitu. Novel Adhan Over Anatolia: The Diary of an American Muslim oleh Marian Kazi itu saya bawa meneman perjalanan.



“Mengapa ada perkataan Amerika?” tanya askar itu lagi.

Aduh, bingung saya dibuatnya.

“Ia cerita tentang seorang perempuan Amerika yang tinggal di Turki,” saya menjelaskan kepadanya.

“Muslimah?” soal askar itu lagi.

“Ya,” saya menjawab ringkas.

“Alhamdulillah,” katanya.

Saya kehairanan tetapi cuba mengawal air muka agar tidak terlalu ketara ekspresi emosi ketika itu. Di bangunan terminal kelihatan ramai askar lengkap bersenjata mengawal setiap inci lapangan terbang.

Askar itu melepaskan saya menuju ke dewan transit di bangunan terminal. Syukur Alhamdulillah. Terdetik juga rasa kesal di hati memilih untuk ke Istanbul dengan menaiki pesawat MEA melalui Beirut. Nak murah punya cerita, terpaksa berdepan dengan insiden sebegini.

Saya belum pasti apa yang sedang berlaku.

DI DEWAN TRANSIT

Setibanya di bangunan terminal barulah saya faham. Pagi ini regim Zionis Yahudi telah mengebom selatan Lubnan. Khabarnya ia sedang melarat ke utara. Gementar juga saya dibuatnya. Pemandangan bangunan yang berlubang-lubang di Beirut sering mengingatkan saya kepada tragedi Sabra Syatilla. Beirut seperti neraka dunia.

Semua penerbangan ditangguhkan. Saya yang sepatutnya transit sekitar satu jam sahaja, sudah termenung di Lapangan Terbang Beirut yang sempit, hodoh, tidak punya paip air di tandasnya dan pastinya solat hanya dapat dibuat berlapikkan kotak di tepi tangga ke kafe. Jiwa saya sungguh berserabut.

Mujurlah walkman saya ada radio.

Saya mencari-cari siaran yang boleh didengar. Banyak sekali stesyen radio di Lubnan dan kebanyakannya menyiarkan ucapan pemimpin Hizbullah yang mengutuk serangan Yahudi.

“Encik, bila kami akan bertolak ke Paris?” tanya seorang penumpang ke kaunter pertanyaan.

“Ya, bila lagi kami akan dibenarkan berlepas?” soal seorang yang lain.

Mereka menyerbu kaunter pertanyaan dan bersoal jawab secara bertubi-tubi. Orang-orang Arab ini mahu ke Paris dan mereka tidak henti-henti mendesak pegawai bertugas. Kelihatan beberapa orang Perancis menggelengkan kepala melihat gelagat rakan sekapal terbang mereka itu membuat kecoh. Saya juga bosan melihat gelagat mereka, terutama apabila wanita-wanita mereka tanpa segan silu menjadi ular bersalin kulit. Turun dari pesawat elok berbungkus hitam, keluar dari tandas, semua sudah jadi artis Hollywood!

Saya mendiamkan diri. Berkira-kira mahu tidur di hotel mana di Istanbul nanti memandangkan hari sudah lewat petang dan saya sudah tersangkut di Lapangan Terbang Beirut lebih 4 jam.

Tiba-tiba… BOOOMMMM!!!

Bangunan terminal bergoncang.

Sebuah letupan besar berlaku. Saya anggarkan jaraknya daripada kami mungkin hanya sekitar 1km.



Letupan tahun 2006 di Lapangan Terbang Beirut ini tidak ubah seperti letupan yang saya alami 10 tahun sebelumnya. [source]

Dewan transit menjadi sepi.

Sunyi.

Tidak ada seorang pun bersuara.

Saya sendiri menggigil ketakutan.

“Ya Allah, kalau mati pun aku pohon dari-Mu matikanlah aku di medan perjuangan. Bukan sekadar mati transit di airport yang susah nak sembahyang ni,” saya mengarut sendirian.

Saya mahu ke Turki untuk ke kampung Fatih di Bolvadin. Hajatnya mahu ke sana dua tiga hari sahaja. Tetapi sekarang ini saya terdampar sendirian di Lapangan Terbang Beirut ketika berita mengkhabarkan bahawa askar Yahudi semakin mara ke Utara.

“Ya Allah, selamatkanlah kami!” saya menggosok-gosok telapak tangan kesejukan.

Selepas 7 jam saya tersangkut, barulah pesawat kami mendapat pelepasan untuk terbang. Sehingga sudah saya tidak tahu apakah punca letupan itu tadi. Dan saya tidak mahu tahu.

Apabila pesawat MEA terbang meninggalkan bumi Beirut, mata saya terpaku melihat asap hitam berkepul-kepul daripada beberapa lokasi tidak jauh daripada lapangan terbang. Sah, ia adalah letupan bom. Syukurlah saya terselamat.

Tatkala pesawat membelah laut Mediterranean, melintasi Pulau Cyprus hati saya berasa lega sedikit. Namun saya perlu transit sekali lagi di Beirut dalam perjalanan pulang ke Amman nanti. Aduh!

DI ISTANBUL

Tiba lewat 6 jam dari perancangan asal, saya jadi kelam kabut. Selesai sahaja urusan mendapatkan beg di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, saya bersegera pergi ke Otogar untuk mendapatkan bas ke Bolvadin.

“Maaf encik. Bas baru sahaja berlepas setengah jam yang lalu!” kata jurujual di kaunter.

“Yapma Yaaaa!!! Aku tertekan, aku tertekan!” cakap saya sudah merepek-repek di antara Bahasa Turki dan Bahasa Malaysia.

Saya terpaksa menunggu hingga jam 1 pagi sebelum berjaya mendapatkan bas yang seterusnya. Sebaik sahaja bas bertolak, saya tidur senyenyak-nyenyaknya. Enggan lagi mahu berfikir tentang 1 hari yang amat memeritkan ini.Baru sahaja mata saya berjaya dilelapkan, kami semua dikejutkan dengan brek kecemasan bas! Aduh, laju sungguh bas ini. Bagai dikejar malaikat maut.

Dek kerana badan yang terlalu letih dan terlalu banyak insiden yang berlaku hari itu, saya sudah hilang gusar terhadap kemalangan atau kematian.

“Asyhadu an Laa Ilaaha Illallaah, wa Asyhadu anna Muhammadan Rasulullah!” saya mengucap syahadah dan terus tidur semula. Hidup atau mati, terserahlah kepada Allah. Saya sudah tidak mampu memikirkannya. Bas yang meluncur laju membelah perut Anatolia dalam kegelapan malam, saya serahkan sahaja kepada Allah.

Ketika itu, barulah saya dapat menikmati secebis kefahaman tentang asas keberanian rakyat Palestin berjuang. Dek kerana terlalu banyak kejadian yang menakutkan berlaku, mereka sudah hilang takut, terlalu penat untuk memikirkannya lantas meneruskan sahaja rutin kehidupan seperti biasa, walaupun bom meletup di sana sini, saban hari.

Dalam bas yang dipandu bagai pelesit itu, saya tertidur lena. Terlalu letih untuk mati!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang



ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Saifulislam.Com mengalu-alukan sumbangan anda untuk menampung perjalanan server. Klik di sini untuk menyumbang. Terima kasih... [Abu Saif]

Hina Islam Atau ‘Muslim’?

“Dia sudah melampau. Mana boleh si kafir membaca ayat al-Quran dan memperalatkannya?” bentak ‘pencinta’ Islam di dalam kenyataan akhbar dan laporan polisnya.

“Ia jelas mencabar kesucian Islam!” tokok seorang lagi.

Ada sesuatu yang saya masih belum mampu formulakan; mengapakah kaum Muslimin begitu tenang, yakin dengan kepercayaannya dan terbuka untuk dialog dan perbincangan semasa mereka menjadi kaum minoriti, sebaliknya terasa begitu terancam, tercabar, tergugat semasa mereka menjadi kaum majoriti yang memegang kuasa.

Ia suatu keganjilan.


Sepatutnya yang minoriti itu duduk dalam kekhuatiran. Rasa jati dirinya semakin terhakis, bimbang segala yang ada di sekitar mencabarnya, lalu menjadi sangat defensif terhadap agama masing-masing. Sepatutnya begitu.

Dan tatkala mereka bertindak sebagai pemerintah, berkuasa, berkuantiti sebagai majoriti, maka mereka akan rasa sangat selesa, terbuka, dan tidak fragile oleh cetusan-cetusan kejadian harian di kiri kanannya. Sepatutnya macam itu.

Tetapi realiti di Malaysia sungguh terbalik.

PERBANDINGAN LAGI

Saya tidak suka membanding-banding.

Orang tua kita sudah membuat pepatah, “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik berhujankan batu di negeri sendiri!”

Tetapi orang kita jugalah yang pakar membanding-banding. Kerana banding-membanding itulah terbinanya Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, malah pernah juga Subang Parade dinobatkan sebagai pusat membeli belah terbesar di Asia Tenggara.

Daripada dibanding-bandingkan benda yang sekunder itu, lebih baik kita bandingkan soal-soal premier yang lebih kritikal.

MINORITI DI IRELAND UTARA

Terkenang kembali pengalaman saya semasa bertugas di Belfast Islamic Centre.

Kami memang kaum minoriti. Jumlah Muslim pada bulan pertama saya memulakan tugas, hanya sekitar dua atau tiga ribu orang di seluruh Ireland Utara. Tetapi menjadi kaum minoriti tidak menjadikan kami Muslim yang defensif lagi reaktif.

Kami terbuka kepada dialog. Jemputan untuk berdialog boleh dikatakan diterima setiap hari. Ada dialog dengan pelajar, ada dialog dengan rombongan yang dihantar oleh gereja. Kita dengan bebas bertukar-tukar pandangan tentang agama dan kepercayaan masing-masing, khususnya di peringkat isu-isu bersama berkaitan etika dan tanggungjawab sosial.

Kami tidak mengurung masjid di balik tembok, kesan rasa terancam kerana hidup sebagai minoriti. Sebaliknya masjid itu sentiasa terbuka. Malah kami juga sering hadir ke ruang-ruang terbuka yang disediakan di pusat bandar, untuk berjumpa dan berbicara dengan orang ramai.

“Kami dari sebuah sekolah rendah Katholik di Newry mahu melawat masjid tuan. Bilakah tarikh dan masa yang sesuai?” tanya wakil sekolah berkenaan melalui panggilan telefon.

“Saya dan rakan-rakan daripada Fakulti Kemanusiaan Open University UK mahu berjumpa dan bertukar-tukar pandangan dengan pihak Islamic Centre” tercatat demikian di sepucuk surat yang saya terima.

Permintaan-permintaan begitu datang setiap hari. Dan lazimnya kami akan cuba menyusun jadual lawatan agar mereka datang kira-kira sejam sebelum Solat Zohor. Tujuannya ialah untuk menyediakan masa sekitar satu jam untuk berdialog dan kemudian apabila masuk waktu Zohor, mereka akan dijemput ke dewan solat utama, duduk di bahagian belakang dan melihat kami menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid.

“Bolehkah orang bukan Islam masuk ke Masjid?” tanya seorang pelajar Malaysia yang baru tiba ke UK.

Soal demikian sudah lama diselesaikan. Jika non Muslim secara mutlak tidak boleh masuk ke masjid, entahlah berapa orang penduduk Semenanjung Tanah Arab yang berpeluang bertemu dengan Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Tidak berlakulah kejadian Arab Badwi yang kencing di dinding masjid dan segala catatan yang lain.

Masjid adalah tempat orang mencari Islam, bukan tempat Muslim mengurung Islam.

Saya tidak banyak pengetahuan tentang Biblical Literature. Tetapi saya membaca serba sedikit mengenainya, dan saya menggunakannya untuk sempena-sempena yang sesuai terutamanya ketika sedang berdepan dengan pelawat beragama Kristian. Semasa menjelaskan tentang hak mutlaq Tuhan terhadap nyawa manusia dalam kertas kerja berkaitan Euthanasia, saya memetik keterangan Bible berikut:

“No man has authority to restrain the wind with the wind, or authority over the day of death.” [Ecclesiastes 8:8a]

Petikan itu berdiri bersama dengan petikan saya daripada keterangan al-Quran, firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:



“… Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya” [al-An'aam 6: 151]

MENYAMARATAKAN?

Apakah saya menjadi penganut Bible dan mempercayainya semasa saya memetik suatu ayat daripadanya?

Jauh sekali!

Pendirian saya tentang Bible adalah sama seperti pendirian al-Quran terhadap Taurat dan Injil.

Akan tetapi saya memetik ayat dari Bible supaya hadirin yang Kristian boleh mengaitkan ceramah saya dengan rujukan mereka. Bahawa apa yang saya sebut bukan sahaja berdasarkan agama saya yang Islam, malah ia juga termaktub di dalam agama mereka. Itu sahaja.

Tujuan saya menggandingkan keduanya adalah untuk menekankan bahawa soal peranan agama dalam memelihara nyawa manusia adalah persoalan yang besar. Muslim atau Kristian mesti mempunyai tahap sensitiviti yang sama terhadap apa-apa prosedur perubatan dan bukan perubatan yang menggugat hak ini. Euthanasia bertentangan dengan peraturan agama sama ada Kristian mahu pun Islam.

Adakah saya telah menyamakan Islam dan Kristian?

Tentu sahaja tidak.



Kalau Mak Senah makan sireh dan kambing Mek Yah makan sireh, apakah Mak Senah sama dengan kambing Mek Yah?

Tentu sahaja tidak!

Analogi yang sangat buruk untuk andaian seburuk itu.

Namun, titik persamaannya ialah, pokok sireh perlulah dijaga kerana Mak Senah dan kambing Mek Yah sama-sama mengambil manfaat daripadanya.

Antara Islam dan Kristian, Euthanasia tidak harus berdepan dengan apa-apa konflik dari segi penggubalan polisi di hospital jika dilihat daripada perspektif agama kerana kesemua agama bersepakat dalam menolak campur tangan manusia dalam menentukan saat kematian manusia yang lain. Itu sahaja.

Pandangan saya yang dimuatkan di dalam kertas kerja yang dibentangkan, diagihkan kepada kesemua pembentang yang lain, juga hadirin yang menyertai. Tentu sahaja saya tidak menyertakan teks Arabnya untuk mencegah daripada ayat-ayat al-Quran jatuh ke tempat-tempat yang tidak baik. Tetapi berdosakah saya membiarkan para non-Muslim dari kalangan paderi dan pelajar perubatan di The Queen’s University Belfast menggunakan ayat al-Quran dalam keadaan mereka tidak Muslim?

Bahkan saya berpandangan sebaliknya.

KES NGA KOR MING



“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat ihsan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya” [al-Nahl 16: 90]

Apabila Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis daripada DAP dan beragama Kristian memetik firman Allah daripada al-Quran di atas untuk memberitahu hadirin tentang kedudukan KEADILAN dan BERLAKU IHSAN dari perspektif al-Quran, apakah ini suatu penghinaan terhadap Islam?



Nga Kor Ming salah menyebutnya? Betulkanlah sebutannya.

Bukankah kita kaya dengan guru tajwid di sana sini?

Betul sangatkah sebutan-sebutan ayat al-Quran oleh perwakilan-perwakilan parti yang Melayu dan Muslim itu? Betul sangatkah ucapan Datin-datin dan Puan Sri semasa menyebut ayat al-Quran dalam ucapan-ucapan perasmian mereka? Sepatutnya salah sebutan itu diiringi oleh usaha membetulkan sebutan, bukannya berbondong ke Balai Polis membuat laporan!

Sikap inilah yang menghairankan saya.

Terlalu defensif.

Masjid dikurung, Quran dibendung, yang lulus untuk kegunaan non Muslim hanyalah rumah-rumah terbuka pada hari perayaan Islam! Kemudian layakkah kita tertanya-tanya tentang punca Islam menjadi mandul di negara kita?



Sila tanggalkan kasut anda di sini, dan ketahuilah di sini juga kawasan pencuri kasut! Banyak betul benda pelik di masjid-masjid kita

HINA ISLAM ATAU MUSLIM?

Soalan tadi belum berjawab. Apakah ketika seorang Ahli Parlimen beragama Kristian memetik ayat al-Quran tentang ADIL dan IHSAN sebagai asas seruannya untuk semua Muslim dan non-Muslim menolak KEZALIMAN, adalah suatu penghinaan terhadap Islam?

Saya yakin, jawapannya mudah.

Ia bukan penghinaan terhadap Islam.

Ia adalah PENGHINAAN terhadap MUSLIM. Iaitu Muslim yang mengaku Islam tetapi tidak beramal dengan Islam. Muslim yang sensitif dengan salah baca al-Quran, tetapi tidak sensitif dengan pembekuan al-Quran dari asas pemerintahan.

Nga Kor Ming ‘memang patut didakwa’.

Tetapi bukan dengan dakwaan menghina Islam.

Sebaliknya Nga Kor Ming patut didakwa kerana menghina ‘Muslim’. Muslim yang bermain-main dengan Islam. Permainan yang menjadi punca terhinanya Muslim itu sendiri, siang dan malam.



“… Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian al-Kitab dan mengingkari sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari Qiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” [al-Baqarah 2: 85]



Jangan sampai Muslim di Malaysia jadi seperti kaum Abbasiyyin di Baghdad pada tahun 1253. Setelah nasihat-nasihat ulama’ Muslim tidak diendahkan, dan lekanya mereka dengan maksiat, akhirnya Hulagu Khan yang kafir itu ber’tazkirah’ di pintu kota Baghdad bersama bala tenteranya, “Aku adalah bencana yang dihantar oleh Tuhan kamu atas dosa yang kamu lakukan!”

Tatkala Muslim ditempelak oleh seorang kafir tentang agamanya sendiri, itulah saat-saat kehancuran mereka. Mahukah kamu beringat-ingat?

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang





ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Saifulislam.Com mengalu-alukan sumbangan anda untuk menampung perjalanan server. Klik di sini untuk menyumbang. Terima kasih... [Abu Saif]






--------------------------------------------------------------------------------


© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.